Penduduk di wilayah ini telah sekian lama menantikan satu sistem pengangkutan kereta api yang efisien seperti di Pantai Barat dan Lembah Klang untuk keselesaan, selain merancakkan lagi pembangunan dan peningkatan ekonomi setempat.

Tun Dr. Mahathir mendakwa projek bernilai RM55 bilion itu merupakan satu pembaziran kerana tiada keperluan kemudahan itu untuk rakyat. Alasan Dr. Mahathir bahawa projek tersebut hanya merugikan rakyat memang sukar diterima sedangkan projek infrastruktur itu diakui sebagai game changer kepada negeri-negeri di wilayah tersebut yang seolah-olah dianaktirikan sepanjang 22 tahun pemerintahan Dr. Mahathir.

Sesungguhnya yang kita tahu tujuan Kerajaan Barisan Nasional merangka projek ECRL adalah untuk merapatkan jurang sosioekonomi masyarakat di Pantai Timur. Malah projek mega berkenaan dijangka menyumbang kepada 1.5 peratus Kadar Keluaran Negara Kasar (KDNK).

Pada hakikatnya, rakyat di Pantai Timur sudah serik dengan tindakan bekas Perdana Menteri itu meminggirkan mereka daripada pembangunan hingga menyebabkan wilayah ini ketinggalan dalam pelbagai aspek. Oleh itu, hasrat pembangkang yang mahu membatalkan kontrak-kontrak bernilai besar dengan China termasuk projek ECRL disifatkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai langkah yang ‘gila dan tidak siuman.’

ECRL yang dicadangkan pembangunannya sejak tahun 1980-an dan kini sedang dilaksanakan tidak boleh dilengah-lengahkan lagi dengan polemik politik. Kepentingan untuk rakyat di Pantai Timur perlu diutamakan.

Jika pihak pembangkang benar-benar mahu membatalkan projek ECRL, sudah tentu ada kos besar yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan Malaysia kelak. Fikirkan implikasinya yang antara lain:

1. Kerajaan terpaksa membayar pampasan berbilion ringgit kepada kontraktor kerana membatalkan kontrak. Duit hilang, sistem kereta api laju pun tak dapat.

2. Reputasi Malaysia akan hancur kerana melanggar perjanjian. Jika perjanjian antara kerajaan dengan kerajaan boleh dimansuhkan, apatah lagi perjanjian oleh pelabur? Adakah pelabur lain akan berani masuk ke Malaysia?

3. Pihak pembangkang mendakwa projek ECRL adalah suatu pembaziran. Adakah industri kereta nasional Proton sesuatu yang menguntungkan? Jurutera dan kepakaran automotif selepas lebih 30 tahun Proton ditubuhkan masih belum kita lihat.

4. Kira-kira 2,000 pekerja akan hilang punca rezeki dengan serta-merta. Turut hilang ialah 80,000 peluang pekerjaan yang bakal dikecapi rakyat Malaysia sepanjang tempoh pelaksanaannya hingga 2024.

5. Bagaimana dengan tanah yang telah diwartakan untuk ECRL? Tuan punya tanah tidak boleh menerima pampasan tetapi pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menjual tanah tersebut.

Projek ECRL ini telah ditunda sebelum pelaksanaannya bagi memberi laluan kepada pembangunan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) untuk fasa seterusnya. Syukurlah kerajaan BN tetap tidak mengabaikan pembangunan kemudahan pengangkutan di Pantai Timur. Hal ini kerana, kerajaan sangat prihatin dengan keperluan rakyat di negeri-negeri tersebut.

Menjana pertumbuhan

Banyak manfaat yang bakal diperoleh oleh 4.5 juta penduduk Pantai Timur sekiranya projek ECRL diteruskan. ECRL merupakan laluan rel yang pertama di Terengganu dan dengan adanya ECRL, ia dapat memacu industri pelancongan menerusi perkhidmatan pengangkutan yang cekap serta menjadi satu-satunya laluan perjalanan antara bandar di Pantai Timur ketika musim banjir.

Selain itu, ECRL dapat menjana pertumbuhan ekonomi sekali gus merapatkan jurang ekonomi antara Pantai Timur dengan Pantai Barat menerusi jaringan pengangkutan moden.

Kewujudan peluang pekerjaan juga bakal diperoleh melalui pembangunan ECRL kerana seramai 25 kontraktor tempatan telah dilantik dan kira-kira 30 peratus kerja-kerja kejuruteraan dan pembinaan akan dilaksanakan oleh kontraktor-kontraktor tempatan.

Berdasarkan penyerahan daripada kontraktor, projek tersebut dijangka memerlukan kira-kira 18,000 hingga 20,000 pekerja sepanjang pembinaan dijalankan dengan 70 peratus tenaga kerja tempatan, manakala selebihnya merupakan tenaga kerja dari China. Dengan itu, teknologi pembinaan dari China ini akan dikongsi melalui pembangunan projek ECRL dan rakyat tempatan berpeluang mempelajari teknologi rel China.

Kontraktor utama projek ECRL iaitu China Communications Construction Company Limited (CCCC) yang juga merupakan kontraktor antarabangsa ketiga terbaik di dunia bakal menyumbang sebanyak RM23 juta menerusi Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) bagi melatih 3,600 rakyat tempatan untuk bekerja dalam projek ECRL ini.

Bukan itu sahaja, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) juga akan melabur dalam pembinaan lebih daripada 20 terowong dengan panjang keseluruhan melebihi 50 kilometer (km) bagi mengurangkan kehilangan dan pembahagian hutan.

MRL juga berkerjama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mencipta dan membina lintasan hidupan liar di lebih 50 lokasi yang dikenal pasti dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Untuk itu, MRL akan bekerja rapat dengan Jabatan Alam Sekitar dan Perhilitan untuk memastikan ia dilaksanakan dengan betul selain menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Hidupan Liar ECRL.

Selain itu, Pelan Pengurusan Alam Sekitar juga akan dirumuskan untuk beberapa tapak pembinaan bagi memperincikan langkah-langkah pemeliharaan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh pembinaan tersebut dijalankan. Oleh sebab itu, saranan untuk membatalkan projek pembangunan ECRL yang mula dibina pada Julai 2017 serta dijangka siap pada tahun 2024 atas dasar politik dilihat tidak munasabah.

Selain Tun Mahathir, pemimpin Pakatan Harapan juga menyerang projek ECRL yang dilihat agak tidak masuk akal dan mempunyai agenda tersembunyi. Pakatan Harapan terus mengguna pakai apa saja alasan untuk menimbulkan keraguan sekali gus menggagalkan usaha kerajaan untuk mengimbangi pembangunan antara Pantai Barat dengan Pantai Timur.

Malah Kerajaan PKR Selangor dilihat seakan-akan membantah pelaksanaan pembangunan projek ini kerana sehingga kini, mereka masih belum memberikan maklum balas untuk sesi pembentangan projek ECRL walaupun Malaysia Rail Link sudah mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Besar Selangor dan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sejak Julai 2017. Sehingga kini tiada tarikh diberikan untuk pihak MRL mengadakan pembentangan projek kepada kerajaan negeri.

Secara keseluruhannya, walaupun dilihat mendapat tentangan daripada beberapa pihak, projek ECRL sepanjang 688 kilometer itu mampu mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada rakyat Malaysia terutamanya penduduk di Pantai Timur.

Masa untuk membetulkan kesilapan lampau dan mengurangkan ketidaksamaan ekonomi serta pembangunan antara Pantai Timur dan Pantai Barat perlu diteruskan.