Cikgu Azizan dituduh kerana mencederakan pipi seorang murid di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan [Akta 574] yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. Namun begitu, pertuduhan terhadap Cikgu Azizan ditarik balik oleh Pendakwa Raya dan beliau telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret.

Sungguhpun demikian, ramai yang tidak memahami maksud ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ dan mungkin ber­anggapan bahawa Cikgu Azizan dilepaskan kerana tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan muridnya. Secara asasnya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk melepaskan tanpa membebaskan seseorang tertuduh dalam beberapa keadaan seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Seksyen 173 (g) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) memperuntukkan kuasa kepada mahkamah untuk melepaskan tanpa membebaskan seseorang tertuduh apabila pertuduhan yang dilakukan adalah tidak berasas. Tambahan, Pendakwa Raya juga berkuasa di bawah Seksyen 254 Akta 593 untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap tertuduh dan seterusnya boleh memohon agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan.

Ringkasnya, ‘dilepaskan tanpa dibebaskan’ tidak bererti tertuduh itu dilepaskan sepenuhnya kerana Pendakwa Raya masih mempunyai kuasa untuk menuduh semula tertuduh pada kemudian hari.

Hal ini berbeza dengan ‘dilepaskan dan dibebaskan’ yakni salah satu contohnya apabila tertuduh didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan, seterusnya Pendakwa Raya tidak berkuasa untuk mendakwa semula tertuduh atas pertuduhan yang sama kerana ia bertentangan dengan prinsip di bawah Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan.

Sungguhpun umum percaya tindakan Cikgu Azizan menghukum hanyalah sekadar untuk mendidik dan mendisiplin, namun setiap tindakan mana-mana individu adalah tertakluk kepada undang-undang dan setiap individu diperuntukkan haknya di bawah undang-undang.

Dari sudut pelaksanaan tanggungjawab mendisiplinkan murid, guru-guru perlulah mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan termasuklah Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959 di bawah Ordinan Pelajaran 1957 (‘Ordinan’) dan Surat-surat Pekeliling Ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa.

Perlu diketahui bahawa jenis hukuman yang boleh dilaksanakan tertakluk kepada jenis kesalahan sama ada berat, sederhana atau ringan seperti yang termaktub dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 7/2003.

Salah satu hukuman yang dibenarkan termasuklah rotan. Guru-guru juga diingatkan bahawa rotan digunakan sebagai alat untuk mendisiplin murid-murid dan bukan bertindak sebagai alat yang boleh merosakkan fizikal dan mental mereka. Bahkan, hukuman rotan di khalayak ramai sama ada di perhimpunan atau di bilik-bilik yang sedang berlangsung proses pengajaran turut dilarang.

Dalam konteks ini, bukan sahaja para guru yang tertakluk kepada garis panduan, peraturan dan undang-undang yang ditetapkan, malah murid-murid turut bertanggungjawab untuk patuh kepada peraturan dan undang-undang yang ditetapkan di sekolah.

Jika difokuskan kepada hak seorang tertuduh, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan seseorang tertuduh itu dianggap tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah di mahkamah. Malah, tertuduh ada haknya di sisi undang-undang untuk berdiam diri atau membela diri atas pertuduhan terhadapnya. Pun demikian, mangsa kepada suatu jenayah turut mempunyai hak di bawah undang-undang untuk melindungi diri dan melaporkan jenayah kepada institusi keadilan. Kedua-dua hak ini perlu diimbangi dengan baik.

Dalam masa sama, garis panduan dan peraturan sekolah berkenaan dengan hukuman sedia ada wajar diperhalusi mengikut peredaran zaman memandangkan disiplin murid di sekolah kian merosot.

Usaha ini mestilah selari dengan hak asasi manusia dan perlu disokong oleh ibu bapa bagi membentuk ke­peribadian murni dalam kalangan murid, manakala bagi perbuatan yang masih belum wujud undang-undang khas seperti perbuatan menghidu gam, usaha bagi menggubal undang-undang perlu ditingkatkan supaya gejala ini dapat dibendung demi kesejahteraan rakyat.

Suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan adalah setiap tindakan dilakukan oleh individu perlulah sejajar dengan undang-undang yang termaktub dan perlu di­sedari juga bahawa setiap individu diperuntukkan haknya di bawah undang-undang supaya keamanan dan keadilan sejagat dapat dipelihara.

PENULIS adalah pengamal undang-undang dan aktivis Concerned Lawyers for Justice, sebuah NGO gabungan dalam MACSA.