Oleh kerana sifat penerimaan penonton adalah begitu, maka filem Ola Bola yang kini sudah melepasi angka RM8 juta hasil kutipan selepas mula ditayangkan pada 28 Januari lalu di 126 pawagam seluruh negara serta Brunei, menjadi begitu signifikan dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Mahu atau tidak, filem Ola Bola - satu kisah semangat kesukanan orang muda yang tinggi dan genggaman sebuah potret penyatuan bangsa yang luar biasa, adalah yang sepatutnya ada pada jiwa setiap rakyat Malaysia pada hari ini.

Apa yang jelas, penonton telah melihat sejarah lampau legenda bola sepak negara dalam sebuah filem sejarah sukan yang hebat ini dan bagaimana "Harimau Malaya" pada waktu itu melalui kisah perit tanpa memikirkan merit, sebaliknya menelan pahit untuk sebuah kejayaan yang boleh dipekik dan dijerit.

Bagi peminat bola sepak berusia 50 tahun ke atas pada waktu ini, filem Ola Bola adalah sinergi yang membuatkan kaki mereka kembali terangkat untuk menyepak bola yang menyilang di celah bangku walaupun ada yang menonton sambil mengalirkan air mata dengan ungkapan, "kalaulah bintang itu masih ada, bola sepak akan gemilang di persada. Apakan daya, ramai yang sudah tiada, semangat yang ditinggal, entahkan ada, entahkan tiada."

Hari ini, filem Ola Bola mengembalikan semangat pekikan dan keributan di padang bola ketika sejarah pasukan bola sepak Malaysia begitu gemilang pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an. Malaysia muncul pasukan bola sepak terhebat di Asia dengan nama hebat seperti Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Soh Chin Aun, Santokh Singh dan "Spiderman" R. Arumugam.

Jelas bahawa komoditi yang didagangkan dalam filem Ola Bola ini adalah melalui nilai positif yang amat ketara iaitu perpaduan, patriotik, kebersamaan, tekanan yang dileraikan dengan kata-kata yang cukup terasa, umpamanya, “Kita menang sama-sama. Kita kalah pun sama-sama. Walau apa berlaku, kita tetap bersama sebagai satu pasukan.”

Tidak mengapa sebuah filem seperti Ola Bola menggunakan pelbagai bahasa ibunda kerana itulah sebenarnya Malaysia. Maka, dapatlah kita lihat bahawa slogan 1Malaysia sebenarnya telah diasimilasikan dalam Ola Bola dan itulah semangat yang dipakai oleh legenda bola sepak negara pada kegemilangan lampau. 1Malaysia itu sudah bergema sejak lampau dan mungkin tidak disebut 1Malaysia tetapi disebut "1Hati 1Jiwa" atau "Untukmu Malaysia".

Menerjah

Mungkinlah, orang muda pada hari ini tidak kenal semangat yang dipatuk dalam jiwa legenda bola sepak negara. Kalau ada pun, mereka membaca tetapi tidak sempat melihat aksi superstar seperti Supermokh (Datuk Mokhtar) umpamanya, beliau telah diberi gelaran itu kerana kecemerlanganya menjaringkan banyak gol sepanjang kariernya.

Dia mewakili Malaysia dari tahun 1972 hinggalah 1985.

Sejarah bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik buat pertama kali adalah pada tahun 1972, menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Filipina. Pada tahun 1980, pasukan yang turut dibarisi bintang seperti Hassan Sani, James Wong, Shaharuddin Abdullah, Wong Fook Chuan, N.Thanabalan, Zulkifli Norbit, Abdullah Nordin dan ramai lagi berjaya mendapatkan tempat beraksi pada Sukan Olimpik di Moscow.

Bagi mereka, waktu itu bukan soal wang ringgit tetapi adalah kesabaran dan kesungguhan untuk membanggakan negara Malaysia dan menghormati antara satu sama lain.

Filem Ola Bola telah menerjah dan mengejutkan rakyat Malaysia yang lena dan lupa soal perpaduan dan dalam mesej mise en scene iaitu seni mencipta adegan, nyata setiap pemain watak dalam filem itu menceritakan bayangan yang wajar wujud dalam sejarah pembikinan generasi akan datang, selain meraksasakan semangat kesukanan yang tinggi untuk mengembalikan Harimau Malaya mengaum di pentas Olimpik dan jika tidak keterlaluan, mencipta adegan baharu dipentas Piala Dunia.

Banyak grand argument dibebaskan dalam filem Ola Bola seperti konflik keluarga, kisah cinta, tekanan di lapangan dan macam-macam lagi. Itu pada hakikatnya senario realiti masyarakat Malaysia. Benar pemain bola sepak dahulu tidak punyai kemudahan yang hebat seperti mana yang ada pada waktu ini. Padangnya dahulu pun ada terjongkit-jongkit. Semuanya kerana kesungguhan dan kerjasama sebagai semua pasukan yang menjadikan legenda itu bintang bola sepak yang hebat.

Bagi pemukau di padang menghijau, legenda bola sepak lampau itu telah dipertontonkan pada dewasa ini agar orang muda mengerti betapa pentingnya membelai dan mendakap satu integrasi semangat dalam mengikat sesebuah kejayaan, mengetepikan kepentingan peribadi, perbezaan pendapat demi menghasil kecemerlangan abadi.

Filem Ola Bola adalah filem bertemakan sukan arahan Chiu Keng Guan dan dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae dan Frankie Lee. Filem itu mengisahkan kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia sewaktu berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980.

Oleh yang demikian, kembalikanlah semangat Olimpik 1972 dan 1980 kerana "Harimau Malaya" sudah tidak sabar mengaum di pentas dunia. Taringnya sudah lama diasah tetapi kakinya masih terikat di tanah air ini. Kalaulah Ola Bola itu boleh diadaptasikan dalam dunia sebenar dan itulah corak serta semangat yang dipaparkan, tentulah "Harimau Malaya" tidak menangis lagi.

Ceritanya kelak bukan lagi soal kejayaan di padang tetapi ceritanya akan menjadi lebih besar iaitu sebuah kekentalan doktrin perpaduan rakyat Malaysia yang tercantum dengan ikatan kukuh. Maka, filem Ola Bola adalah mise en scene iaitu satu seni yang melepaskan semangat "Harimau Malaya" kembali mengaum di padang menghijau.