Bahkan disebabkan kekerapannya memegang watak yang berlawanan dengan hero, dia sering diberi jolokan sebagai ‘penjahat’ Malaysia. Tidak kurang juga yang menggelarnya sebagai ‘Sammo Hung Malaysia’ kerana kelincahan dan ketangkasannya beraksi meskipun berbadan besar.

Walaupun tidak sepopular pelakon-pelakon lain yang menjadi kegilaan peminat namun, Yank Kassim tidak pernah gagal dalam menjiwai wataknya meskipun hanya sebagai pelakon tambahan.

Sebut sahaja karakter yang pernah dibawanya daripada seringan-ringan pengiring sehinggalah seganas-ganas gangster, semuanya berjaya disampaikan dengan baik.

Menurut Yank Kassim, pada awal kariernya dalam industri perfileman tempatan, dia hanya terlibat sebagai pelakon sebelum berkecimpung dalam kerjaya lagak ngeri.

“Namun disebabkan sering membawa karakter yang memerlukan saya membuat aksi lasak, jadi ia mendorong saya untuk mengembangkan kerjaya dalam lagak ngeri. Apatah lagi kemahiran sudah ada.

“Jika tidak berlakon, saya akan ditawarkan untuk melakukan ‘double stunt’ iaitu melakukan aksi tanpa menampakkan wajah.

“Biasanya ada juga produser yang mengambil saya terus menjadi pelakon lagak ngeri kerana lebih mudah memandangkan saya memiliki kedua-dua pakej berkenaan,” katanya yang turut menjadi rujukan penerbit untuk mendapatkan idea berhubung aksi lagak ngeri.

Dalam pada itu, mempunyai perwatakan seperti penjahat dan kelebihan berbahasa Tamil telah membuka ruang untuknya berlakon dalam filem aksi terbitan produksi di India bertajuk 1977: The Rewritten History (2009) menerusi watak ketua penjenayah yang bergandingan dengan pelakon popular filem Tamil, Sarath Kumar.

“Sebelum saya berlakon dalam filem Tamil tersebut, saya pernah terlibat sebagai pelakon tambahan dengan memegang watak jahat dalam filem Bollywood, Don, lakonan bintang popular Shah Rukh Khan. Namun, saya hanya muncul dalam beberapa babak sahaja.

“Sepanjang berlakon, saya telah mempelajari sesuatu iaitu tidak boleh ‘membayangi’ atau ‘overshadow’ pelakon utama. Sebab itu, ada babak saya sepatutnya kelihatan ketika Shah Rukh Khan keluar dari kereta telah dipotong kerana editor memaklumkan saya terlalu menonjol dan ‘stylo’ daripada pelakon utama.

“Justeru, dalam filem ini, saya telah mengubah ketrampilan agar tidak nampak terlalu menonjol daripada hero utama. Penggambaran untuk babak di Malaysia dilakukan selama 15 hari. Memandangkan saya pegang watak sebagai ketua gangster, jadi saya banyak terlibat dalam aksi tembak-menembak dan bertarung dengan pelakon utama sehingga sampai tahap melambung-lambung ke tingkap dan jatuh dari tingkat 21,” katanya yang mendambakan aksi terjun bebas dari helikopter dan babak menari dalam filem Tamil.

Dalam pada itu, beliau telah menubuhkan sebuah kelab yang diberi nama Yanks Stunt Club Communities dalam usaha menjadikan kerjaya lagak ngeri sebagai satu profesion yang glamor dan dikenali dengan kualiti aksi yang mengagumkan.

“Jika sebelum ini saya berjaya mengangkat nama ‘penjahat’, kini saya mahu menaikkan pula nama pelagak ngeri tempatan,” katanya.