Setakat ini tiada laporan me­ngenai isu besar berkepentingan rakyat tersebut.

Hanya dipaparkan di portal berita, blog dan laman sosial dalam pertemuan dua jam itu berkisar gesaan gerombolan pembangkang kepada duta-duta EU supaya memberi tekanan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) secara bersih dan adil.

Apa yang tidak adilnya sistem pilihanraya di negara ini tidak dapat dipastikan di mana pakatan pembangkang sendiri meraih kemenangan di beberapa buah ne­geri dalam PRU-13 lalu.

Kalaupun Barisan Nasional (BN) bersikap diktator dan kuku besi, masakan BN mahu melepaskan dua negeri terkaya di Malaysia - Selangor dan Pulau Pinang - ke tangan PKR dan DAP begitu sahaja?

Sudah tentulah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan ‘dicucuk hidung’ untuk berpakat memenangkan BN dengan mengatur segala penipuan dan sabotaj dalam pilihan raya 2013 itu. Tapi ini tidak berlaku.

Bahkan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sepanjang 10 tahun pentadbirannya boleh berbuat macam-macam perkara tanpa sebarang halangan, sehinggalah beliau sendiri akhirnya ‘tersangkut’ dalam kes rasuah dan kontroversi projek mega te­rowong dasar laut.

Kalaulah Kerajaan Pusat mahu mensabotaj Selangor yang terlepas dua kali dari genggamannya, masakan Selangor masih diberi peruntukan RM564.6 juta daripada Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) untuk penyelenggaraan jalan seluruh negeri itu?

Itu belum lagi termasuk peruntukan-peruntukan lain bernilai puluhan dan jutaan juta ringgit untuk negeri di Lembah Klang itu.

Realitinya, isu pilihan raya yang dimomokkan sebagai tidak adil di Malaysia yang sudah berlangsung sebanyak 13 kali itu sudah sebenarnya satu isu basi dan memperlihatkan pembangkang ketandusan modal.

Isu besar sebenarnya yang penulis selaku Ketua Pengarah Seranta Felcra Berhad mahu bangkitkan di sini adalah mengapa Dr. Mahathir dalam pertemuan dengan duta-duta EU terbabit ‘terkedu’ dan ‘tergamam’ untuk menyuarakan bantahan terhadap kempen antisawit oleh EU.

Bukannya pun Dr. Mahathir bersendirian di situ. Beliau ditemani Timbalan Presiden pakatan yang juga Presiden PAN, Mohamad Sabu; Ketua Setiausaha Sekretariat pakatan, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi DAP, Tan Kok Wai; Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar dan Naib Presiden PPBM, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bukankah mereka ini terkenal dengan kelantangan mulut yang celupar untuk ‘membahasakan’ duta-duta EU terbabit?

Isu anti minyak sawit nampak­nya langsung tiada dalam kotak fikiran Dr. Mahathir di kediaman Maria.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu tampak tidak memikirkan langsung untung nasib peneroka Felda dan Felcra yang bergantung rezeki pendapatan pada sawit.

Sedangkan EU sudah me­ngesahkan rancangannya me­n­g­haram­kan bahan bakar biosawit yang menjadi sebahagian besar eksport Malaysia. Pengharaman itu akan bermula tahun 2021, iaitu tiga tahun sahaja lagi.Minyak sawit diakui penyumbang utama kepada ekonomi, masyarakat dan kemakmuran Malaysia.

Lebih 650,000 pekebun kecil bergantung kepada tanaman sawit. Jumlah ini mencecah 2.3 juta rakyat Malaysia sekiranya bilangan kanak-kanak daripada keluarga yang terbabit juga diambil kira.

Sebelum ini minyak sawit men­dapat tempat di Eropah. Pada 2016, EU merupakan destinasi eksport yang penting bagi minyak sawit Malaysia - berjumlah 3.63 juta tan metrik yang bernilai RM10.3 bilion - naik 4.14% berbanding RM9.89 bilion pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun ‘gerhana’ melanda. Pelobi-pelobi di Eropah sengaja menjaja cerita tidak benar terhadap produk kelapa sawit. Malah kerajaan mendapat maklumat ada produk yang dipasarkan di sana digalakkan untuk mele­takkan label tanpa minyak sawit.

Tindakan diskriminasi ini ha­nya mengakibatkan kesan buruk terhadap industri kelapa sawit di negara ini termasuklah membabitkan 112,635 pekebun kecil di tanah rancangan Felda manakala Felcra melibatkan 120,000 keluarga.

Bukan sahaja Malaysia, tetangga kita di Indonesia turut menjadi mangsa melibatkan 17.5 juta pekebun kecil.

EU menyerlahkan hipokrasi mereka dengan melakukan penjajahan ekonomi ke atas negara-negara pengeluar minyak sawit berhubung sekatan yang dicadangkannya terhadap komoditi tersebut.

Langkah itu lebih kepada penjajahan berikutan ia didorong oleh alasan yang tidak berasas, susulan mereka menyedari terdapat hubungan antara kelapa sawit dan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar.

Maka, di mana air muka dan maruah Dr. Mahathir dan pe­mimpin pembangkang lain yang mengetepikan kepentingan pene­roka dengan tidak membangkitkan langsung isu antisawit EU dalam pertemuan pada Khamis lepas?

Sama ada Dr. Mahathir sengaja enggan membangkitkan isu kempen antisawit EU ini kerana mahu meletakkan bebanan kepada kerajaan yang diharap akan dibenci oleh peneroka, kita tidak pasti.

Ini lebih-lebih lagi apabila PPBM diberi sepenuh kepercayaan oleh DAP menerusi peruntukan kerusi terbesar pembangkang - 52 kerusi dengan dikatakan bakal meletakkan calon-calon yang mana sebahagian besarnya adalah kerusi-kerusi di luar bandar terutamanya di kawasan Felda.

Tapi apa yang pastinya dalam PRU-14 nanti, Pakatan Harapan akan ‘diajar’ oleh pengundi Felda dan Felcra di sekurang-kurangnya 92 kerusi Parlimen dan kira-kira 50 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, apabila mereka mensia-siakan pertemuan itu dengan tidak membangkit isu kempen antisawit EU yang menjejaskan pendapatan negara, terutamanya pe­neroka di seluruh negara.

DATUK DR. NAJMIL FAIZ MO­­­­­­­­­­­­­­­­­­HA­­MED­ ARIS ialah Naib Ke­tua Pe­­muda UMNO Terengganu.