Rakyat Selangor menaruh harapan yang tinggi kepadanya. Malah, masa depan politiknya juga cukup cerah. Sebelum Dr. Abu Hassan, ialah Muhammad Muhd Taib. Beliau juga cukup kontroversi. Dia pernah ditahan oleh pihak berkuasa Australia membawa wang tunai yang besar tanpa diisytihar. Beritanya menjadi besar di tanah air.

Seingat kita bekas MB Selangor Harun Idris juga pernah dipenjarakan selama empat tahun kerana salah laku wang membabitkan penganjuran perlawanan tinju antara Muhammad Ali dan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1970an. Sesungguhnya siapa yang menjadi MB Selangor mempunyai badi yang perlu dihadapinya. Banyak yang kelabu mata ketika berada di tampuk pemerintahan negeri terkaya di negara ini.

Semalam Dr. Khir dijatuhi hukuman setahun penjara kerana menyalahgunakan kedudukan untuk membeli sebidang tanah dengan harga yang rendah. Rayuannya ditolak. Malah peguam terkemuka Shafie Abdullah juga gagal apabila cuba memohon meringankan hukuman daripada penjara kepada khidmat sosial sebagai doktor gigi.

Bersabarlah Dr. Khir. Setahun bukannya lama. Pejam celik, pejam celik cukuplah tempohnya. Ditolak dengan kelakuan baik, mungkin tempoh hukuman akan dipendekkan kepada separuh sahaja.

Muhammad Taib bernasib baik kerana beliau bebas daripada dipenjarakan. Begitu juga Dr. Abu Hassan. Dr. Khir kurang bernasib baik. Walaupun kita tahu tanah yang dibeli itu ialah untuk mendirikan rumah persaraan selepas Selangor tersungkur dalam pilihan raya 2008, isu itu dikorek oleh pihak yang memerintah. Sudah tentu ada yang bocorkan. Mungkin juga pegawai kerajaan yang tidak sukakannya.

Semasa beliau menjadi MB saya pernah “menegur” beliau selaku wartawan dan juga rakan kerana caranya yang agak janggal memberi penyapu kepada pegawai tinggi kerajaannya.

Walaupun hasratnya mahu memperbetulkan perkara yang tidak betul, namun cara itu terlalu mengaibkan. Namun, dia tetap mempertahankan tindakannya itu. Kerajaan beliau kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum 2008.

Saya mengenali beliau secara teknikal pada 2005. Berita pendedahan mengenai pencerobohan hutan Taman Pertanian Bukit Cherakah yang saya tulis telah menggemparkan negara.

Hutan-hutan di situ telah diteroka secara gelojoh untuk didirikan kawasan perumahan dikenali sebagai seksyen baharu Shah Alam U9, U10 dan U11. Lebih 30 kawasan tanah dipecah-pecahkan kepada pihak pemaju sehinggakan ekologi kawasan taman pertanian itu terganggu.

Semua pihak respons kepada pendedahan itu, termasuk PM Abdullah Ahmad Badawi. Dr. Khir yang terkejut dengan pendedahan itu bermati-matian mempertahankan tindakannya.

Beliau yang bergegas pulang dari Amerika Syarikat ekoran pendedahan itu berkata: “Semuanya ok!” semasa melawat ke taman pertanian itu.

Namun akhirnya beliau akur, kerja tanah yang tidak teratur telah merosakkan kawasan alam semula jadi di situ. Kini selepas 20 tahun, kawasan-kawasan yang dimajukan itu menampung penghuni berjumlah puluhan ribu orang.

Dr. Khir juga yang bertanggungjawab memajukan kawasan baharu Seksyen 7 Shah Alam dan kawasan pembangunan yang dibuka kepada bukan Melayu. Saya juga pernah memberitahunya bahawa pembukaan kawasan itu telah merobohkan benteng geopolitik orang Melayu di Shah Alam.

Beliau “mengangguk-angguk” - semasa ditemui selepas beliau tidak lagi menjadi MB.

Pertemuan kami lebih kerap berlaku selepas beliau bukan lagi menjadi MB. Lumrah saya yang hanya akan rapat semasa mereka tiada lagi kuasa. Pendek cerita, Dr. Khir seorang yang baik. Sepanjang pemerintahannya beliau telah membawa banyak kejayaan kepada negeri Selangor. Hakikat itu harus direkod.

Saya berharap tulisan ini bukan satu ‘belasungkawa’ baginya, malah akan memberikan seribu iktibar kepada kita semua. Sesungguhnya Malaysia semakin matang setiap hari. Kematangan ini jugalah yang akan membentuk pemikiran dan pendekatan rakyat negara bertuah ini di hari muka. Bersabarlah Dr. Khir...