Beliau akan berkongsi pentas berprestij bersama bintangbintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.  Berjaya menempatkan diri dalam tiga calon akhir Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016, iaitu anugerah berprestij diberikan kepada gol tercantik di dunia ibarat mimpi menjadi nyata buat pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu.

Kehebatannya melakukan sepakan bebas ketika menentang Pahang dalam aksi Liga Super pada 16 Februari 2016 cukup menakjubkan apabila tendangannya melambung ke kiri, melencong ke kanan pada sudut tajam sebelum menerjah gawang lawan. Tendangan itu menjadi viral di seluruh dunia dan meletakkan Faiz sebagai pemain Asia pertama berjaya tersenarai dalam Anugerah Puskas.

Menjelang malam anugerah yang akan diadakan di Zurich, Switzerland pada 9 Januari, 2017 Faiz mengakui, hatinya agak berdebar untuk menantikan detik berkongsi pentas bersama jagoan dunia. Bagaimanapun, pulang bersama anugerah atau tidak... bukan perkara yang terlalu difikirkan oleh pemain tengah kelahiran Kedah itu. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, FADHI LUL IZ MEL ISHA K, Faiz meluahkan sedikit pandangan apa yang bermain dalam fikirannya ketika ini.

MINGGUAN: Pernahkah anda terfikir untuk menjadi terkenal dalam sekelip mata hanya kerana satu sepakan?

FAIZ: Memang saya tidak terfikir langsung. Saya sendiri pun tidak sangka akan menjadi macam ini (terkenal). Inilah yang dikatakan rezeki dan saya berasa sangat gembira serta terharu sebab secara tiba-tiba sahaja jadi seperti ini.

Perasaan selepas dibenarkan memakai baju Melayu ke majlis Anugerah FIFA ?

FAIZ: Pasti saya teruja dan seronok apabila mendapat tahu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) memberi kebenaran untuk saya memakai set persalinan baju Melayu pada majlis itu nanti. Ia majlis terbesar dalam anugerah bola sepak dunia dan mengenakan persalinan itu memberi satu kebanggaan untuk saya dan Malaysia. Baju Melayu itu juga saya akan simpan kerana ia mempunyai nilai sentimental dan mempunyai 1001 kenangan dalam kerjaya saya.

Mohd. Faiz Subri

Anda pasti akan bertemu dengan bintang-bintang dunia dalam majlis Anugerah Ballon d’Or antaranya Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi. Apakah anda mempunyai keberanian untuk menegur, berbual atau bergambar bersama mereka?

FAIZ: Peluang hanya datang sekali jadi mahu atau tidak saya perlu memberanikan diri untuk bergambar dengan mereka. Untuk berada dalam majlis seperti itu bukannya mudah jadi tidak mungkin saya melepaskan peluang tersebut. Tambahan pula, Ronaldo adalah pemain kegemaran saya.

Bagaimana kehidupan seharian anda selepas tersenarai dalam tiga calon akhir Anugerah Puskas FIFA?

FAIZ: Biarpun nama saya menjadi terkenal namun saya tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Bagaimanapun, tidak dinafikan ramai peminat yang mahu bergambar bersama dan saya kini lebih dikenali berbanding dulu. Sudah tentu saya akan melayani setiap permintaan mereka (mahu bergambar atau mendapatkan autograf) kerana tanpa undian mereka saya tidak akan berada di tahap ini.

Dalam sehari berapa lama masa yang diperuntukkan oleh Faiz untuk melakukan latihan sepakan bebas dan daripada mana anda mempelajari teknik sebegitu?

FAIZ: Saya melakukan latihan sepakan bebas dalam 10 hingga 15 minit sehari dan itu pun dilakukan selepas saya menjalani sesi latihan bersama pasukan (Pulau Pinang). Youtube adalah sumber rujukan utama saya dalam mempelajari teknik sepakan bebas dan daripada situ saya cuba melakukannya. Adakalanya menjadi adakalanya tidak.

Kecuali sepakan ‘ajaib’ yang membawa anda ke pentas FIFA, perjalanan karier anda sebagai pemain bola sepak secara keseluruhan boleh disifatkan sebagai sederhana.

Jadi, apakah perancangan anda selepas tidak lagi bergelar pemain? Adakah anda mahu menceburi bidang kejurulatihan atau sebaliknya?

FAIZ: Secara jujurnya buat masa sekarang saya masih belum fikir mengenai perkara itu lagi. Mungkin, saya akan menjalankan perniagaan mencuci kereta sekiranya saya tidak lagi bermain bola sepak atau menjadi jurulatih untuk mana-mana pasukan.