Bagi Malaysia, sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 akan berlangsung pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Tema sambutan, 'Malaysia.... Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta', satu baris lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Sudirman Haji Arshad. Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ahmad Shabery Cheek, pemilihan tema itu diharap dapat menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara ke dalam jiwa rakyat. Secara tidak langsung dapat mewujudkan masyarakat yang cintakan negara dan sanggup berkorban dan bekerja keras demi menjamin keamanan, kemajuan, kesejahteraan dan kemakmuran negara pada jangka masa panjang. Jelaslah Malaysia dan Singapura, negara yang berjiran mempunyai harapan yang sama untuk melihat rakyatnya mencintai negara sendiri.

Bagaimana pula perasaan rakyat dan sumbangan mereka untuk menjayakan acara ini di Malaysia? Tidak dinafikan, dalam suasana yang ada pada hari ini, kadangkala ramai yang terlupa mengenai sambutan ini. Masing-masing kalut. Di Selangor kalut, kecoh, kelam-kabut mengenai jawatan Menteri Besar Selangor apabila Ahli Parlimen Permatang Pauh inginkan bekas wakil rakyat Permatang Pauh yang pernah meletak jawatan dipilih sebagai Menteri Besar. Sebagai orang Permatang Pauh, saya tak boleh nak komen panjang kerana wakil rakyat dan bekas wakil rakyat itu mempunyai rekod tersendiri di kawasan berkenaan. Cuma kasihan anak-anak Selangor.

Mungkin mahu mencontohi Pulau Pinang yang memberi ruang kepada bukan anak Pulau Pinang sebagai Ketua Menteri. Kalau anak Pulau Pinang tidak layak menjadi Ketua Menteri di Pulau Mutiara itu, apa salahnya anak Pulau Pinang menumpang tuah di negeri orang? Inilah politik. Mana ada orang politik yang bersedia menolak jawatan yang 'terhidang' di depan mata? Belum dapat, bolehlah bercakap 'itu dan ini' tetapi apabila sudah ada peluang atau ada di dalam genggaman, teramat sukar untuk melepaskannya berlalu begitu sahaja.

Cuma agak malang kalau mereka yang tanpa kepakaran, mahu mencuba sesuatu yang penuh mencabar ini. Buat Negeri Selangor, terserahlah kepada PKR untuk menyelesaikan kekalutan, kekecohan dan kekeliruan yang berlaku sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Mungkinkah `Selangor...Di Sini Lahirnya MB Wanita' akan menjadi kenyataan?

Ketika ini juga, ramai yang masih dalam suasana atau mood Hari Raya Aidilfitri walaupun banyak rumah terbuka anjuran pihak kerajaan dan agensi-agensi tertentu telah dibatalkan sebagai menghormati tragedi MH17. Bagaimanapun tidak ada halangan bagi mereka yang mahu menganjurkannya. Contohnya sempena mesyuarat perwakilan UMNO yang bermula semalam, pertemuan seumpama itu juga boleh diselitkan dengan sambutan Aidilfitri secara sederhana. Apa yang penting, majlis seumpama itu dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Dalam kita menunggu perkembangan di Selangor, gembira dengan Aidilfitri, bersedih dengan tragedi yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 dan misteri kehilangan MH370 serta meratapi kekejaman rejim Zionis di bumi Gaza, janganlah pula kita lupa mengenai sambutan Hari Kemerdekaan. Minggu ini, bermulalah beberapa program yang berkaitan dengan sambutan itu. Khabarnya ada program yang sedang dikaji semula susulan nahas MH17 pada 17 Julai lepas. Kabinet dijangka membincangkannya minggu ini.

Mungkin sambutan atau program perlu diubah atau dibatalkan mengikut kesesuaian dan keadaan. Jika mengikut perancangan awal, sambutan kemerdekaan tahun ini bermula dengan program seperti Doa Untuk Malaysia (15 Ogos), pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang (16 Ogos), Konsert Harmoni Uniti (24 Ogos) serta Konsert Sudirman 2.0 (28 hingga 30 Ogos). Acara perbarisan dan perarakan pula dijadual berlangsung di Dataran Merdeka (31 Ogos) manakala 16 September dikhaskan untuk sambutan Hari Malaysia di Sarawak. Ketika kita sedang menunggu `kepulangan' 43 warga Malaysia yang terkorban dalam nahas MH17 yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal itu, sambutan Hari Kemerdekaan perlu diteruskan terutama acara-acara yang berkaitan dengan kecintaan terhadap negara.

Contohnya Doa Untuk Malaysia yang dijadual berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya yang pengisiannya termasuklah bacaan Yasin, solat hajat, doa kemerdekaan serta persembahan kesenian Islam. Doa Untuk Malaysia merupakan simbol kekuatan dan solidariti masyarakat Malaysia dalam menghadapi musibah yang menimpa negara, melahirkan kesyukuran dan mengenang setiap tragedi pahit yang menimpa. Sama-sama kita mendoakan supaya musibah yang berlaku tidak berulang lagi. Begitu juga dengan Kempen Kibar Jalur Gemilang, Minggu Merdeka (pameran, seminar, aktiviti jualan) dan Amanat Kemerdekaan oleh Perdana Menteri di hadapan khalayak yang dijadualkan berlangsung di Matic, Jalan Ampang.

Biar apa pun cara atau kaedah sambutan yang sesuai dengan suasana menghormati bencana yang menimpa, apa yang penting, sambuan biarlah menginsafkan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama tentang pentingnya kecintaan terhadap negara ini. Cuba hayati lirik lagu Warisan. Biar apa pun bentuk perjuangan, bukan hanya menghunus senjata (pada masa lalu), masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk berjuang demi agama, bangsa dan tanah air tercinta ini. Selak juga tertarik dengan lirik lagu Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta oleh Bob Yusof. Antara liriknya mengenai cinta tidak berbelah bagi kepada nusa, cinta yang menyemarakkan penyatuan kita semua, segala cabaran kita terus tempuhi, kita terus berganding ke mercu, segala cabaran kita terus tempuhi dan jangan ada yang leka.

Sama-samalah kita berganding bahu menghadapi cabaran. Keamanan dan kemewahan hasil kemerdekaan jangan membuatkan kita leka. Generasi hari ini mungkin menganggap mudah jalan menuju kemerdekaan yang diperjuangkan generasi terdahulu. Pahit getir yang dihadapi oleh pejuang-pejuang kemerdekaan tidak dirasai generasi hari ini kecuali mereka membaca sejarah. Sejarah sekadar bercerita di atas kertas tanpa orang yang membacanya dapat menyelami keadaan sebenar segala pahit maung yang dirasai. Itu pun ada pihak yang cuba memadam sejarah dan memperlekehkan pejuang kemerdekaan.

Hakikatnya, suasana yang dirasai hari ini adalah nikmat kemerdekaan.Bagaimana jika nikmat itu hilang akibat sikap warganegara sendiri? Lihatlah beberapa negara yang merdeka tetapi hari ini keadaan bertukar huru-hara. Disebabkan pergolakan politik dan rapuhnya perpaduan, negara tidak stabil. Perang saudara meletus yang melibatkan banyak jiwa terkorban. Begitu juga dengan penjajahan oleh orang luar terhadap sebuah negara yang merdeka akibat rapuhnya perpaduan. Jangan biarkan ini berlaku kepada negara kita.

Hayati dan hargailah kemerdekaan. Sertailah sambutan dengan penuh keinsafan. Adakah kita sudah mengambil bahagian dalam sambutan bulan kemerdekaan ini? Kibarlah Jalur Gemilang. Kibarlah di rumah, pejabat, kenderaan atau di mana sahaja, biar pun Jalur Gemilang yang dikibar itu bukan buatan Malaysia yang merdeka ini tetapi Made in China! Tidak apa, ini juga tanda hubungan perdagangan yang baik.