Hal ini dengan sendirinya memberikan satu inspirasi kepada rakyat betapa pentingnya isu perpaduan ini dihayati dan dilaksanakan terutamanya ketika mutakhir ini nampaknya soal perkauman, keagamaan, pendidikan dan lainnya se­ring dijadikan alasan yang mene­balkan rasa perkauman dan sensitiviti dalam kepelbagaian lapangan hidup semua warganegara.

Malah hal ini sering dijadikan permainan politik sempit dan taksub partisan yang melampaui batasan apabila isu-isu ini sering diperbesar-besarkan di luar konteks tertentu semata-mata kerana pertentangan ideologi fahaman politik terutamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan perubahan kerajaan di negara ini yang pertama kali berlaku dalam tempoh enam dekad Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan de­mokrasi berparlimen.

Isu perkauman dan keagamaan sebelum ini nampaknya tidak me­nimbulkan kegelisahan yang besar seperti akhir-akhir ini kerana hal ini sering merupakan satu formula kesepaduan yang dihormati oleh semua pihak dan di dalam arena politik partisan nampaknya isu-isu lain yang sering dikemukakan secara yang amat jelas dan terbuka.

Penulis masih ingat ketika me­ngetuai Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) bermula 1992 sehingga 2002, kami sering me­ngadakan sesi dialog dan perun­dingan dengan pertubuhan yang mewakili kumpulan agama termasuk Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST). Ini untuk mencari jalan mewujudkan persefahaman agama di Malaysia kerana isu agama merupakan isu yang paling sensitif bagi rakyat negara berbilang kaum ini.

Hanya ketua-ketua agama ma­sing-masing yang merupakan para pelaku yang dapat memainkan peranan penting dalam memahami keadaan masyarakat berbilang kaum ini dari sudut penghayatan agama bagi pengikut masing-ma­sing. Dan dari semasa ke semasa ha­ruslah berusaha menyusun stra­tegi bagi kesatuan pemikiran, si­kap dan perasaan bertolak ansur dalam kalangan pelbagai kaum da­lam isu-isu agama.

IKIM sering mengadakan majlis bersama dengan semua pihak dan menjelaskan tentang isu-isu agama di negara berbilang kaum ini supaya memahami dan menjaga sensitiviti masing-ma­sing. Juga, menghormati segala per­aturan dalam urusan agama me­ngikut Perlembagaan negara.

MCCBCHST melalui Presidennya ketika itu, Dr. Thomas Philips telah mengeluarkan kenyataan yang amat positif dan tepat pada masanya iaitu menggesa semua rakyat negara kita supaya menghormati Perlembagaan yang me­ngandungi kontrak sosial bagi me­wujudkan keadilan sosial dan perpaduan di negara ini.

Amat tepat sekali pendirian yang dinyatakan oleh MCCBCHST yang menyatakan bahawa ketika Per­lembagaan memberikan hak Raja-raja Melayu, pengiktirafan kepada kedudukan agama negara, hak istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sa­rawak, maka Perlembagaan juga memberikan kebebasan dan hak kepada agama dan kaum lain - yang sememangnya dilindungi oleh Perlembagaan, termasuk Per­kara 3, 8, 9 dan 152, yang an­tara lainnya bebas mengamalkan aga­ma masing-masing dalam aman dan harmoni.

Oleh itu, titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada Selasa lalu adalah satu amanah yang amat padat dan tepat mengenai isu yang dibincangkan sejak lama dulu, yang kini nampaknya menjadi longgar dan sering dipergunakan dengan cara yang tidak sihat oleh beberapa golongan yang tertentu.

Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapannya itu juga me­negaskan kepentingan sikap kebijaksanaan dan keprihatinan dalam menguruskan konflik dan perselisihan pandangan agar se­gala perbezaan pandangan itu dapat diatasi dengan aman damai. Malah baginda juga menyentuh isu ekonomi, agama dan lain-lain yang seharusnya dirawat dengan baik kerana hal-hal begini dapat merebak menjadi duri di dalam daging yang boleh mengganggu usaha-usaha kenegaraan yang lebih besar lagi.

Gurauan ringan baginda ketika berangkat masuk ke Dewan de­ngan menjemput Yang Dipertua Dewan Negara, Dewan Rakyat serta seluruh anggota Parlimen supaya duduk dan ‘jangan lari’ datangnya pada ketika yang amat tepat sekali menggesa ahli-ahli Dewan supaya memfokuskan perbincang­an kepada isu-isu besar, serius dan benar, tanpa mengambil tindakan emosional dan remeh temeh.

Baginda juga mungkin ingin membawa kembali perhatian dan peri laku ahli Parlimen kepada keadaan yang lebih beretika dan bertamadun dalam sidang Parlimen, yang sebelum ini disifatkan oleh sebahagian pemerhati sebagai sebuah pasar dan gelanggang yang hiruk pikuk dengan ungkapan tidak beradab.

Titah ucapan baginda dengan itu adalah satu dokumen dan momento ringkas, tetapi padat mengandungi makna dan falsafah yang amat mendalam, yang terbit dari mulut seorang pe­mimpin tertinggi negara dengan kedaulatan dan kebesarannya, dalam suasana membangunkan sebuah negara Malaysia Baharu yang kuat dan istimewa.

DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).