Itulah antara kata-kata Dr. Muhammad Hafiz Zainal, 26, atau lebih dikenali sebagai Dr. Hafiz Zainal ketika ditanya bagaimana beliau mampu mengekalkan kecemerlangan akademik sehingga berjaya bergelar doktor dan dalam masa sama bergiat aktif dalam dunia nyanyian.

Dr.Hafiz yang kini bertugas sebagai pakar bedah mulut dan maksilofasial di Bahagian Kesihatan Pergigian, Hospital Tunku Ja’afar, Seremban mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian sejak di bangku sekolah.

“Saya berasakan bakat yang dianugerahkan ini tidak seharusnya disia-siakan. Bakat ini perlu dimanfaatkan untuk kebaikan masyarakat.

“Bagi saya, sekiranya kita bijak menguruskan masa, tidak salah untuk menceburkan diri dalam kedua-dua bidang diminati,” katanya kepada Mega Rona.

Selain menjalankan tugas hakiki sebagai doktor, Dr.Hafiz muncul sebagai penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Nova Music Malaysia.

Jejaka tampan kelahiran Johor Bahru itu sudah memiliki tiga buah single iaitu Cinta Bukan Jalan Kita (2015), Gadis Melayu Ayu (2017) ciptaan Ezra Kong dan Omar K serta Percaya Kasih Mu (2018) karya Hang Nadim dan Zimi Sofazr.

Menurutnya, semasa mengikuti pengajian di Universiti Iskandariah, Mesir dalam bidang pergigian, beliau sempat menyertai pertandingan Awakening Talent Contest dan mendapat tempat kedua selepas Harris J.

Rusuhan yang berlaku di Mesir menyebabkan beliau hanya sempat mengikuti pengajian selama setahun lebih sebelum ditawarkan tempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sejak menyertai pertandingan tersebut, Dr. Hafiz mula menerima pelbagai tawaran daripada syarikat rakaman dalam dan luar negara sebelum memilih untuk mengikat kontrak dengan syarikat rakaman UMA Global Records dengan kerjasama Universal Music Malaysia dari 2014 hingga 2017.

“Ketika itu saya memilih syarikat rakaman luar negara bukan kerana mahu nampak hebat, tetapi kerana syarikat tersebut lebih memahami jadual waktu saya sebagai seorang pelajar perubatan pergigian dan dalam masa sama saya juga menyanyi,”katanya.

Tambah doktor muda ini, minat yang mendalam dalam dunia nyanyian membuatkannya tidak kisah untuk mengorbankan masa rehat semata-mata mahu menyiapkan rakaman lagu mahupun memenuhi jemputan sebagai seorang selebriti.

Meskipun menggenggam segulung ijazah pembedahan pergigian dari UKM, Dr.Hafiz tidak mahu mensia-siakan bakat nyanyian dengan hanya fokus pada satu bidang sahaja.

“Bagi saya, kita perlu seimbangkan pelajaran dan minat dalam bidang lain. Misalnya saya mula bergiat aktif dalam bidang nyanyian sejak zaman universiti lagi. Ketika itu jadual waktu pelajaran saya amat padat,” ujarnya.

Dr.Hafiz juga tidak mahu mensia-siakan ilmu yang ada. Justeru, beliau turut aktif berkongsi ilmu-ilmu pergigian menerusi ceramah seperti ‘Talk by inspiring Dentist’ anjuran Fakulti Pergigian, Universiti Malaya baru-baru ini.

Menurut Dr. Hafiz, dia mahu menjadi inspirasi kepada anak muda iaitu tidak semestinya jika terlibat dalam dunia nyanyian, maka harus mengabaikan pelajaran.

“Keluarga saya amat menekankan akademik dan itulah yang mendorong saya mencapai cita-cita sebagai seorang doktor gigi. Dalam waktu yang sama,saya terus aktif menyanyi,”katanya.

Mengulas perancangan masa hadapan, Dr. Hafiz berharap dapat memiliki sebuah klinik pergigian dan studio sendiri.

“Kalau ada rezeki, saya ingin mempunyai klinik pergigian yang terletak bersebelahan dengan studio nyanyian saya, supaya senang untuk melakukan kedua-dua aktiviti yang saya minati itu,” ujarnya dalam nada ceria.