Tidak ada langsung pe-ngumum­an di dalam bahasa Melayu, walaupun destinasi pener­bangan itu ke Kelantan yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu dan berbahasa Melayu. Para penum­pang pun orang Melayu kebanyakannya. Maka tenggelamlah bahasa Melayu di Tanah Melayu di tangan penguasa Melayu sendiri.

Pada malam Ahad berikutnya, saya pulang menaiki penerbang­an dengan syarikat sama dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Pengumuman dibuat dalam bahasa Inggeris pada mulanya, kemudian diikuti dengan bahasa Melayu. Maka jadilah bahasa Melayu pilihan kedua di Tanah Melayu di tangan penguasa Melayu sendiri.

Setiba di lapangan terbang Su­bang saya ke bilik air, saya melihat beberapa poster tertampal pada dinding memuatkan kata-kata hikmat dalam bahasa Inggeris yang diilhamkan oleh orang-orang seperti Sir Winston Churchill, Peter Drucker dan lain-lain. Saya tidak pertikaikan kata-kata hikmat itu ditulis dalam bahasa Inggeris kerana ia adalah kepunyaan orang Inggeris. Tetapi tidak adakah kata-kata hikmat yang diungkap oleh rakyat Malaysia sendiri yang boleh kita abadikan sebagai nasihat dan panduan?

Saya pasti ramai cerdik pandai rakyat kita seperti Perdana-Perdana Menteri kita, pendeta Za’ba, Profesor Diraja Ungku Aziz, Syed Naguib Al-Attas, Ungku Omar, sasterawan negara dan lain-lain lagi yang telah mengilhamkan kata-kata hikmat. Tetapi kita tidak menghargainya. Kemudiannya saya menaiki kereta Grab untuk pulang ke kediaman. Pemandu rakyat Malaysia yang membawa saya tidak fasih berbahasa Melayu, tapi boleh berbahasa Inggeris sedikit.

Maka saya pun menjadi sedar bahawa di dalam negara kita ini, bahasa Melayu sudah menjadi sedemikian terpinggir. Apakah nasibnya nanti pada masa hadapan kalau tidak kita berbuat sesuatu mulai sekarang?

Beberapa tahun lepas, saya sering menghadiri majlis perkahwinan anak-anak Melayu di dewan atau hotel yang mewah. Sering saya saksikan sewaktu perarakan pengantin ke pelamin, lagu-lagu Inggeris dimainkan. Kalau ada pun lagu-lagu Melayu, hanya dimainkan sebilangan kecil. Apabila saya bertanyakan rakan-rakan sebelah, mengapa tidak dimainkan lagu-lagu Me­layu yang sesuai seperti Selamat Pengantin Baru dan sepertinya yang menjadi warisan bangsa kita, mereka tersenyum sahaja. Apakah mereka tidak merasa apa-apa tentang kehakisan bahasa ibunda mereka, walaupun di maj­lis tradisi perkahwinan bangsa?

Sepanjang kehidupan saya selama 10 tahun di negara Barat, saya sering menghadiri majlis perkahwinan orang-orang Barat. Tidak sekali pun saya dapati mereka memainkan lagu-lagu Melayu di majlis mereka. Inilah jati diri orang Barat. Jati diri sudah terhakis dalam diri kita orang Melayu. Betapa malangnya kera­na segolongan kita telah tidak lagi menghargai bahasa dan wa­risan kita sendiri. Kata pepatah Melayu, bahasa menunjukkan bangsa. Justeru, bangsa apakah kita ini kalau kita sudah meminggirkan bahasa kita sendiri?

Dalam kealpaan kita kepada warisan budaya bangsa sendiri, teringatlah saya pada puisi arwah Tan Sri Awang Had Salleh (2001), yang melakarkan gusarnya tentang padah yang menimpa sekiranya kita melupakan akar umbi kita:

Di lubuk budaya luar dia

membesar

langit asal bukan miliknya lagi

bingung dia pada perlunya

langit dijunjung

bumi asal bukan miliknya lagi

bingung dia pada perlunya

bumi dipijak.

Dalam waktu saya memikirkan tentang bahasa Melayu, saya terbaca sebuah puisi karya Ratna Laila Shahidin yang ditujukan khas kepada cucunya bertajuk, Mariku ajar kamu menulis puisi. Beliau mahu mengajar cucunya itu supaya bijak berbahasa dan mengerti akan kepentingan wa­risan bangsanya. Saya sendu membaca puisi ini. Antara baitnya:

Mari kuajar kamu menulis puisi

tentang garang matahari

yang bisa

menjadi api

atau bulan sunyi di gelap

malam

bunga-bunga kecil yang kering

oleh debu dan angin

juga dengkur raksasa yang lena

di dasar tasik yang luka

Mari, mari cucuku

masuk ke dalam dunia puisiku

supaya kau lebih tulus mengerti

akar makna...

Kayyisa,

moga kamu warisi cinta

Jangan warisi duka nenda.

Masih tidak terlewat untuk kita berusaha memartabatkan bahasa Melayu di negara kita ini. Kita ada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1957; Akta Bahasa Kebangsaan 1967/1968 dan Akta Pendidikan 1996. Sukalah saya menurunkan di sini tulisan Allahyarham Datuk Dr. Hassan Ahmad (2005) yang merumuskan dasar bahasa di Malaysia mengikut Perlembagaan dan akta yang disebut itu:

(1) Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan Malaysia

(2) Bahasa Kebangsaan ini, tidak bahasa lain, hendaklah digunakan dalam urusan rasmi kerajaan

(3) (a) (di luar bidang urusan rasmi/pentadbiran kerajaan), tiada siapa pun dilarang menggunakan atau mengajarkan atau mempelajari bahasa-bahasa lain, dan,

(b) Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri berhak mengekalkan dan memelihara penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di negara ini.

(4) Bahasa Kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan

(5) Bahasa Kebangsaan hendaklah diajarkan sebagai mata pelajaran wajib di semua jenis sekolah, iaitu sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan yang bahasa pengantarnya bukan bahasa Melayu

(6) Bahasa Kebangsaan adalah mata pelajaran wajib untuk lulus peperiksaan SPM dan STPM

(7) Berdasarkan Akta Pendidikan 1996, semua institusi penga­jian tinggi swasta (yang mula dirangkumkan ke dalam sistem pendidikan kebangsaan) hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utamanya

(8) Bahasa Inggeris hendaklah diajarkan sebagai bahasa kedua wajib di semua sekolah

Lalu apakah yang harus kita lakukan untuk memartabatkan bahasa kita? Pada 2001 saya pernah menulis sebuah puisi, Bina­lah kembali Melakamu.

Intipati puisi itu menyeru kita supaya berguru kepada yang berpengetahuan; bersetia kepada Perlembagaan dan undang-undang; melawan kemungkaran; dan bersatu untuk terus maju dan tidak tertindas. Sekiranya kita benar-benar mahu, kita pasti dapat menyemarakkan bahasa Melayu.

DATUK PROFESOR EMERITUS DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).