Ada juga perkara yang baik untuk dijadikan peringatan dan panduan. Malangnya, lebih ba­nyak yang buruk dan palsu menjadi perhatian. Maka sudah tiba masa­nya kerajaan lebih tegas. Seperti kata Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mahu undang-undang diperkemaskan dan penguatkuasaan ditingkatkan bagi menangani penyebaran fitnah di media sosial. Melalui pelbagai aplikasi yang ada pada hari ini, ada pihak termasuk pemimpin yang ‘terperangkap’ sa­ma ada melalui ucapan atau kenya­taan mereka. Jika dalam bidang kewartawanan wujud istilah embargo dan juga off the record tetapi di luar bidang itu ada yang sudah tidak mempedulikannya.

Begitu juga dengan istilah sulit atau confidential tidak dipedulikan lagi sehingga maklumat sulit bocor yang akhirnya menimbulkan keresahan. Rahsia kerajaan juga bocor.Paling memualkan apabila ketika pihak tertentu melabelkan wartawan media cetak atau elektronik tidak beretika semasa membuat laporan, di luar bidang itu, ada ‘wartawan segera’ yang lebih tidak beretika menyebarkan maklumat tidak tepat, mengutip sumber tidak sahih dan paling menyedihkan maklumat yang tidak betul atau salah sama sekali. Begitulah situasi yang ada pada hari ini.

Dengan teknologi ‘pita rakaman dan kamera’ sentiasa di tangan manusia, apa yang ditutur dan diperkatakan di tempat sulit tidak lagi sulit. Lebih-lebih lagi apabila ada pihak yang sengaja mahu mencari silap seseorang. Akibatnya di dalam majlis-majlis tertutup bersepah musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, musang berbulu ayam atau serigala berbulu domba. Golongan ini tidak peduli siapa yang akan mereka ‘korbankan’. Jika ada ke­sempatan, sesuatu yang sulit akan dirakam dan disebarkan di alam maya tanpa mempedulikan soal maruah dan aib seseorang sehingga boleh menjejaskan keselamatan dan keharmonian di dalam negara.

Akhirnya mereka ini yang merupakan golongan ‘wartawan’ tidak terlatih menjadi ejen yang mengadu-domba dan mencetuskan perpecahan, mencipta permusuhan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat. Lebih malang lagi, yang melakukan perkara seumpama ini terdiri daripada orang Islam yang sudah diperingatkan bahawa sebarang perlakuan umat sama ada baik atau buruk walau sehalus zarah pun akan dihisab di akhirat nanti. Insaflah ! Jangan disebabkan undang-undang di dunia ini agak longgar, kita melupakan seketika tanggungjawab mengawal diri daripada terjebak dengan aktiviti yang ‘memudaratkan’.

Bagi pihak kerajaan pula, sudah sewajarnya tindakan segera diambil terhadap mereka yang menggunakan alam maya ini untuk menyebar luas fitnah, adu domba yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam negara. Seperti kata Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak semalam, bahawa ada keperluan untuk kerajaan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) kerana rakyat Malaysia menganggap media sosial dan internet sebagai kawasan kekuasaan tanpa undang-undang. Menurutnya AKM yang digubal pada tahun 1998, tidak pernah membayangkan bagaimana internet akan menjadi begitu popular dan penggunaan media sosial begitu pesat. Hari ini, keadaan sudah berubah. Undang-undang berkaitan perlu berubah.

Sejak kebelakangan ini, peranan media sosial dan internet semakin menimbulkan kebimbangan kerana ia banyak perkara yang boleh menjejaskan ‘keselamatan’ negara. Terdapat laporan berkaitan jenayah internet. Begitu juga berita dan dokumen palsu. Pada masa yang sama kita juga mengalu-ngalukan ketegasan Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri berhubung isu ini. Bertindaklah. Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) juga tidak boleh lagi berdiam diri sekadar memerhati dan mendengar keluhan pelbagai pihak. Sudah lama rakyat terdedah dengan pelbagai berita palsu.

Semalam, heboh mengenai pro­gram Jom Nikah yang kononnya bakal diadakan pada 31 Ogos ini di Masjid Wilayah Persekutuan. Tujuan program untuk memberi peluang lelaki Islam berpoligami. Dua nama tokoh digunakan bagi meyakinkan orang ramai. Akhir­nya seorang daripada mereka menafikannya. Begitulah hal agama dipermainkan dan dijadikan bahan gurauan. Adakah pihak berkuasa boleh ‘mengajar’ orang yang mengadakan-ngadakan berita ini? Mungkin, sekali lagi jawapannya ‘kita tidak boleh berbuat apa-apa’.

Sebelum ini, banyak laporan polis dibuat mengenai laporan yang tidak tepat berkaitan pelbagai perkara termasuk agama, ekonomi dan individu di media sosial tetapi tindakan yang diambil amat mengecewakan. Akhirnya pihak berkenaan tidak pernah serik menyebarkan berita atau maklumat palsu. Walaupun akhirnya apa yang dilaporkan itu tidak betul tetapi hakikatnya mereka yang berkenaan berjaya menimbulkan persepsi yang salah sama ada kepada pe­mimpin atau kerajaan. Mereka ini kemudiannya sekadar memohon maaf atau menarik balik apa yang dilontarkan sedangkan ‘kerosakan’ telah berlaku walaupun sedikit. Sebarang akta yang berkaitan bukan bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara tetapi seperti yang dinyatakan di atas, kebebasan bukan bererti membiarkan fitnah disebarkan secara meluas.

Kepada pemimpin terutama di pihak kerajaan, dalam era sekarang ini, eloklah mereka lebih berhati-hati ketika bercakap dan mengeluarkan kenyataan sama ada secara terbuka atau tertutup. Ingatlah perjumpaan tertutup juga tidak selamat. Tidak ada lagi istilah sulit, tertutup, off the record dan embargo. Kata orang, ‘dinding pun akan bercakap’. Di sekeliling mereka, akan ada musuh dalam selimut, musang berbulu ayam dan gunting dalam lipatan. Mereka ini yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi sanggup ‘membakar kelambu ke­rana marahkan nyamuk’. Sebarang kesilapan yang diucapkan akan membuka ruang untuk pihak berkenaan memutar belitkan ucapan itu yang akhirnya akan memberi kesan sama ada kepada pemimpin atau kerajaan. Jangan disebabkan ke­nya­taan yang tidak cerdik atau ikut sedap mulut, tidak tahu membezakan kiasan dengan realiti, bercakap ikut logik akal tanpa ilmu dalam bidang berkaitan akhirnya hanya akan membebankan kerajaan dalam menghadapi rakyat.

Isu-isu yang dibangkitkan hari ini akan ‘diulang tayang’ semasa kempen pilihan raya umum (PRU). Memang PRU tidak akan diadakan dalam tempoh terdekat. Jika dibubarkan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri pada hari ini, tidak bermakna esok akan berlangsung PRU. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya. Begitulah prosedurnya. Sama ada esok, lusa atau 60 hari lagi PRU akan diadakan, pemimpin yang ada perlu mengelakkan daripada melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemarahan dan keresahan rakyat termasuk anggota parti. Jangan kerana menganggap PRU masih lambat, semua pihak berada di dalam zon selesa sehingga mereka melakukan ‘kerosakan’ tanpa disedari, Bukan mudah untuk mengubati ‘hati yang sudah terluka’.