Restoran-restoran pula memperkenalkan menu-menu istimewa. Semua ini, untuk merayakan dua hari besar yang berselang dua hari. Kedua-duanya untuk me­raikan insan yang amat istimewa dalam hidup ibu dan guru.

Hari Ibu disambut pada 14 Mei atau lebih tepatnya hari Ahad pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun manakala Hari Guru pula pada 16 Mei.

Anak-anak kecil itu juga akan membandingkan hadiah kecil atau besar sesama mereka untuk ibu dan guru. Bagi mereka yang tidak berada pastinya akan rendah diri walaupun itu tidak diambil kira oleh ibu dan guru, cukup sekadar ingatan.

Tidak salah untuk berbelanja kepada kedua-dua insan ini. Kedua-duanya membentuk manusia menjadi insan. Daripada tidak tahu bentuk sampai pandai mencipta bucu-bucu dan segi-segi. Dari buta ABC sampai boleh mengatur ayat, disusun menjadi bait-bait yang indah.

Ibu dan guru mencelikkan manusia tentang erti dunia. Le­bih jauh lagi, untuk kehidupan selepas mati yang hanya berbekalkan amalan dan ibadah semasa hayat.

Tidak pelik juga dalam dunia hari ini guru lebih berfungsi untuk mendidik dan membentuk anak-anak daripada seorang ibu dek kerana ibu yang sibuk dengan urusan kariernya untuk sesuap nasi demi kelangsungan hidup dalam dunia yang penuh cabaran. Maka kedua-duanya harus dihormati.

Ada pelbagai versi tentang sejarah asal usul Hari Ibu. Ada yang mengatakan bermula sejak zaman Rom Purba dan ada yang mengatakan bermula daripada orang Yunani di Greece. Di Asia juga ada pelbagai versinya yang tersendiri.

Orang Rom Purba juga menyam­but suatu perayaan yang bernama Matronalia bagi memperingati dewi Juno, dan ibu lazimnya diberi hadiah pada hari ini. Orang-orang Greece pula menganggap Hari Ibu sebagai perayaan musim bunga dan penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka.

Dalam Islam pula, ulama berselisih pendapat tentang Hari Ibu tetapi di Malaysia, Majlis Fatwa tidak menyatakan Hari Ibu ha­ram. Malah Jabatan Agama Islam Selangor menfatwakan Hari Ibu sebagai harus. Ini kerana cara sambutan di Malaysia tidak sama dengan Rom atau Greece. Kita meraikan Hari Ibu dengan cara yang tersendiri.

Hari Guru pula lahir daripada Penyata Razak iaitu laporan yang memperincikan tentang pendidik­an negara untuk membentuk semula pendidikan di Malaya pada tahun 1956 yakni setahun sebelum merdeka. Hari itu diwujudkan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru dalam mendidik anak bangsa di seluruh tanah air.

Namun apakah sepanjang tahun hanya sehari itu sahaja untuk 'mera­yakan' ibu dan guru sehingga ada yang tidak kisah apabila mengecilkan hati ibu dan guru mereka.

Mutakhir ini anak-anak muda tidak pedulikan lagi siapa guru mereka, rasa hormat hilang sama sekali, amat membimbangkan jika tidak dibendung akan menjadi budaya.

Jasa ibu tidak terperi dan tidak boleh dihitung sama sekali. Ketika melahirkan, pakar-pakar mentafsirkan sakitnya seperti 25 batang tulang patah serentak, bagaikan nyawa dihujung tanduk.

Sehingga ada ulama yang berpendapat, jika tidak mendoakan ibu tiga hari berturut-turut sudah cukup untuk dianggap sebagai anak yang derhaka.

Apa susahnya mengangkat tangan mendoakan ibu. Tidak perlu wang sesen pun, tidak keluar keringat walau setitik peluh pun. Harus diingatkan, kemurkaan ibu adalah kemurkaan Allah.

Begitu jugalah dengan guru, bagaimana alim ulama menganjurkan umat manusia supaya menghormati guru walau sekeras mana sekali pun mereka. Kata Imam Syafie dalam syairnya, “Bersabarlah terhadap kerasnya sikap seorang guru, sesungguh­nya gagalnya mempelajari ilmu kerana memusuhinya.”

Raikanlah ibu dan guru ketika hari besar itu. Sesungguhnya mereka tidak menuntut yang berlebihan, cukup sekadar patuh pada tunjuk ajar dan tidak me­lakukan perkara yang bertentangan dengan fikrah manusia.

Dalam pada itu, jangan terhenti pada hari itu sahaja. Teruskan sepanjang hayat. Angkat kedua belah tangan, doakan mereka. Ibu-ibu dan guru-guru adalah pembina generasi masa depan negara.

Terima kasih emak dan cikgu!