Sejarah mampu membentuk diri seseorang. Kita menjadi apa yang kita jadi pada hari ini kerana kita mengenali sejarah diri. Sejarah membentuk ciri-ciri fizikal dan pemikiran seseorang, lalu membolehkan ia menghargai dirinya dan memahami hak orang lain. Manusia perlu faham tentang sejarah hidupnya, keturunan, asal-usul dan masyarakatnya.

Sejarah membantu kita untuk memahami peredaran dan pertukaran keadaan dan bagaimana masyarakat kita menjadi sedemikian. Masa silam membentuk masa kini dan masa depan. Kita dapat memahami kenapa sesuatu kejadian terjadi seperti perubahan politik, kebangkitan masyarakat yang lebih permisif, peperangan di Asia Barat atau ketiadaan toleransi kaum. Itu pun kalau kita peka kepada apa yang telah terjadi sebelumnya dalam sejarah.

Hanya mempelajari sejarah sahajalah kita akan dapat memahami kenapa sesuatu perkara itu berubah dan bagaimana ia berubah. Kita juga akan dapat mengerti unsur-unsur di dalam sesuatu masyarakat yang tetap kekal walaupun secara umumnya keadaan telah berubah.

Melalui sejarah, kita dapat mencedok pengetahuan daripada pengalaman manusia yang hidup sebelum kita seperti tabiat yang boleh dipakai dan yang tidak boleh, di samping memahami kuasa-kuasa yang mempengaruhi kehidupan kita. Kita akan dapat mengambil yang jernih dan membuang yang keruh, menjadi warganegara yang lebih arif, berfikiran kritikal dan sedar tentang keadaan semasa.

Kalau kita mahu mempunyai jati diri dan memahami tentang bagaimana pada hari ini kita dapat berada di sini dan memahami tentang bagaimana setiap individu dan bangsa mempunyai nilai-nilai tersendiri, maka kita wajiblah mempelajari dengan segera sejarah negara ini dengan teliti. Pelajaran sejarah hendaklah diterapkan ke dalam sanubari anak-anak kita yang masih muda, supaya mereka dapat membesar dengan fahaman yang betul mengenai sejarah bangsa dan negara mereka. Dengan cara ini, pemahaman setiap kaum lain akan menjadi bertambah baik demi untuk keharmonian negara kita.

Orang Amerika Syarikat berbangga dengan sejarah penubuhan negara itu dan memartabatkan George Washington sebagai wira kemerdekaan yang membebaskan negara yang baharu itu daripada penjajahan British pada 1776. Mereka berbangga dengan perisytiharan kemerdekaan mereka.

China bermegah dengan kebangkitan Mao Tze Tung, India dengan Mahatma Gandhi dan tidak melupakan sejarah kegemilangannya di masa silam melibatkan individu dan perubahan masyarakat. Israel tidak akan melupakan peristiwa Holokos yang mengorbankan jutaan nyawa rakyatnya di tangan Nazi. Britain pula mempunyai Oliver Cromwell yang menjatuhkan Raja Charles I dan memenggal lehernya serta menghapuskan kerajaan beraja pada 1649 untuk beberapa ketika sahaja. Tetapi kemudiannya beliau terpaksa mengembalikan kerajaan beraja di Britain kerana kerajaan tanpa raja yang dibentuknya itu tidak dapat memerintah negara dan menjadi kucar-kacir.

Contoh-contoh ini hanyalah segelintir sahaja tetapi semuanya telah membuat bangsa-bangsa itu lebih peka dengan peristiwa sejarah untuk merancang kehidupan masa depan masing-masing.

Negara ini mempunyai banyak peristiwa penting dalam sejarah yang boleh diabadikan dan dipelajari supaya dapat kita mengambil tindakan sewajarnya bagi menjamin masa depan. Pada waktu ini ada orang yang mempertikaikan mengapa perlu ada kedudukan istimewa bagi orang Melayu. Golongan ini akan lebih bersikap jujur jika mereka mempelajari sejarah dan mengetahui bahawa kedudukan istimewa itu telah diberikan kepada orang Melayu dalam perjanjian sosial yang telah dipersetujui oleh semua bangsa dalam sejarah tanah air kita kerana bangsa Melayu telah memberikan kerakyatan kepada bangsa-bangsa lain sebagai kompromi.

Peristiwa dalam sejarah memberi tapak kepada kehidupan masa kini. Masyarakat wajib mengingati masa lampaunya dengan segala kesilapan dan pencapaian demi untuk terus maju dan berkembang. Bukankah peristiwa hitam 13 Mei 1969 banyak mengajar kita untuk terus berwaspada dan mengambil iktibar supaya perkara itu tidak berlaku lagi? Banyaklah lagi perkara yang telah kita belajar daripada sejarah yang membuatkan kehidupan kita menjadi lebih sejahtera. Kita telah belajar daripada sejarah bahawa sesuatu kesilapan tidak perlu diulangi. Kita boleh mengambil iktibar daripada peristiwa-peristiwa bersejarah untuk membina kehidupan yang diimpikan.

​Kesimpulannya, saya menyokong penuh keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengkaji semula pengiktirafan UEC, dengan mengambil kira UEC hendaklah memperkemaskan subjek Sejarah Malaysia dalam silibusnya. Saya akan menulis tentang kepentingan bahasa Melayu dalam pendidikan sekolah sebagai wadah penyatuan bangsa di lain waktu.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob ialah bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).