Itu pandangan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Hamidah Osman sambil menyifatkan tindakan Mahathir itu memecah belahkan orang Melayu.

Ketika diwawancara wartawan Mingguan Malaysia, ROKIAH ABDULLAH baru-baru ini, Hamidah, yang merupakan antara penggerak utama PPBM Perak namun kemudian mengumumkan keluar PPBM, mengulas isu di sebalik keinginan Dr. Mahathir yang masih rakus mahu bergelar pemimpin nombor satu negara selain isu pengagihan kerusi ditandingi PPBM pada PRU-14.

 

MINGGUAN: Bagaimana Datuk melihat perjuangan Dr. Mahathir dan partinya?

HAMIDAH: Saya tengok mereka sudah tersasar daripada tujuan asal iaitu kononnya mahu selamatkan negara, demi rakyat kerana parti pembangkang hanya berkisar untuk tentukan siapa Perdana Menteri.

Sepatutnya selepas Dr. Mahathir dinamakan sebagai Perdana Menteri, tiada lagi isu namun kalau hanya menjadi Perdana Menteri sementara nak tunggu Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) keluar (penjara), adakah ini agenda negara? Adakah ini agenda rakyat atau peribadi masing-masing?

Apakah agenda peribadi yang Datuk maksudkan?

HAMIDAH: Saya melihat Dr. Mahathir hanya mahu membalas dendam. Beliau hanya mahu melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turun manakala Anwar yang nak (sangat) jadi Perdana Menteri walaupun sehari. Saya tak nampak matlamat sebenarnya perjuangan Dr. Mahathir.

Jika beliau benar-benar mahu menyelamatkan negara, tidak patut letak syarat-syarat begitu (jadi Perdana Menteri sementara). Pada saya, ini adalah agenda peribadi yang mana Dr. Mahathir seperti kita tahu seorang yang amat ego, tidak mahu mengaku kalah dalam apa jua keadaan. Tindakan beliau untuk turunkan Najib akan beliau lakukan walaupun terpaksa berbaik dengan orang yang amat dimusuhinya satu ketika dulu seperi Anwar dan Lim Kit Siang.

Nampaknya jawatan Perdana Menteri mudah ditukar-tukarkan begitu sahaja?

HAMIDAH: Saya pun tidak tahu apa yang mereka cuba gambarkan kepada rakyat dan dunia. Jika begitu (serah jawatan Perdana Menteri) adakah sultan-sultan sekadar boneka yang mana mereka (parti pembangkang) boleh dapat apa sahaja.

Sedangkan itu adalah kuasa mutlak Sultan. Adakah kuasa Sultan boleh diperkotak-katikkan begitu sahaja mengikut kehendak mereka?

Pandangan Datuk bahawa kehadiran semula Dr. Mahathir dalam politik negara bersama PPBM hanya menambahkan lagi perpecahan orang Melayu?

HAMIDAH: Kalau kita analisis matlamat sebenarnya apa yang mereka lakukan adalah agenda peribadi masing-masing. Inilah yang terjadi hari ini. Mereka kata hendak selamatkan negara, bantu rakyat yang kesusahan namun itu hanya retorik semata-mata.

Kalau kita tengok keadaan ini, apabila orang Melayu telah berpecah, inilah sebenarnya yang dihasratkan oleh DAP, mereka memang mahu lihat perkara ini. Orang Melayu kini terpecah kepada lima parti. Jadi nampaknya perancangan mereka (DAP) hampir-hampir berjaya.

Pembahagian kerusi antara pembangkang untuk PRU-14. Apa analisis yang Datuk dapat simpulkan?

HAMIDAH: Soal pengagihan yang adil atau tidak dalam pembahagian kerusi yang akan ditandingi parti-parti dalam Pakatan Harapan, saya tak tahulah. Tetapi kerusi yang diberikan kepada PPBM adalah kerusi yang saya kelaskan sebagai ‘gred D’.

Sebabnya PPBM bertanding di kerusi yang merupakan kubu kuat UMNO, sudah tentu payah nak menang. Dalam soal ini PPBM diberikan satu tugas yang amat berat. Kerusi yang PAN tak boleh menang diberikan kepada PPBM. Ibarat ‘orang lain makan daging, kita makan kuah’ sajalah.

Apakah tiada harapan langsung untuk PPBM menang di kerusi-kerusi yang diagihkan?

HAMIDAH: Terus terang saya cakap kerusi itu bukanlah mudah dimenangi, payah. Kalau ‘gred C’ masih lulus lagi tapi ini ‘gred D’, kalau lulus pun ‘gred D’, tahap hidung sahaja.

Saya tidak melihat kerusi yang diberikan pada PPBM itu adalah kerusi yang boleh dianggap kerusi yang berperanan untuk membela orang Melayu. Hakikatnya nanti saya yakin, walaupun 52 kerusi diberikan pada PPBM, nak menang 20 kerusi pun payah.

Bagaimana dengan kerusi-kerusi diagihkan kepada DAP?

HAMIDAH: DAP dapat 38 kerusi yang sudah pasti mereka akan dapat pertahankan. Maka akhirnya akan jadilah juga senario DAP tetap dominan dalam Pakatan Harapan dan DAP tetap memiliki kerusi majoriti. Kerusi yang diagihkan kepada DAP ini rata-ratanya 50, 60, atau 70 peratus kerusi mudah untuk mereka pertahankan. Sedangkan PPBM 15 kerusi nak menang pun payah.

Akhirnya jika senario ini berlaku dan mereka (Pakatan Harapan) berjaya tubuhkan kerajaan, apakah kekuatan kerajaan mereka akan buat jika Perdana Menterinya datang dari sebuah parti yang paling lemah.