Walaupun namanya kini sudah terkenal, pemuda berusia 19 tahun dari Kampung Berangan Enam di Umbai, Jasin, Melaka itu tidak mahu dibuai mimpi-mimpi indah, sebaliknya ingin terus mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Kepada wartawan Mingguan Malaysia, SUFFIAN ABU BAKAR , anak muda yang tidak lokek dengan senyuman itu ingin merakamkan  penghargaan kepada jurulatihnya, Cikgu Mohd. Poad Md. Kassim, kedua ibu bapanya, Norliza Muhamat dan Jantan Ramli, ahli keluarga serta seluruh rakyat Malaysia kerana mendoakan kejayaannya sehingga ke tahap ini.

Berjanji tidak akan mudah lupa diri ketika diulit kejayaan, pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail di Bandar Penawar, Johor itu berkongsi kehidupannya selepas bergelar pelari lelaki terpantas di Asia Tenggara.

MINGGUAN: Bagaimana kehidupan anda selepas dinobatkan sebagai lelaki terpantas di Asia Tenggara?

KHAIRUL HAFIZ: Saya akui kehidupan di luar sana semakin berbeza sebab ramai yang sudah mengenali saya. Jika dahulu saya boleh buat apa sahaja tetapi kini apa yang saya buat sentiasa menjadi perhatian ramai pihak.

Namun bagi saya, di luar saya tetap insan biasa seperti orang lain tetapi apabila menjalani latihan di padang, saya merupakan pelari pecut untuk berbakti kepada negara.

Sebelum ini saya boleh keluar makan di luar bersama ahli keluarga dan ibu bapa tetapi sekarang bila makan di luar pasti ada peminat gembira apabila terserempak dengan saya malah ada ingin bergambar tetapi saya layan semuanya jika tidak sibuk.

Adakah anda selesa dengan gelaran Speedy Jantan yang diberikan oleh rakyat Malaysia berikutan pencapaian anda ini?

KHAIRUL HAFIZ: Saya sendiri mahukan nama gelaran itu diguna pakai kerana bagi saya Speedy itu melambangkan kelajuan manakala Jantan itu adalah nama bapa saya. Sekurang-kurangnya saya berbangga kerana dapat membawa nama bapa saya apabila ia disebut.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron sebelum ini pernah memperkenalkan gelaran The Flying Youth , saya amat menghargainya namun meminta izin daripada beliau untuk terus menggunakan nama Speedy Jantan kerana bagi saya ia lebih sesuai.

Bagaimana anda mengekalkan stamina untuk bergelar pelari pecut negara?

KHAIRUL HAFIZ: Saya kini dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan pada kaki kiri akibat terjatuh selepas tamat acara 100m Sukan SEA dan jurulatih (Mohd. Poad) akan sentiasa memastikan saya terus menggunakan kaki untuk melakukan aktiviti harian agar pergerakan tidak terhenti begitu sahaja malah jika tidak berlari, saya akan memastikan sentiasa aktif.

Mungkin ramai yang tidak tahu bukan mudah untuk mempertahankan rekod 100m 10.18s yang pernah saya catatkan, dan untuk itu saya sentiasa memastikan akan berlari 400m, berjoging setiap pagi sekurang-kurangnya 30 minit, bersenam di gimnasium selain menjaga pemakanan khususnya sebelum kejohanan.

Mempertahankan rekod tersebut merupakan satu cabaran kepada saya tetapi insya-Allah saya akan terus memastikan tahap kecergasan saya meningkat dari semasa ke semasa.

Sejak memenangi pingat emas di Sukan SEA, apa peru­bahan ketara yang dirasakan?

KHAIRUL HAFIZ: Sebelum ini mungkin rakyat Malaysia yang berketurunan Melayu sahaja yang mengenali saya tetapi Alhamdulillah selepas Sukan SEA, saya dapat rasakan semakin ramai kaum bukan Melayu yang mula mengenali siapa itu Khairul Hafiz Jantan.

Mereka sendiri terkejut apabila berjumpa saya kerana saya dikatakan mempunyai tubuh agak besar di dalam televisyen tetapi di luar kecil sahaja.

Apa yang saya buat adalah meyakinkan mereka sayalah Khairul Hafiz Jantan yang bertubuh besar itu walaupun di luar saya mungkin dilihat seperti orang biasa (sambil ketawa).

Kecederaan yang dialami adakah memberi kesan terhadap persembahan anda selepas ini?

KHAIRUL HAFIZ: Bagi saya kecederaan adalah perkara biasa yang perlu dihadapi mana-mana atlet sukan khususnya ketika menghadapi kejohanan atau cuba memberikan persembahan yang lebih baik.

Alhamdulillah kecederaan saya semakin pulih dan percaya semua ini berkat doa dan tunjuk ajar jurulatih, ibu bapa, keluarga dan seluruh rakyat Malaysia.

Boleh ceritakan bagaimana anda melalui kehidupan daripada seorang pemuda biasa dan kini berubah menjadi terkenal?

KHAIRUL HAFIZ: Saya akui mulanya sukar untuk saya mengadaptasi kehidupan sebagai pelari pecut negara kerana begitu banyak tekanan dan harapan diberikan kepada saya dalam sesuatu kejohanan.

Mujurlah jurulatih (Mohd. Poad) memberi nasihat dan panduan kepada saya untuk mengatasi segala tekanan itu antaranya menganggap semua ini bukan masalah dan buat macam biasa.

Saya tetap pemuda biasa dari Kampung Berangan Enam di Umbai yang dikenali rakan-rakan kampung. Saya juga berharap supaya dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan yang berbeza kini.

Doakan saya agar tidak mudah lupa diri dan riak dengan apa yang dicapai sekarang kerana saya akan cuba sedar siapa diri ini.

 

Ramai peminat menyenangi sikap anda yang gemar tersenyum. Boleh gambarkan apa peribadi anda di luar trek?

KHAIRUL HAFIZ: Ramai fikir dan menyangka saya ini seorang yang sombong, sebenarnya tidak, saya mudah mesra, kecoh juga dengan rakan-rakan dan bukan pendiam (sambil ketawa).

Bagi saya senyum itu selain merupakan satu sedekah ia juga dapat menghilangkan tekanan yang kita hadapi. Sebab itulah anda boleh lihat saya tersenyum sebelum berlari kerana ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan, mungkin ramai tak tahu.

Apa makanan dan minuman kegemaran anda?

KHAIRUL HAFIZ: Sudah pasti saya tidak boleh melupakan masakan air tangan ibu saya iaitu ayam masak sambal dan nasi ayam. Saya berselera apabila dihidangkan dengan dua jenis makanan itu selain asam pedas yang dimasak oleh ibu, ternyata begitu membuka selera. Setiap kali pulang ke kampung, ibu juga akan menyediakan Milo Ais atau fresh orange kegemaran saya.

Apa perancangan pada masa depan kerana anda masih muda dan banyak peluang untuk mencipta rekod kebangsaan dan antarabangsa?

KHAIRUL HAFIZ: Jika boleh saya mahu terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa malah ke peringkat dunia. Saya juga akan menumpukan kepada acara Sukan Asia dan Sukan Komanwel yang bakal berlangsung tahun hadapan.

Selain itu sasaran saya adalah menghasilkan yang terbaik untuk layak ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 2020. Semua ini tidak akan berlaku tanpa restu dan doa semua peminat, rakyat Malaysia dan saya bersyukur kerana mendapat jurulatih yang terbaik (Mohd. Poad).

Sudah tentu doa dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada kedua orang tua saya banyak memberi sokongan kepada saya untuk mencapai ke tahap ini.