Memang bermula 35 tahun hingga 40 tahun, Allah akan memanggil kita pulang bertaubat kepada-Nya. Panggilan daripada Allah selalunya berbentuk ujian. Kerana hanya dengan itu kita akan kembali bersimpuh dan bersujud me­ngadu dan memohon pertolongan-Nya.

Orang yang bijak akan memperbaiki diri dan amalannya, memperbaiki hubungan dengan ahli keluarga dan pasangannya, berjimat menyimpan untuk hari tuanya. Semua dengan niat mahu berkumpul bersama di syurga nanti.

Orang yang kurang bijak tetap leka dan langsung tak membuka deria terhadap panggilan Allah malah tetap leka dengan keseronokan dunia, berkumpul dengan rakan-rakan dan kurang memberi perhatian kepada suami, isteri atau anak-anak. Usia 35 - 40 ini menjadi lebih menarik apabila al-Quran di dalam surah al-Ahqaaf ayat 15 ada menyebut tentang itu.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya”, ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah.

Sedang tempoh mengandungkannya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa 30 bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur 40 tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhan ku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal salih yang Engkau redai dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku.

Sesungguhnya aku bertaubat kepada-Mu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepada Mu). Ada segelintir golongan yang sudah berumur 50 tahun, 60 tahun, malah 70 tahun masih memikirkan kereta sportnya, tanaman duriannya, ternakan kerbaunya, harta-hartanya, anak-anak dan cucu-cucunya.

Alangkah baik jika apabila sudah berumur, masa diisi untuk mendengar kuliah agama, ibadat di masjid, umrah, haji dan sebagainya. Ada yang masih merasakan diri muda belia. Melayan nafsu yang marak menyala, padahal kedut dan uban sudah tumbuh merata.

Sibuk mencari cinta di luar, sedangkan rumah tangga yang halal dibiar berantakan. Ada yang rasa macam masih sihat, walaupun sahabat-sahabat, saudara-mara ramai yang sudah meninggal, kadangkala tanpa disangka. Itu semua hanya menjadi bahan cerita “Ehh, tak sangka...muda lagi, sihat je nampak, boleh meninggal...” Amatlah menyedihkan tatkala orang lain bersiap bertemu Tuhan, kita masih leka dibuai perasaan akibat tertipu dengan nafsu sendiri. Nafsu memang tak pernah tua. Ia sentiasa muda dan galak.

Kalau sekarang kita rasa 35 - 40 tahun atau 70 tahun itu lama, bagaimana setelah alam barzakh atau akhirat juga kita dibangkitkan dan hidup dalam waktu yang sangat lama, Satu harinya - ribuan tahun. Ingat, ketika itu tak ada yang berguna kecuali amal baik kita.

Oleh kerana itu, lihatlah diri anda, sudahkah kita mempersiapkannya? Allah SWT berfirman (yang ertinya): “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kalian kepada Allah dan lihatlah diri masing-masing apakah yang sudah ia persiapkan untuk kehidupan esoknya”. (Al-Hasyr:18)

PENULIS berkhidmat di Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.