Mengingati semula perkara itu, dia yang lebih mesra disapa Amy berkata, sejak tengah malam menjelang 30 April 2017, dia mengalami cirit birit (diarrhea) yang teruk sehinggakan setiap satu jam, dia terpaksa ke tandas.

“Kasihan rakan sebilik saya yang tidak dapat tidur kerana menjaga saya. Keadaan itu berlarutan sehingga keesokan paginya. Sekitar pukul 8 pagi, kami mula mendaki ke ABC. Memang kesihatan tidak mengizinkan tetapi saya kuatkan semangat,” katanya.

Amy berjalan bersama seorang rakan dan ketika semakin dekat dengan ABC, tiba-tiba dia pitam.

“Semasa itu, ada dua orang porter dan Ganesh dari White Himalaya. Saya tak sedar apa yang berlaku. Bila sedar, saya dapati saya sedang dipikul oleh seorang porter.

“Saya tengok sekeliling adalah jalan yang berpatah balik ke Duerali. Saya cakap kepada porter yang saya mahu ke ABC, tetapi porter terbabit menghalang dengan alasan saya terkena AMS.

“Saya tegaskan saya tak kena AMS, tetapi sakit perut. Saya berkeras untuk naik semula dan akhirnya porter tersebut akur dengan kehendak saya,” katanya yang tidak patah semangat untuk meneruskan perjuangan yang hampir selesai.

Setibanya di tempat penginapan berdekatan papan tanda ABC, Amy tidak dapat menahan sebak.

“Masuk sahaja ke dalam kafe di lodge ini, saya terus menangis kerana tak sangka saya sampai juga ke ABC dalam keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya yang tiba pada pukul 2.15 petang.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Pahang), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, 54, tetap bersemangat meneruskan pendakian walaupun jari kelingking kiri cedera empat hari sebelum ekspedisi bermula.

Katanya, jarinya terhempap dengan papan katil yang mahu dipindahkan ke bilik anaknya di rumah dan selepas menjalani x-ray di hospital, didapati hujung jari kelingking patah.

“Saya cuba setakat mana yang boleh. Walaupun bengkak dan sakit, saya hanya telan panadol untuk tahan sakit. Saya juga pakai selipar sepanjang mendaki di laluan bertanah. Apabila tiba di trek bersalji, barulah saya pakai kasut,” katanya yang juga tidak dapat menahan sebak tatkala tiba di tempat penginapan di ABC.

Beliau yang diiringi beberapa pendaki sepanjang pendakian itu berjaya menamatkan pendakian tanpa masalah iaitu empat hari mendaki dan dua hari menuruni ABC. Lebih mengagumkan apabila beliau tiba di tempat penginapan di setiap perhentian dalam waktu yang ditetapkan, malah lebih awal daripada sebahagian besar pendaki lain.