Benarkah segala projek kerajaan tidak mendatangkan faedah dan manfaat kepada rakyat terutama di kawasan Pantai Timur? Sebenarnya tohmahan dan dakwaan palsu itu semata-mata dilakukan supaya rakyat membenci dan hilang kepercayaan kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Pembangunan projek ECRL sepanjang 688 kilometer yang menelan belanja sebanyak RM55 bilion sebenarnya mampu memberi impak positif kepada sektor perdagangan dan ekonomi negara.

Menurut laporan Global Competitiveness 2017, ekonomi negara jatuh di tangga ke-23 paling kompetitif di dunia bagi tempoh 2017-2018 dan berada di tangga keempat terbesar di Asia Tenggara.

Jumlah dagangan Malaysia pada 2016 mencatatkan peningkatan sebanyak 1.5 peratus kepada RM1.48 trilion berbanding RM1.46 trilion pada tahun sebelumnya.

Dagangan eksport turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada RM785.93 bilion, manakala dagangan import pula meningkat 1.9 peratus menjadi RM698.66 bilion.

Pada 2016, dagangan antara Malaysia dengan rakan dagang utama, China menunjukkan peningkatan sebanyak 4.4 peratus kepada RM240.91 bilion. Eksport Malaysia ke China bernilai RM98.56 bilion terdiri daripada komoditi, barangan perkilangan, produk petroleum, getah asli, logam, kelapa sawit dan produk pertanian berasaskan kelapa sawit.

Selain itu, dagangan eksport ke China melalui bahan dan produk kimia, peralatan optik dan saintifik, makanan yang diproses, kelengkapan pengangkutan dan produk kayu yang didaftarkan juga dilaporkan turut meningkat.

Dengan peningkatan itu, tidak hairanlah apabila Malaysia menyasarkan untuk menjadi antara 20 negara perdagangan teratas dan pembinaan ECRL yang boleh memendekkan tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri-negeri Pantai Timur dalam masa kurang dari empat jam dilihat menjadi salah satu inisiatif utama untuk melonjakkan Malaysia ke arah itu.

Pembinaan ECRL dilihat mampu menyelesaikan beberapa isu antaranya potensi negeri-negeri Pantai Timur yang belum diteroka, memudahkan proses pengangkutan produk dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan kewujudan industri baharu disebabkan terdapat laluan perdagangan yang cepat selain dapat meningkatkan produktiviti Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) di Pantai Timur.

Malah, ECRL yang berkemungkinan menjadi sebahagian daripada rangkaian kereta api Kunming-Singapura itu dijangka digunakan oleh 5.07 juta penumpang menjelang 2025 dan jumlah itu bakal meningkat kepada 5.97 juta pengguna pada 2035.

Jajaran kereta api elektrik yang akan melalui terowong sepanjang 49 kilometer di 19 lokasi dengan terowong terpanjang di Malaysia dibina dari Bentong, Pahang ke Gombak, Selangor sejauh 17.8 kilometer itu juga akan membawa sebanyak 26 juta tan kargo setiap tahun menjelang 2025 dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 40 juta tan setahun menjelang 2035.

Menurut Penganalisis MIDF Research, Abdul Fadhli Zil Ikram Dzulkifly, perubahan melalui pertumbuhan logistik itu akan merangsang bekalan dan permintaan yang menyumbang sebahagian besar daripada keluaran dalam negeri kasar dan penghasilan pertanian Kelantan.

“Penerima manfaat utama dalam kes ini ialah Pusat Bekalan Tok Bali dan syarikat-syarikat yang beroperasi di situ serta Kawasan Pembangunan Bersama Thai Malaysia.

“Masa perjalanan yang pendek membolehkan masyarakat memasarkan produk keluaran mereka dan ia sekali gus dapat merancakkan lagi sektor perkhidmatan dan agrikultur,” katanya.

Ulas beliau lagi, projek tersebut dijangka mampu mewujudkan banyak peluang pekerjaan khususnya dalam sektor pembinaan dengan potensi peningkatan aktiviti pembinaan menerusi ECRL selain menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Mempromosi

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Hubungan Industri dan Pengkomersialan) Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS), Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Dr. Shahrin Nasir pula berpendapat, penjajaran keseluruhan rangkaian kereta api itu secara tidak langsung boleh mempromosi pelancongan di kawasan tersebut.

“Ramai berpendapat Tok Bali akan memperoleh manfaat besar melalui projek ini tetapi pada pendapat saya, ia juga boleh mempromosi pelancongan di kawasan tersebut.

“Persekitaran perniagaan juga akan berubah dengan tumpuan terhadap pembangunan perindustrian di Pantai Barat akan bertukar tempat. Menerusi ECRL, kita dapat lihat banyak kawasan perindustrian di Pantai Timur dan pada masa sama menyokong projek sedia ada di kawasan itu,” jelas beliau.

Kewujudan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pantai Timur juga bakal bertambah dengan adanya ECRL kerana industri yang menjadi tulang belakang ekonomi Malaysia itu berupaya menyumbang 97.3 peratus daripada pertumbuhan perniagaan.

Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui PKS dilihat berkembang antara 5.0 dan 5.5 peratus pada 2016 dan antara 5.0 dan 6.0 peratus pada 2017.

Ini menunjukkan keupayaan PKS dalam mengembangkan perniagaan, memberi nilai tambah yang lebih besar kepada pasaran global dan menjana pertumbuhan pekerjaan yang lebih tinggi.

Menurut Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang, Yusri Yusof, projek tranformasi atau game changer cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu mampu mengimbangi pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

“Sebelum ini kita lihat pelaburan baik daripada dalam mahupun luar negara lebih banyak tertumpu di kawasan Pantai Barat. Ini kerana kemudahan infrastukturnya lebih lengkap termasuk dari segi jaringan pengangkutan darat mahupun udara.

“Bagaimanapun dengan adanya perkhidmatan yang bakal merentasi kawasan-kawasan bandar kecil di negeri ini termasuk Bentong, Mentakab, Maran, Gambang, Kota SAS, dan Kuantan Port City I dan II serta Cherating, ia dilihat sebagai sebagai ‘gerbang rezeki’ untuk menarik pelabur bagi menanam modal di sini pula,” katanya.

Ujarnya lagi, dalam masa yang sama usahawan PKS di kawasan-kawasan yang berkenaan juga dapat mengambil kesempatan ini untuk memasarkan produk keluaran mereka seperti ikan patin dalam sangkar, kraf tangan dan produk makanan seperti Halia Bentong apabila stesen yang melalui kawasan itu siap kelak.

Secara keseluruhannya, pembinaan ECRL yang dibangunkan melalui kerjasama strategik perindustrian antara Malaysia dengan China dan mula dibina pada Julai 2017 serta dijangka siap pada 2024 itu melakar sejarah baharu dalam sistem pengangkutan awam negara. Ia juga berupaya menjadi pencetus perubahan pembangunan di Malaysia selain meningkatkan sektor ekonomi dan perdagangan negara di mata dunia.