Tindakan Pyongyang mengisytihar status Persona Non Grata (PNG) kepada Duta Malaysia Mohamad Nizan Mohamad yang telah lama dipanggil pulang oleh Wisma Putra sebelum ini boleh dianggap tindakan dibalas tindakan kerana sebelum ini Kuala Lumpur telah melakukan perkara serupa terhadap Duta Korea Utara, Kang Chol.

Sebab itu juga arahan la­rangan keluar rakyat Malaysia itu dianggap mempunyai matlamat ter­tentu dan bukannya kerana melaksanakan strategi tindakan dibalas tindakan kerana sebelum ini Kuala Lumpur tidak menegah rakyat Korea Utara meninggalkan Malaysia.

Apabila Kuala Lumpur pula melakukan perkara serupa terhadap rakyat Korea Utara yang berada dalam kedutaan mereka di Malaysia ia tidak dianggap sebagai tindakan balasan secara langsung terhadap larangan keluar rakyat Malaysia. Ini kerana dipercayai tiga daripada tujuh rakyat Korea Utara yang disyaki mempunyai maklumat tentang kes pembunuhan Kim Jong-nam sedang bersembunyi di pejabat kedutaan negara mereka.

Sebab itu juga hujah yang menyarankan supaya serahkan sahaja mayat Jong-nam kepada Korea Utara demi menyelesaikan isu 11 rakyat kita tidak akan menyelesaikan kemelut kerana isu mengenai pihak mempu­nyai hak menerima mayat tersebut telah pun berlalu. Ini adalah kerana mengapa Pyongyang begitu berkeras mengugut Malaysia supaya menyerahkan mayat itu kepada mereka pada peringkat awal kes ini adalah untuk menggagalkan proses bedah siasat dan seterusnya menyekat pengenalan identiti dan paling penting punca kematian.

Punca kematian telah disahkan disebabkan oleh racun VX sementara pengenalan melalui kaedah saintifik DNA masih tidak dapat disempurnakan bukan ke­rana masalah teknikal tetapi waris terdekat bimbangkan keselamatan mereka. Sebab itu dikatakan jika mayat diserahkan kepada Korea Utara proses pengenalan ­melalui DNA masih boleh dilakukan me­lalui simpanan sampel.

Begitu sukar untuk memberi alasan secara logik tindakan terkini Pyongyang terhadap 11 rak­yat Malaysia kerana pemimpin tertinggi mereka terkenal dengan tindakan yang bukan sahaja sukar diramal tetapi sukar dimengerti dari segi logiknya. Sejak kes pembunuhan ini tercetus, Kuala Lumpur secara tersuratnya kelihatan hanya menerima ugutan dan tekanan dari Korea Utara yang tidak begitu gembira dengan cara Malaysia melakukan siasatan mengikut peruntukan undang-undang kita. Tetapi Kuala Lumpur juga secara tersirat dan sebalik tabir sering menerima tekanan dari negara yang mahu melihat Korea Utara terus ditekan dengan sekatan yang lebih keras.

Sebab itu juga dari hari pertama pembunuhan yang berlaku di KLIA2, Kuala Lumpur berpegang kepada prinsip mencari kebenaran dan dalang pelaku dan tidak berminat dengan percaturan geopolitik kuasa besar. Malah dengan begitu pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa yang disyaki terlibat dan antara­nya dua daripada mereka telah dihadapkan ke mahkamah adalah manifestasi keazaman pihak berkuasa menyelesaikan kes ini.

Ada juga yang berpendapat isu 11 rakyat Malaysia ini patut di bawa ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) sebagai agenda perbincangan terutama sekali jika membabitkan lima kuasa besar iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Rusia dan China.

Masalahnya adalah walaupun resolusi mengecam berjaya dikeluarkan tindakan penahanan tersebut, ia tidak akan merubah keadaan kerana Korea Utara sebelum ini mempunyai beberapa resolusi UNSC tetapi lazimnya tidak dipatuhi. Umpamanya resolusi UNSC yang melarang ujian nuklear dan pelancaran peluru berpandu tetapi Pyongyang tetap melaksanakannya.

Jika dikaitkan dengan pelancaran empat peluru berpandu balistik oleh Korea Utara beberapa hari lalu, maka besar kemungkinan agenda penahanan rakyat Malaysia itu tidak akan mendapat keutamaan malah akan dipergunakan oleh beberapa negara ahli UNSC sebagai memenuhi agenda geopolitik mereka.

Seperti yang ditekankan sebelum ini Malaysia tidak berminat mencampuri atau dipergunakan dalam percaturan geopolitik antarabangsa kerana sebelum ini matlamatnya adalah mencari kebenaran kes pembunuhan tetapi kini matlamat tersebut telah bertukar kepada menyelamatkan 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.

Berhadapan dengan Korea Uta­ra pada ketika ini memerlukan pengamalan proses diplomasi pintar dan kadang kala tersirat kerana tindak tanduk Pyongyang lazimnya di luar dugaan. Dalam hal ini juga pengaruh Beijing terhadap Pyongyang adalah antara faktor kritikal dalam mencari jalan penyelesaian.

Selama ini China hanya me­ngambil pendirian tunggu dan lihat dalam kes pembunuhan Jong-nam kerana Beijing akur jika tersilap langkah negara lain akan menuding jari kepada mereka. Tetapi Kuala Lumpur yang mempunyai hubungan akrab dan telus dengan Beijing boleh sebenar­nya mengguna faktor itu supaya setidak-tidaknya Bejing perlu terlibat dalam menyelesaikan kemelut 11 rakyat Malaysia tersebut.

Memang benar Beijing selama ini sering dituduh enggan mengguna pengaruh mereka untuk mengekang tindak tanduk pe­mimpin Korea Utara dan itulah sebabnya Beijing begitu curiga untuk mencampuri hal yang membabitkan Korea Utara. Tetapi hubungan Kuala Lumpur dan Beijing yang dianggap hubungan yang melampaui faktor diplomasi dan ekonomi dan sebab itu juga Beijing sebenarnya mampu melibatkan diri bagi meredakan ketegangan antara Malaysia dan Korea Utara.