Demonstrasi dan rusuhan awam ke atas beberapa buah kerajaan di dunia Arab yang dikenali sebagai Arab Spring hanya satu ledakan yang berfokus menggoncang struktur kerajaan di negara-negara bukan monarki termasuk Mesir, Libya, Tunisia dan Syria.

Harus juga kita ingat kesan Arab Spring masih berterusan melanda negara-negara ini, perang awam dan kerajaan di Syria serta ketidaktentuan undang-undang dan ketenteraman di Libya adalah yang paling teruk akibat bahana usaha pendemokrasian melalui rusuhan dan perang.

Syria umpamanya boleh dianggap ‘neraka Arab’. Kesan penentangan besar-besaran penduduk kepada sistem rejim individu yang berlindung di sebalik jawatan presiden pilihan ramai tetapi sebenarnya lebih bersikap pewarisan diktator kuku besi seperti mana diamalkan Korea Utara yang berhaluan prinsip komunisme. Korea Utara komunis tetapi berkompromi menggunakan istilah demokratik sebagai pelindung kepada kuku besi mereka.

Begitulah juga dengan anggapan dunia terhadap rejim Assad yang menguasai pemerintahan sosialis Syria, ditambah pula dengan elemen syiah yang bertentangan dengan akidah dan amalan majoriti umat Islam di bawah Sunnah Wal Jamaah (SWJ). Disebabkan tidak mahu meninggalkan kekuasaan, pihak Kerajaan Assad Syiah Syria sanggup membiarkan negara rosak, rakyat dibunuh kejam, lebih lima juta warganya terpaksa lari ke negara kristian Eropah, presidennya tidak sanggup berkorban dengan rakyat dan negara.

Harus kita tabik kepada Mugabe di Zimbabwe, walaupun mahu tetap berkuasa tetapi demi desakan pentadbir awam dan rakyatnya, dia sanggup meletakkan jawatan dan masih mahu tinggal di Zimbabwe. Seburuk label antarabangsa ke atas Mugabe, ia jauh lebih baik berbanding apa yang dilakukan kerajaan Syria ke atas negara dan rakyatnya. Contohi Mugabe dan cara Zimbabwe membina negara baru mereka, kekal aman dan stabil.

Ditambah pula perang proksi yang melibatkan elemen Syiah, Sunni, Washington dan Moscow. Dilema pertembungan antara proksi Saudi dan Washington dengan puak Syiah Iran dengan Moscow menyemarakkan lagi perang di neraka Arab yang akan terus berpanjangan. Syria tidak akan aman selamanya selagi empat kaki kerusi kuasa tidak mahu berkompromi.

Kini, Arab Saudi juga memasuki ruang politik baharu di era Raja Salman. Era kekuasaan keluarga diraja besar Bani Saud kepada transisi pemerintahan bersifat keluarga diraja yang lebih mikro iaitu di bawah keluarga Raja Salman adalah fasa monarki kedua bagi Saudi. Sebelum ini peluang anak-anak kepada Raja untuk diangkat sebagai pewaris takhta adalah mustahil, tapi kini kerana Raja Salman adalah waris terakhir Raja Abdul Aziz al-Saud pengasas kerajaan Saudi, maka peranan anak-anak dan keluarga terdekat baginda akan lebih menyerlah. Kini masa depan Saudi ibarat pola perubahan besar kepada alam Arab itu sendiri. Negeri-negeri mikro Arab seperti Kuwait, Bahrain, UAE, Oman dan Yemen serta Qatar perlu bijak menangani pola perubahan baharu politik Istana Saudi.

Kita tidak boleh menafikan dunia Arab masih bersifat elemen kabilah. Unsur ini masih utuh sebagai teras utama dalam pola politik pemerintahan mereka. Sistem monarki Arab juga berteraskan kabilah dan keseimbangan sesama mereka amat penting. Lihat sahaja keluarga As-Sabah begitu dominan di Kuwait dan mereka juga rakan baik dengan keluarga As-Saud yang memerintah Arab Saudi. Bani Hashim pula menjadi Raja di Jordan. Beberapa negara Asia Barat yang masih berteraskan dinasti kabilah seperti di Arab Saudi, Kuwait, UAE, Bahrain, Qatar, Omar dan Yemen serta Jordan.

Selain itu, peranan pemimpin tentera juga penting. Teras tentera pula dilihat perlu mendominasi Mesir, Libya, dan Syria serta Iraq. Tanpa elemen tentera, maka negara ini tidak mudah disusun atur pemerintahannya. Iraq sebagai contoh, tanpa dominasi pemimpin berakar umbi elemen ketenteraan sebagai tunjang negara, maka elemen kekabilahan, beza akidah dan amalan antara Sunni dan Syiah tidak dapat di­seimbangkan.

Nyata sekali dominasi sesebuah kumpulan secara mutlak ke dalam sesebuah negara Arab amat penting dalam menstabilkan wilayah terbabit. Mesir terselamat dari berubah ke arah ‘wilayah neraka’ apabila dominasi penstabil iaitu elemen tentera berjaya menjadi pemangkin penguatkuasa perundangan serta menundukkan penentang.

Rupanya demokrasi adakala­nya tidak sesuai pada ketika tertentu dan elemen pragmatik itu perlu. Di Malaysia, ketika negara di ambang permusuhan kaum, ketua kerajaan ketika itu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-haj bertindak memansuhkan Parlimen dan menubuhkan sebuah majlis pentadbiran khas dikenali sebagai Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan menggunakan kepimpinan tentera secara aktif digabungkan elemen pemerintahan awam bagi mewujudkan dominasi yang mampu mematahkan pihak anti-kestabilan. Inilah yang perlu ada pada beberapa negara Arab yang ibarat seperti gunung berapi yang tunggu masa untuk meledakkan laharnya.

Inilah wasatiyah dan jiwa keamanan yang dibawa kepimpinan Melayu dan Islam yang boleh diikuti dunia. Jika Zimbabwe juga boleh tenang dan damai melakukan peralihan kuasa dari satu rejim kepada tokoh yang lain, kenapa tidak Arab melihat ini sebagai cabaran yang perlu diperlakukan dalam konteks geo-politik Asia Barat itu.

Secara jangka pendek, dalam masa lima tahun dari sekarang, pasti akan berlaku letusan besar dari segi perubahan pola kuasa dan ekonomi di rantau Teluk yang perlu Malaysia dan dunia bersiap sedia. Moga kestabilan rantau Arab akan tercipta dan konflik dapat diredakan demi kebahagiaan masyarakat antarabangsa.

MD. SHUKRI SHUIB ialah Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik dan Pengajian Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS), Universiti Utara Malaysia