Di Redding, California, seorang gadis cedera ditikam ketika asyik memburu Pokemon pada pukul 2 pagi. Kejadian berlaku selepas mangsa didatangi sekumpulan penyerang yang mahu menyamunnya.

Seorang lelaki yang sedang memandu terlanggar kereta polis gara-gara bermain Pokemon Go ketika memandu. Tiada yang cedera dalam insiden itu, namun kejadian berkenaan berjaya dirakam.

Seorang wanita di Wisconsin pula tergamam apabila terjumpa satu mayat tertiarap di sebatang sungai semasa sibuk memburu Pokemon.

Itu antara insiden mengerikan yang berlaku gara-gara permainan Pokemon Go keluaran Nintendo Co. yang kini menjadi fenomena global. Pokemon Go bukan sahaja mencetuskan kegilaan ramai, malah dilihat menewaskan kehebatan Angry Bird dan Candy Crush yang popular sebelum ini.

Bagaimanapun penulis enggan mengulas tentang cara-cara bermain Pokemon Go.

Apa yang lebih penting adalah permainan yang dicipta sebagai hiburan ini te­lah men­jadi punca kepa­da kejadian jenayah, me­la­lai­kan, malah mengakibat­kan kematian.

Sejak dilancarkan pada 6 Julai lalu, ratusan insiden melibatkan Pokemon Go telah direkodkan.

Paling merisaukan, se­siapa sahaja boleh bermain per­mainan itu termasuk kanak-kanak. Ini bermakna, kanak-kanak boleh terdedah kepada bahaya kerana pe­main perlu ke Pokestop ter­tentu untuk memburu raksasa digital Pokemon.

Pokestop itu pula tidak terhad kepada tempat awam, malah boleh jadi pangkalan tentera, kelab malam dan rumah pelacuran.

Tidak hairanlah jika se­buah pertubuhan Imam di Turki menggesa pihak berkuasa mengharamkan permainan itu atas alasan bertentangan dengan ajaran Islam.

Pengerusi Ke­satuan Imam Diyanet-Sen, Mehmet Bayraktutar berkata, permainan itu menjejaskan nilai murni dan kesucian rumah ibadah apabila pemain aplikasi ber­kenaan memasuki masjid semata-mata mencari raksasa Pokemon.

Arab Saudi pula lebih tegas apabila mengingatkan rakyatnya tentang satu fatwa pada 2001 yang menyatakan bahawa Pokemon adalah haram berikutan simbol dan logonya yang bertentangan dengan agama Islam.

Larangan itu juga jelas Arab Saudi turut melibatkan semua perkara berkaitan Pokemon termasuk Pokemon Go.

Menyedari tentang bahaya kelekaan bermain permainan itu, Indonesia telah mengharamkan anggota polis bermain Pokemon Go semasa bertugas, malah larangan itu akan dikuatkuasakan kepada anggota tentera tidak lama lagi.

Malah, pemain aplikasi itu juga dilarang berkumpul di Istana Presiden sebagai langkah keselamatan.

Di Honolulu, pegawai di Pangkalan Tentera Bersama Pearl Harbor-Hickam mengarahkan tenteranya mengusir orang ramai yang bermain aplikasi tersebut di sekitar kawasan berkenaan.

Berdasarkan contoh-contoh di atas serta mengambil kira kesan buruk Pokemon Go, kerajaan juga wajar menimbang langkah sama bagi mengelak kejadian jenayah dan ancaman keselamatan di negara ini.

Cukup-cukuplah dengan terlalu banyak hiburan daripada gajet sedia ada sekarang. Kita sendiri sedia maklum tentang keburukan pendedahan melampau terhadap teknologi terutama kepada anak-anak.

Janganlah bila ada insiden berlaku, baru hendak bertindak. Tak guna bila sudah terhantuk baru terngadah.