Perisytiharan itu bercanggah dengan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan bahawa wajar diwujudkan tiga wilayah di bumi Palestin iaitu sebuah negara Yahudi, sebuah negara Arab dan Baitulmuqaddis sebagai kota suci tiga agama iaitu Yahudi, Kristian dan Islam.

Kini selepas 70 tahun, yang ada ialah negara Israel yang menguasai Baitulmuqaddis yang diisytiharkannya sebagai ibu negaranya. Mereka menduduki Tebing Barat dan Gaza dengan diwujudkan penempatan-penempatan Yahudi walaupun pentadbiran kedua-dua wilayah itu terletak Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Apa yang dituntut oleh Palestin ialah sebuah negara merdeka di Tebing Barat dan Gaza dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya. Rejim Tel Aviv menolak aspirasi Palestin itu malah ia terus menduduki Bukit Golan milik Syria yang ditawannya pada tahun 1967.

Pada tahun itu juga, rejim Tel Aviv menakluki Tebing Barat termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Gaza. Terdahulu rejim Tel Aviv menakluki Baitulmuqaddis Barat pada tahun 1948 dan mengisytiharkannya sebagai ibu negara pada tahun 1949.

Maka jika seseorang rakyat Palestin lahir pada tahun 1948, kini ia berusia 70 tahun dan masih tidak dapat menikmati menjadi warganegara merdeka. Malah ketika agensi Yahudi mengisytiharkan negara Israel, beliau tentu tidak ingat kerana masih sebagai seorang bayi.

Pertama kali penulis sedar mengenai Masjid al-Aqsa adalah pada tahun 1969, ketika berusia sepuluh tahun. Iaitu 20 tahun setelah rejim Tel Aviv memindahkan ibu negaranya ke Baitulmuqaddis. Orang bercakap mengenai Masjid al-Aqsa dibakar dan penulis melihat gambar kerosakan masjid itu yang disiarkan oleh akhbar Utusan Melayu.

Tindakan membakar mimbar Masjid al-Aqsa itu dilakukan oleh seorang Kristian Australia, Denis Michael Rohan. Beliau mempercayai bahawa perlunya didirikan semula rumah ibadat purba Yahudi ketiga yang dikenali sebagai Third Temple sebagai persediaan bagi turunnya Jesus Christ bagi kali kedua, Second Coming untuk menghadapi Antichrist (Dajjal versi Kristian).

Rumah ibadat purba Yahudi pertama ialah Solomon’s Temple atau Haikal Sulaiman yang didirikan pada zaman Raja/Nabi Sulaiman. Ia dimusnahkan oleh Babylon. Kemudian didirikan Second Temple di tapak yang lain tetapi dimusnahkan pula oleh tentera Rom.

Rohan menyatakan hasratnya untuk memusnahkan Masjid al-Aqsa bagi memudahkan orang Yahudi membina semula Third Temple. Beliau percaya masjid itu didirikan di atas tapak rumah ibadat Yahudi purba itu. Satu kepercayaan yang tidak ada asas dalam bidang arkeologi.

Fanatik

Beliau ditangkap, dibicarakan dan diisytiharkan sebagai mempunyai masalah mental. Rohan dibawa pulang ke Australia untuk dirawat. Beliau meninggal dunia pada tahun 1995. Kejadian membakar Masjid Al-Aqsa menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, demonstrasi diadakan di merata-rata tempat dengan negara-negara Islam menghantar memorandum ke PBB menuntut supaya keselamatan Masjid al-Aqsa dipelihara.

Bekas Mufti, Amin Al-Husseini menyifatkan kejadian itu sebagai “jenayah Yahudi” dan menggesa negara-negara Islam mengadakan sidang kemuncak. Sidang kemuncak diadakan di Rabat, Maghribi. Maka dari situlah tertubuhnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang kini dikenali sebagai Pertubuhan Kerjasama Islam.

Semua negara Islam sepakat bahawa Masjid al-Aqsa, tempat suci ketiga dalam Islam dipertahankan. Untuk itu pula, Baitulmuqaddis dan selanjutnya Palestin dibebaskan. Palestin sudah begitu mengalah hinggakan pada waktu ini, Baitulmuqaddis yang dituntut untuk dijadikan ibu negara Palestin merdeka hanyalah Baitulmuqaddis Timur di mana terletaknya Haram As-Sharif dan Masjid Al-Aqsa.

Tetapi Israel mahukan supaya Baitulmuqaddis disatukan iaitu Barat dan Timur, dan kesemuanya mahu diiktiraf sebagai ibu negara Israel. Mereka mahu Palestin mencari ibu kota lain. Itu dari segi politik tetapi ada agenda agama yang lebih besar dan mengancam Masjid al-Aqsa. Agenda ini adalah berasaskan fahaman yang dipegang oleh sebahagian kecil orang Yahudi dan Kristian dari mazhab tertentu.

Tidak semua, tetapi golongan ini amat aktif dan fanatik. Walaupun dalam golongan ini, pihak Yahudi dan Kristian mempunyai akidah berbeza tetapi natijahnya serupa iaitu pemusnahan Masjid al-Aqsa.

Mereka memanggil Haram As-Sharif sebagai Temple Mount. Ini kerana mereka percaya bahawa di situlah tapak Solomon Temple atau Haikal Sulaiman. Para ahli arkeologi berselisih pendapat mengenai tapak asal rumah ibadat itu. Kebanyakan kata ia terletak di tempat lain dan bukannya di Haram As-Sharif.

Oleh kerana banyak penyokong mereka terdiri daripada golongan mewah, baik di Amerika Syarikat (AS) mahupun Eropah, maka mereka mudah mendapat derma untuk tujuan itu. Maklumlah atas kepentingan agama.

Maka mereka telah melakukan kajian bentuk asal rumah ibadat itu sebelum dimusnahkan. Atas kajian itu, mereka membuat model terperinci. Model ini dipamerkan pada para penziarah dalam kalangan orang Yahudi dan Kristian. Ia diletakkan tidak jauh daripada Haram As-Sharif.

Mereka dilaporkan sudah bersedia dengan jurutera dan artkitek untuk membina rumah ibadat itu sebaik-baik saja jika dibenarkan oleh kerajaan Israel. Bagi golongan Yahudi itu, rumah ibadat itu perlu dibina bagi mempercepat kedatangan penyelamat yang dipanggil sebagai Messiah atau Masihi. Sementara bagi golongan Kristian, penyelamat itu adalah Jesus Christ yang akan turun ke bumi bagi kali kedua.

Jika kerajaan Israel membenarkan pembinaan rumah ibadat Yahudi itu di Haram As-Sharim, maka Masjid al-Aqsa dan Kubah As-Sakhrah atau Dome of the Rock akan musnah. Pastinya tidak ada orang Islam yang akan rela. Tetapi bagaimana caranya bagi negara-negara Islam mempertahankan Masjid al-Aqsa, Baitulmuqaddis dan Palestin?

Pertamanya, usaha kesedaran yang berpanjangan mengenai kepentingan Masjid al-Aqsa, Baitulmuqaddis dan Palestin untuk generasi-generasi akan datang.Dalam usia 70 tahun, lambat laun mereka yang lahir ketika Palestin ditiadakan di muka bumi ini akan juga tiada di dunia. Malah mereka yang menyaksikan dan mengingati peristiwa itu juga sudah tiada.

Kalau ada golongan orang Yahudi dan Kristian yang berusaha merancang, membiaya, membuat model, mengkaji arkeologi untuk tujuan membina semula Solomon Temple, maka ada golongan Islam juga wajar melakukan program bagi mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Akhirnya ia berkaitan juga dengan Baitulmuqaddis dan Palestin serta perpaduan negara-negara Islam dalam diplomasi dan pertahanan global. OIC perlu disegarkan segera.