Pelbagai petunjuk boleh dilihat antaranya kedudukan ringgit semakin lemah. Kini kadar ringgit yang dicatatkan adalah sekitar RM4.20 berbanding AS$1. Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu kadarnya ialah RM3.89 berbanding AS$1.

Begitu juga dengan kisah pelabur-pelabur asing yang menjual ekuiti dalam pasaran sekali gus membawa keluar dana mereka dari negara ini. Tidak termasuk hasil cukai kerajaan yang semakin berkurangan ekoran pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Yalah, melalui SST kerajaan hanya mampu mengutip RM20 bilion manakala GST pula kerajaan berjaya mengutip RM40 bilion. Ini bermakna kerajaan hilang hasil sebanyak RM20 bilion. Hendak kata harga barang turun dengan pelaksanaan SST, tidaklah pula. Macam itu juga.

Tidak terkecuali isu harga minyak mentah yang semakin menurun di pasaran dunia iaitu bawah AS$60 setong. Akibatnya pendapatan negara berkurangan. Inilah fakta dan keadaan yang perlu dihadapi oleh rakyat marhaen seperti kita sepanjang tahun depan.

Selain itu banyak juga syarikat yang terpaksa mengecilkan operasi dan ada yang tutup. Kesannya, ramailah yang hilang pekerjaan. Jika nasib baik mereka diberikan pampasan sama ada melalui skim pemisahan sukarela (VSS), Skim Pemisahan Bersama (MSS) mahupun skim pemberhentian pekerja.

Itulah hakikat yang berlaku. Usah cerita adik-adik graduan kita. Boleh dikatakan mereka kini sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Oleh itu usah hairan ada graduan lulusan kejuruteraan terpaksa bekerja di kafe kopi premium. Apa pilihan mereka?

Justeru, kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu buat sesuatu. Jangan biarkan rakyat menjadi mangsa. Rintihan mereka perlu didengari. Antaranya seperti penoreh getah, peneroka Felda dan nelayan. Hidup mereka benar-benar tersepit.

Mujurlah baru-baru ini kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Sara Hidup (BSH) musim tengkujuh kepada mereka. Oleh itu tidak hairanlah ada pihak yang melihat tentang keperluan Dr. Mahathir merombak segera Kabinetnya demi memastikan nasib rakyat terus terbela.

Perlu diakui Dr. Mahathir amat memerlukan satu pasukan yang mantap bagi menghadapi tahun baharu yang penuh mencabar ini. Mana-mana menteri yang tidak boleh deliver perlu disingkirkan. Lagipun mereka telah diberi masa tujuh bulan untuk tunjuk kemampuan.

Ini soal mentadbir negara bukannya menguruskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Cuba kita imbau nama-nama menteri-menteri dalam Kabinet ketika Dr. Mahathir memegang jawatan sebagai Perdana Menteri keempat. Semuanya hebat. Mereka cukup mahir menerajui kementerian masing-masing. Bukannya seperti sekarang. Ini realiti yang perlu diakui.

Hakikatnya, seorang menteri perlu bijak, berpengetahuan dan paling penting mampu deliver. Ditambahkan dengan kemampuan menjawab soalan media dan ahli Parlimen di Dewan Rakyat dengan baik, cakap tidak berbelit-belit, tidak mudah melenting dan seorang yang tenang.

Penulis percaya Dr. Mahathir sedar akan kemampuan menteri-menterinya itu dan mungkin sedang menilai seorang demi seorang sama ada mereka layak meneruskan tugas sebagai menteri atau sebaliknya. Soal mentadbir negara dan menguruskan rakyat bukan soal main-main.

Mengenai cadangan agar P. Waytha Moorthy dilucutkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, diharap Dr. Mahathir dapat memberikan respons positif. Tolonglah ambil kira pandangan rakyat. Waytha Moorthy sememangnya gagal menjadi seorang menteri perpaduan.

Dia gagal mengawal keadaan dalam kes rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya sehingga menyebabkan kematian seorang anggota bomba Muhammad Adib Mohd. Kassim pada 18 Disember lalu akibat dipukul.

Termasuk juga cadangannya agar kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang mana turut menimbulkan kemarahan rakyat. Mujurlah cadangan ini ditolak. Apapun dua isu ini cukup menggambarkan betapa beliau tidak layak menjadi menteri yang memegang portfolio Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial.

Lagipun Waytha Moorthy bukan pemimpin mana-mana parti dalam PH. Dia hanya seorang pemimpin NGO. Jangan nanti rakyat membuat sesuatu yang di luar jangka disebabkan menteri ini. Percayalah, ramai lagi pemimpin dalam PH yang mampu memegang portfolio ini dengan lebih berkesan.