Perlu diungkitkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 adalah Batu Puteh menjadi milik Singapura ma­nakala Batuan Tengah jatuh kepada Malaysia sementara status Tubir Selatan perlu dirundingkan di antara dua negara.

Ketika mengumumkan keputusan tidak meneruskan permohonan semakan semula, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak memberikan alasan tetapi ada membayangkan Batuan Tengah akan dijadikan entiti yang lebih strategik dengan menjadikannya sebagai sebuah pulau. Dalam bahasa mudahnya kerja penambakan bakal dilakukan terhadap Batuan Tengah seperti yang telah terjadi terhadap Pulau Layang-Layang di Laut China Selatan sehingga mempunyai landasan kapal terbang dan pusat peranginan ketika ini.

Persoalannya sekarang apakah percaturan Dr. Mahathir sehingga membuat keputusan yang mengejutkan rakyat kerana jika ditinjau kembali ketika Peguam Negara pada Februari lalu me­ngumumkan penemuan tiga bukti baharu me­ngenai Batu Puteh, ramai yang berasa teruja kerana isu ini berkait rapat dengan kedaulatan dan maruah negara.

Jika percaturannya adalah untuk memberi isyarat kepada Singapura bahawa Malaysia tidak mahu bersengketa lagi dengan tuntutan bertindih ini, maka pengumuman mengenai Batuan Tengah menongkah arus andaian tersebut. Ini adalah kerana kedudukan Batuan Tengah di Selat Singapura yang sempit dan sibuk, kerja penambakan sudah pasti akan menimbulkan kemarahan Singapura. Pada ketika ini Batuan Tengah menempatkan Pangkalan Maritim Abu Bakar yang mempunyai kemudahan jeti, helipad dan juga rumah api.

Kedudukan ketiga-tiga entiti ini adalah berdekatan di antara satu sama lain dan jarak antara Batu Puteh dan Batuan Tengah umpamanya hanyalah 1 kilometer sahaja. Sebab itu dihujahkan jika Batuan Tengah diperbesarkan maka sudah pasti ia akan membabitkan bukan sahaja Batu Puteh tetapi juga Tubir Selatan.

Sudah agak pasti percaturan Dr. Mahathir adalah Batuan Tengah dan bukannya Batu Puteh. Jika diambil iktibar Pulau Layang-Layang yang juga menjadi rebutan Brunei, Vietnam dan China pada satu ketika dahulu cuma sebuah terumbu yang berkemungkinan sebahagiannya akan tenggelam ketika air pasang, kerja penambakan yang telah dilakukan sehinggakan me­nukar terumbu menjadi sebuah pulau peranginan. Sebab itu agak menarik apabila Dr. Mahathir mengumumkan dasar mengenai Batu Puteh, beliau turut sertakan hasrat untuk menjadikan Pangkalan Maritim Abu Bakar yang terletak di Batuan Tengah lebih besar lagi.

Ini adalah kerana perubahan yang akan berlaku terhadap Batuan Tengah mesti berkait rapat dengan fungsi pangkalan maritim tersebut. Pada ketika ini pangkalan tersebut digunakan secara bersama oleh Jabatan Maritim, Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan juga nelayan Malaysia.

Singapura juga bijak menggunakan Batu Puteh sebagai senjata strategik mereka kerana sebaik sahaja ICJ mengumumkan keputusan pada 2008, Kementerian Luar Singapura terus menegaskan mereka mempunyai hak kedaulatan sejauh 12 batu nautika dan 24 batu nautika. Mereka juga berhasrat untuk mengunjurkan hak kedaulatan perairan mereka sehingga 200 batu nautika iaitu mengguna takrif Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) seperti yang dibenarkan oleh Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Masalahnya adalah keputusan ICJ hanya merangkumi status pemilikan tetapi tidak me­nyentuh isu definisi entiti tersebut sama ada pulau, batuan, terumbu, beting atau pun tubir kerana ia memberi implikasi kedaulatan yang berbeza mengikut UNCLOS. Berbeza dengan pulau yang mempunyai kedaulatan perairan 12, 24 batu nautika dan EEZ, batuan umpamanya hanya mempunyai kedaulatan perairan sepanjang 50 meter sahaja.

Dalam hal ini Singapura telah mentakrifkan Batu Puteh sebagai sebuah pulau, walhal mengikut definisi UNCLOS, sebuah pulau ditakrifkan mampu menampung kehidupan manusia secara berterusan tanpa bantuan dari luar seperti pembinaan struktur fizikal. Ternyata sekali Batu Puteh tanpa rumah api dan beberapa kemudahan fizikal lain tidak mampu menampung kehidupan manusia.

Singapura sedang memerhati dengan penuh minat bentuk transformasi yang bakal dibuat terhadap Batuan Tengah. Menarik jika dipetik kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura S. Jayakumar mengenai keputusan Malaysia menarik balik permohonan semakan ICJ. Beliau menegaskan keputusan tersebut tidak mengejutkan kerana bukti baharu yang ditemukan Malaysia adalah begitu lemah sekali. Jayakumar mengetuai pasukan perbicaraan Singapura di ICJ pada 2007.

Sama ada benar atau tidak hujah Jayakumar mengenai kelemahan bukti baharu itu sukar untuk disahihkan, tetapi apa yang nyata adalah Batuan Tengah adalah milik Malaysia dan pembangunan strategik yang bakal dilakukan oleh Kuala Lumpur sudah pasti mengundang dilema baharu kepada Singapura. Begitu jua rakyat Malaysia juga ternanti-nanti apakah perancangan strategik kerajaan terhadap Batuan Tengah kerana jika sebelum ini ramai menaruh harapan peluang kedua untuk mendapat kembali hak Batu Puteh tetapi kini telah tertutup kerana jangka masa 10 tahun yang diperuntukkan oleh ICJ kepada kedua-dua negara untuk membuat permohonan semakan telah pun berakhir.