Sehinggakan terdapat seorang sarjana Belanda, Francois Valentijn yang menganggap bahasa Melayu pada abad ke-16 telah menyamai taraf dan peranan bahasa latin dan bahasa Perancis di benua Eropah dan menjadi bahasa perhubungan antarabangsa. Itu adalah antara gambaran mengenai betapa bahasa Melayu pernah diangkat tinggi sehingga menjadi bahasa pertuturan rasmi oleh kuasa besar yang datang berdagang ke Melaka pada satu ketika dahulu.

Namun demikian, ketika dunia sedang bergerak laju mengejar arus pemodenan dan globalisasi, anak muda kini lebih ­cenderung untuk mengagungkan bahasa Inggeris berbanding bahasa rasmi negara. Mungkin tuntutan pemodenan mendesak untuk hampir setiap jiwa menguasai bahasa Inggeris memandangkan ia adalah bahasa yang menjadi pengantaraan seluruh dunia, namun begitu ini bukan bermaksud bahasa Melayu boleh dianaktirikan.

Tanpa kita sedari, terdapat warganegara luar sebenarnya bertungkus-lumus dalam mempelajari bahasa Melayu kerana keindahan dan keunikan bahasa tersebut.

Buktinya, penganjuran Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri sejak 2007 membuktikan bahawa bahasa Melayu masih mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

PABM 2017 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Dewan Bahasa Pustaka (DBP), Majlis Debat Universiti Malaysia (Madum) dan Majlis Kebudayaan Universiti Malaysia (Makum) memasuki edisi ke-11 pada tahun ini bermula Ahad lalu. Acara kemuncaknya kelmarin de­ngan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

PABM 2017 disertai seramai 52 peserta dari serata dunia dengan tiga kategori dipertandingkan. Kategori pertama adalah Kategori Antarabangsa yang dibuka kepada peserta dari negara luar yang mana bahasa Melayu tidak menjadi bahasa utama di negara tersebut. Ka­tegori ini dimenangi oleh peserta dari Jepun, Lisa Shamazaki.

Bagi kategori yang kedua adalah Pelajar Antarabangsa Di Malaysia, dimenangi oleh Abdul Martin dari Afghanistan. Kategori ini dibuka kepada pelajar luar yang sedang mengikuti pengajian tinggi di mana-mana universiti di negara ini dan negara asal mereka juga tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan.

Kategori yang ketiga adalah Alam Melayu yang mana pesertanya adalah daripada negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantaraan seperti Malaysia, Thailand, Brunei dan Si­ngapura. Kategori ini dimenangi oleh peserta dari Malaysia, Noor Haqim Noor Hamiddon.
Pertandingan tahun ini bertemakan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu menetapkan 12 tema tajuk antaranya Yang Tua Dikasihi, Yang Muda Disayangi dan Kesaksamaan Gender. Pertandingan ini menawarkan hadiah ­piala pusingan berserta wang tunai berjumlah RM20,000, RM12,000 dan RM8,000 masing-masing untuk pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga bagi setiap kategori.

Seorang peserta Kategori Antarabangsa, Jan Benedikt Apacher, 25 memberitahu, dia mengambil masa lebih dua tahun untuk mempelajari bahasa Melayu.

Katanya, minat untuk mendalami bahasa Melayu bermula apabila mengunjungi Malaysia dan Indonesia dan dengan hanya berpandukan sebuah buku ringkas terjemahan bahasa Melayu-English, ia berjaya menarik minatnya untuk mendalami bahasa yang disifatkan sangat indah ini.

“Tidak dapat dinafikan bahawa cara pertuturan bahasa Melayu berbeza dengan bahasa ibunda saya kerana mempunyai lenggok bahasa yang lebih lembut untuk didengar dan selesa untuk disebut.

“Bahasa Jerman agak keras dan tegas menjadikan penutur­nya kelihatan agak garang serta boleh menimbulkan salah faham bagi mereka yang tidak biasa de­ngannya,” kata mahasiswa Jurusan Ilmu Politik dan Ilmu Asia Tenggara Universiti Goethe, di Frankfurt itu.

Sementara itu, penuntut Uni­versiti Teknologi Petronas (UTP), Abdulrahman Khaled Hasan Saeed yang berasal dari Yemen memberitahu, dia hanya mengambil masa selama tujuh bulan untuk mendalami bahasa Melayu dan berlatih pidato bagi persediaan PABM 2017. 
 “Saya mula belajar bahasa Me­layu pada tahun ini memandangkan tahun-tahun sebelum ini saya tidak berada di Malaysia, dan bagi saya bahasa Melayu adalah antara bahasa yang sangat bermanfaat untuk dipelajari. Saya memerlukan beberapa bulan untuk me­nguasai asas perbualan bagi bahasa Melayu dan oleh yang demikian bahasa ini sangat indah dan mudah dipelajari,” jelasnya.

Sementara itu, Penyelaras Teknikal dan Penghakiman PABM 2017, Dr. Mazleena Mohamad Hussain berkata, kemahiran peserta yang menguasai bahasa Melayu sangat mantap sehingga menyukarkan para juri untuk menentukan peserta yang layak ke pusingan seterusnya.

Katanya, pada edisi kali ini, ke­semua peserta yang dipilih berjaya menarik perhatian juri dari DBP dan mereka yang berpengalaman dalam pertandi­ngan pidato peringkat universiti.

“Tidak dapat dinafikan kualiti peserta yang menyertai PABM 2017 menunjukkan peningkatan pe­nguasaan bahasa kebangsaan itu sangat baik dari setahun ke setahun.

“Markah yang membezakan antara peserta juga amat tipis dan sengit sekali gus memaksa juri mengambil masa yang sedikit lama untuk membuat keputusan bagi setiap pusingan,” katanya.

Jelaslah, melalui penganjuran PABM ini membuktikan bahasa Melayu masih mendapat perhatian warganegara asing untuk mempelajari bahasa tersebut di seantero dunia kerana sejarah telah membuktikan betapa besarnya pengaruh bahasa Melayu suatu ketika dahulu.