Ucapan Hari Kebangsaan Hsien Loong secara spesifik menggambarkan cabaran yang dihadapi mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dan rangkaian RTS (Rail Transit System) ke Johor. Beliau menegaskan apabila kedua-dua negara memeterai perjanjian kedua-dua projek ini ia berlandaskan dengan niat yang baik kerana ia memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

Sekali lagi dua hari lepas dalam ucapan menjelang 2019, Hsien Loong menegaskan Singapura telah bertolak ansur dalam mencari penyelesaian permintaan Malaysia untuk menangguhkan projek HSR.

Sebab itu beliau mencadangkan perbincangan yang melibatkan apa jua masalah dua negara berjiran ini dilakukan secara tenang dan membina kerana beliau akur hubungan Malaysia dan Singapura adalah unik kerana berkait dengan sejarah, ekonomi, budaya dan pertalian kekeluargaan.

Sememangnya saranan Hsien Loong sepatutnya disambar Malaysia kerana masalah dua negara jiran sepatutnya diselesaikan secara berhemah dengan mengamalkan strategi menang-menang.

Malah beliau turut mengungkit bagaimana warga Singapura generasi pertama melalui kemelut dua jiran ini yang mana penyelesaian mampu dicapai walau bagaimana sukarnya masalah tersebut.

Tetapi Kuala Lumpur perlu menyambut saranan Hsien Loong secara berkavet kerana beberapa kandungan ucapan tidak selari dengan saranan perbincangan secara tenang dan membina.

Paling kritikal ialah mengenai kadar harga air 3 sen per 1,000 gelen kerana menurut Kuala Lumpur ia satu kadar yang tidak masuk akal jika mengikut keadaan ekonomi semasa.

Tetapi Hsien Loong tetap bertegas dengan pematuhan terma Perjanjian Air 1962 dan pendirian ini telah diulangi berkali-kali dan terkini dalam ucapan tahun baharu dua hari lepas.

Malaysia mahu berunding tetapi Singapura tetap bertegas dengan pendirian pematuhan perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara. Timbul pula kemusykilan dan syak wasangka sesetengah pihak di Malaysia bahawa Singapura hanya mahu berunding secara berhemah jika memberi manfaat kepada mereka.

Tetapi senario berjiran Malaysia dan Singapura telah banyak berubah ketika ini berbanding apabila Hsien Loong membuat ucapan Hari Kebangsaan empat bulan lalu.

Secara spesifiknya ada empat isu baharu iaitu mengenai pemakaian Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, tuntutan semula mengurus laluan penerbangan awam di ruang udara Johor, sempadan pentadbiran pelabuhan Johor Bahru dan kewujudan Kawasan Larangan Kekal (PRA) untuk aktiviti ketenteraan di ruang udara Pasir Gudang.

Ramai berpendapat faktor kewujudan empat isu terbaharu itu yang memaksa Hsien Loong mengajak Malaysia berunding secara berhemah.

Ini kerana jika diteliti Malaysia mempunyai dalil yang kukuh dalam mempertahan keempat-empat isu tersebut.

Paling menarik adalah mengenai Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada 25 Disember lepas yang berkuatkuasa semalam, 2 Disember.

Singapura membantah kewujudan PRA di ruang udara Pasir Gudang kerana pada anggapan mereka ia akan mengekang aktiviti penerbangan awam walaupun begitu jelas PRA itu hanya ditujukan kepada aktiviti ketenteraan sahaja.

Tidak dapat dinafikan bahawa Singapura mengandaikan kewujudan PRA adalah strategi bantahan Kuala Lumpur terhadap penggunaan ILS di Lapangan Seletar dan sebab itu mereka berhujah PRA tersebut akan mengekang penerbangan awam sebagai dalil bantahan terhadap langkah Malaysia.

Tetapi jika disingkap apabila Malaysia membuat bantahan terhadap penggunaan ILS yang memerlukan pesawat mengguna ruang udara Pasir Gudang yang akan mengundang kekangan pembangunan fizikal bandar itu, Singapura menolak mentah-mentah hujah Malaysia terutama membabit isu had ketinggian bangunan dalam laluan ILS.

Sebab itu menarik diperhatikan bagaimana kedua-dua negara bakal menerokai isu terbabit terutama sekali membabitkan ILS dan PRA kerana hakikatnya pengamalan strategi telah pun bermula dengan pertemuan di antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Teo Chee Hean pada 31 Disember lalu.