Dalam mesej dia kepada saya, dia marah dan menyatakan tidak mahu lagi pulang ke kampung dan dia tidak ada emak ayah. Minta penjelasan ustaz dalam hal ini.
* UDI, Maran.

UKE: Apa lagi nak kata, itulah ciri-ciri anak derhaka. Anak yang menderhakai ibu bapanya tergolong dalam dosa-dosa besar. Wajib bertaubat dan memohon keampunan daripada ibu bapa.

 Walaupun tak nak kahwin tetapi janganlah sampai menyakiti hati orang tua. Cakap dengan elok dan terangkan sebab apa tak nak kahwin. 

 Empat tahun itu satu tempoh yang lama dan mungkin menyusahkan pihak  perempuan. Kalau tak nak kahwin, maka putuskan pertunangan secara baik tanpa ada sebarang dendam dan amarah.

 Sebagai ibu bapa pula, bila anak tak nak kahwin, apa yang boleh kita buat? Kalau dipaksa mungkin timbul kesan yang lagi tidak elok sebab kita tidak tahu apa masalah dia sebenarnya.

 Pujuk cara halus dan berdoa adalah jalan terbaik. Memutuskan hubungan kekeluargaan apatah lagi membuang ibu bapa adalah dosa teramat besar yang mengundang kemurkaan Allah SWT.

 

Solat sunat atau fardu dulu? 

Sampai ke surau syarikat, saya berhajat untuk solat sunat dua rakaat sebelum Subuh yang fadilatnya sangat besar sedangkan ada empat orang makmum yang sedang menunggu menyuruh saya menjadi imam. Yang mana satu paling utama? 
* Zulfkifli, Kulim.

UKE: Tidaklah menjadi kesalahan jika anda hendak buat solat sunat kerana ada fadilat yang besar tetapi mendahulukan solat Subuh pada awal waktu dan menjaga maslahah makmum juga ada keutamaan.


Perlukah cabut gigi palsu bila  meninggal dunia? 

Apakah hukum menanam gigi palsu dan perlukah ditanggal apabila meninggal dunia?
* Halimah, Subang Jaya.

UKE: Jika kerana faktor kesihatan maka gigi asal terpaksa dicabut dan bila sudah tidak bergigi maka menyusahkan seseorang untuk bercakap atau makan dan minum. Maka sebahagian ulama mengharuskan kaedah menanam gigi palsu kekal jika tidak memudaratkan diri.

 Samalah seperti orang yang memasukkan besi ke dalam tubuhnya untuk menggantikan tulang yang rosak. Jika namanya sudah kekal, bagaimana hendak dibuang jika sudah mati? 

 Bayangkan orang yang pakai besi menggantikan tulang, mana boleh dibuang besinya jika dia meninggal dunia.

 Namun harus diingat tujuan penanaman gigi jangan sampai mahu mengubah ciptaan Allah melainkan atas faktor yang dibenarkan syarak semata-mata.