Draf akhir manuskrip adalah bahan mentah yang belum ‘dimurnikan’ dan ‘dibentuk’ sebagai buku.

Sebagai pengarang, sesiapa juga tidak dapat mengelak daripada terbaur emosi, tergelincir hala tuju atau tanpa sedar menyumbatkan semua yang berlegar di fikiran dalam manuskrip.

Tambahan pula pengarang terlalu menyunting manuskrip sendiri juga sangat berpotensi akan kalis mengesan hal-hal yang tidak wajar dalam manuskripnya.

Editor sebagai pembaca kedua mempunyai sudut pandangan yang segar pada manuskrip berada di tangan.

Editor melihat keseluruhan tanpa gangguan tetapi pengarang melihat secara berpecah-pecah kerana beliau yang menulis menyunting.

Fragmentasi begini hanya boleh dikesan sama ada wajar atau tidak oleh pembaca kedua atau ketiga.

Hal ini pernah berlaku kepada pengarang To Kill a Mockingbird (1964), Harper Lee. Draf akhir manuskrip yang sampai ke tangan editornya, Tay Hohoff dengan buku yang diterbitkan terdapat begitu banyak perubahan.

Harper Lee tidak begitu senang dengan buku ini dan pada 2015 beliau menerbitkan novel Go Set a Watchman iaitu draf asal To Kill a Mockingbird.

Kita tidak menafikan adanya editor yang bagai tikus membaiki labu. Begitu juga yang mengaku pengarang tetapi tidak mencapai tahap kepengarangannya.

Bagaimanapun editor yang baik kerjanya memperbaiki dan mengindahkan berdasarkan pengalaman dan ketajaman dalam bidang berkenaan.

Editor yang baik akan rasa tertanggung dengan ketidaksempurnaan manuskrip yang berada di tangan. Dia akan berusaha melakukan memurnikan dengan syarat pengarang menyimpan egonya untuk sementara waktu.

Ini kerana editor pasti diserbu rasa bersalah sekiranya buku di tangan pembaca tidak sempurna.

Di luar negara terutama negara-negara maju, nama editor adalah nilai tambah pada sesebuah buku selain nama pengarangnya.

Nama editor turut diletakkan di muka depan sebagai penegasan kepada pembaca bahawa buku itu ditangani seorang diyakini.

Oleh hal yang demikian tentulah kita berasa hairan apabila ada sesetengah ‘pengarang’ begitu berbangga kerana buku yang diterbitkan tidak melalui sumbangan pemikiran seorang editor.

Kalau mereka tahu novel To Kill a Mockingbird adalah versi editornya, mereka mungkin tidak berbangga melulu.

Menerbitkan buku tanpa editor adalah penganiayaan kepada diri sendiri. Sehebat manapun seorang pengarang, apabila hendak dibukukan mereka tetap memerlukan editor untuk menyaring sesuatu yang tidak perlu atau memperkemas di mana longgar dan tidak wajar.

Sasterawan dunia, Ernest Hemingway yang mendapat Hadiah Nobel melalui novel The Old Man and the Sea (1953) pun memerlukan khidmat Max Perkins sebagai editor novel-novelnya.

Perkins antara editor legenda apabila beliau banyak mengerjakan pemurnian terhadap karya-karya sasterawan besar termasuk F. Scott dan Thomas Wolfe selain Hemingway.

Pertentangan atau percanggahan antara pengarang dan editor adalah lumrah. Apa lagi berdepan dengan karya-karya besar.

Sebenarnya itulah kelebihan Perkins yang mengambil pendekatan psikologi menjadikan pengarang-pengarang besar itu sahabat baiknya. Jadi, hubungan mereka bukan editor - pengarang tetapi sebagai sahabat.

Maka perlu ditegaskan bahawa editor bukan sekadar menyunting walaupun kata asas ‘edit’ itu bermaksud sunting. Tetapi tugas utama editor ialah memurnikan manuskrip sambil menuangkan pengalaman.

Lalu berkemungkinan arah angin sesebuah buku juga akan beralih seperti yang berlaku pada novel To Kill a Mockingbird.

Editor yang baik dalam keadaan apa sekalipun mahu buku ditangani sempurna walaupun tidak disebut namanya.