Gelagat bekas Perdana Menteri itu seolah-olah suatu seni politik ‘sapu sahaja, janji boleh’ - yang setara dengan inti pemikiran politik Machiavelli yang berteraskan kekuasaan. Ikuti babak-babak yang pernah dicetuskan Dr. Mahathir semasa beliau berurusan dalam parti dan kerajaan dalam 10 siri yang dilaporkan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL.

TUN Abdullah Ahmad Badawi atau mesra de­ngan panggilan Pak Lah berjaya melepasi ‘ranjau dan duri’ Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengisi jawatan nombor satu kerajaan pada 2003.

Nasibnya lebih berjaya berbanding timbalan-timbalan Mahathir sebelum itu - Anwar Ibrahim, Ghafar Baba dan lebih awal, Musa Hitam dalam permainan muktamad mewarisi kuasa.

Pada Mac 2004, Pak Lah mahukan Malaysia mengadakan pilihan raya umum (PRU) ke-11. Ketika itu beliau baru empat bulan menjadi Perdana Menteri dan semestinya mahukan mandat baharu di bawah kepimpinan beliau.

Walaupun tidak diisytiharkan, Pak Lah berhasrat untuk keluar dari bayang-bayang Mahathir. Suatu jangkaan positif berlaku. BN di bawah Pak Lah menang besar dalam sejarah BN.

Seruan Pak Lah untuk perubah­an melalui beberapa pengumuman dasar diterima baik. Pada masa sama, nampaknya seolah-olah pentadbiran Mahathir sebelum itu masih perlukan sesuatu, sekali gus menjadikan hubungan Pak Lah-Mahathir menjadi renggang.

Kira-kira enam bulan menjadi Perdana Menteri, Mahathir mula menjadi pengkritik utama Pak Lah. Banyak ungkapan dan metafora menjejaskan imej pentadbiran Pak Lah.

Pada masa sama, Mahathir te­rus mengeluarkan kritikan pedas terhadap Pak Lah terutama selepas PRU-12 yang menyaksikan kekalahan BN di empat negeri - Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun Pak Lah jarang bertindak balas secara terbuka. Begitupun beliau pernah beberapa kali mengeluh di dalam Kabinet.

Iaitu daripada pembatalan projek jambatan bengkok Singa­pura-Johor oleh pentadbiran beliau yang secara tidak langsung menghancurkan projek Mahathir kepada ‘pemuda-pemuda aras 4’ yang diketahui ramai sebagai sasaran mengecam Pak Lah. Dan daripada kempen Islam Hadhari kepada projek-projek koridor ekonomi dan sebagainya.

Kepimpinan Pak Lah dihantui dengan serangan dan pelbagai kritikan daripada bekas mentor dan pihak lain. Mahathir kemudian meninggalkan UMNO hampir selama tempoh Pak Lah me­mimpin sebagai presiden UMNO. Beliau menyertai semula parti itu pada April 2009, beberapa hari selepas Datuk Seri Najib Tun Razak kembali sebagai presiden.

Ini adalah cara halus Mahathir tetapi mencetuskan gelombang yang besar dalam menunjukkan kepada dunia bahawa Pak Lah tidak berada di landasan kepimpin­an yang dikehendaki negara.

Seperti yang dilihat oleh orang awam, punca kemarahan Mahathir timbul daripada keputus­an yang dibuat untuk tidak meneruskan projek-projek utama yang telah diputuskan semasa pentadbiran beliau. Pembatalan Jambatan Johor-Woodland, yang lebih dikenali sebagai Jambatan Bengkok dan projek-projek jalan raya berkembar KL-Utara, disifatkan sebagai ‘melanggar perjanjian’ utama oleh Pak Lah yang menyakiti perasaan bekas Perdana Menteri itu.

Ada satu ketika semasa sesi bertemu rakyat, Mahathir memberi penjelasan bahawa terdapat satu jenis persetujuan tidak bertulis di antara beliau dan Pak Lah sebelum penyerahan kuasa November 2003.

Bagi pihak Pak Lah pula, selain alasan kesempitan kewang­an juga menyatakan keputusan sedemikian atas persetujuan Kabinet. Beliau tidak pula pernah membuat pertimbangan semula mengenai projek itu, mahupun membuat sebarang usaha untuk memulihkan semula kemesraan beliau dengan Mahathir.

Kecaman Mahathir yang pa­ling keras adalah dengan merujuk pentadbiran Pak Lah sebagai half-past six government. Ini merupakan kecaman yang paling meyakitkan hati kerana ulasan itu melingkungi hampir semua pe­mimpin dalam sistem.

Tak cukup dengan itu Mahathir menjadi seorang blogger dengan nama pena Che Det di mana beliau terus menyerang Pak Lah, yang sebaliknya memilih untuk mene­lan derita dengan berdiam diri.

Pak Lah secara jelas enggan berbaik atau rapat dengan Mahathir.

Perdana Menteri kelima itu turut melahirkan perasaan sedih dan kecewa dengan tindakan Mahathir yang terus mengkritik beliau secara terbuka selepas pertemuan mereka dua hari sebelum Aidilfitri 2006.

Pertemuan dua jam di Seri Perdana itu berlangsung dalam suasana harmoni dan banyak perkara dibangkitkan oleh Mahathir.

Antaranya mengenai UMNO, isu negara polis, soal projek yang diperoleh oleh anak-pinak Pak Lah dan kejayaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Kata Pak Lah, beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Mahathir adalah tidak benar terutama apabila Mahathir mendakwa Malaysia kini adalah negara polis, selain isu anaknya, Kamaluddin, mendapat projek walaupun tidak mempunyai kemampuan.

“Pasal hal yang berkaitan anak-pinak saya, bila dia kata anak saya Kamal (Kamaluddin) tidak ada kemudahan bila dia ambil projek... itu tak betul.”

Menurut Abdullah, Mahathir turut mendakwa Scomi, syarikat yang Kamaluddin ada kepenting­an, mendapat kontrak mengangkut arang batu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedangkan ia tidak mempunyai kapal.

Bagaimanapun, Pak Lah berkata, hakikat sebenarnya syarikat itu adalah satu-satunya syarikat yang mempunyai 180 buah kapal sendiri untuk beroperasi.

Apa yang ditanya Mahathir pada Pak Lah sebenarnya berbalik semula kepadanya sekarang apabila beberapa exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), sayap belia Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempersoalkan kekayaan luar biasa anak-anak Pengerusi PPBM itu.