Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Diet kita selepas jamuan berbuka, rumah terbuka

a

SELESAI sudah sambutan Hari Raya Aidilfitri walaupun semalam masih berlangsung jamuan ‘makan-makan’ di sana sini. Puasa 29 hari tetapi berhari raya 35 hari, mengambil kira ‘raya’ puasa sunat enam hari. Sepanjang dua bulan, Ramadan dan Syawal, tidak henti-henti majlis berbuka puasa dan jamuan rumah terbuka. Begitulah nikmatnya kehidupan kita di sebuah negara yang bakal menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Diharapkan, dalam tempoh dua bulan itu, kita tidak tergolong dalam kumpulan orang yang membazirkan makanan. Sebelum ini, Solid Waste Corporation (SWCorp) pernah memaklumkan, kira-kira 540,000 tan makanan yang tidak dihabiskan atau diusik dalam tempoh sepanjang Ramadan hingga akhir Syawal akan berakhir ke tapak pelupusan. Berdasarkan statistik ketika musim perayaan seperti Aidilfitri, rakyat Malaysia membazirkan kira-kira 9,000 tan makanan setiap hari, peningkatan 1,000 tan berbanding 8,000 tan pada hari biasa 8,000 tan.

Semuanya ini berlaku disebabkan amalan ‘biar berlebih makanan, jangan tidak cukup’ ketika mengadakan rumah terbuka. Berpuasa merupakan amalan yang baik kerana ia dapat mengajar kita kurangkan makan dan elak membazir. Malangnya semasa berbuka, lebih ramai yang lupa untuk mengawal nafsu sehingga terlebih makan dan membazir. Begitu juga apabila tiba hari raya. Tidak keterlaluan jika dikatakan ramai yang terlebih makan sepanjang bulan puasa, lebih-lebih lagi semasa hari raya. Bagaimana agaknya selepas ini? Adakah pembaziran dan terlebih makan akan berterusan dalam kehidupan kita? Bagaimana corak pengambilan makanan kita selepas ini? Sedarkah kita, berapa jumlah kalori makanan perlu yang diambil setiap hari? Berlebihan atau berkurangan?

Kebanyakan orang, termasuk saya tidak mampu mengawal makan lebih-lebih lagi apabila selera begitu terbuka. Hanya apabila terlantar di katil hospital, barulah terasa nikmatnya untuk menjaga pemakanan. Semasa menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ramadan yang lalu, setiap menu yang dihidangkan tertera jumlah kalori. Fakta ini diletak pada setiap makanan, minuman dan buah-buahan yang dihidangkan. Jika dilihat di kantin hospital kerajaan (tidak pasti sama ada di semua hospital), fakta ini turut dipamerkan sebagai panduan kepada orang ramai. Ini satu kaedah yang baik.

Sekurang-kurangnya dapat mengajar dan mengingatkan orang ramai untuk mengawal corak pemakanan mereka. Kaedah ini boleh digunakan untuk mengingatkan masyarakat ketika menjamu selera di restoran. Sekurang-kurangnya, di setiap menu itu diletakkan jumlah kcal. Terpulanglah kepada pengguna untuk memilih secara bijak atau makan sepuas-puasnya tanpa peduli kcal yang masuk ke dalam perut. Peniaga atau pengusaha restoran tidak perlu bimbang akan kehilangan hasil jualan kerana pengalaman perokok membuktikan, peringatan atau amaran sekadar hiasan. Apa yang penting, pengguna diberi pilihan untuk mengetahui jumlah makanan yang mereka ambil.

Pada 11 Ogos lalu, saya sekali lagi berkesempatan ‘makan-makan’ di majlis anjuran KKM yang dinamakan Majlis Khas Menteri Kesihatan Bersama Warga Kementerian Kesihatan Malaysia dan Pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan Ke-58 peringkat KKM tahun 2015. Memandangkan suasana hari raya masih ada, ia bolehlah dianggap sebagai rumah terbuka yang menyediakan makanan yang sudah menjadi kelaziman seperti ketupat, rendang dan lemang. Di atas setiap meja tersedia menu yang menyatakan jumlah kcal setiap jenis makanan mengikut sukatan yang ditetapkan. Di meja bufet, semua jenis makanan, minuman, buah-buahan diletakkan fakta berkaitan jumlah kalori. Tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang hadir sempat meneliti fakta ini ketika mengambil juadah atau tidak peduli kerana diikat oleh nafsu makan. Terliur dengan kam­bing bakar, nasi beriani, nasi mandy, laksa asam, mi goreng mamak, char kuetiau, sate dan macam-macam lagi, semua fakta berkaitan kalori tidak dipedulikan. Seperti perokok yang tidak peduli amaran dengan gambar-gambar ngeri penyakit yang terpampang di kotak rokok. Perokok tidak peduli amaran Merokok Menyebabkan Kanser Leher; Rokok Penyebab Penyakit Gangren; Me­rokok Menyebabkan Kelahiran Mati; Merokok Menyebabkan Kelahiran Bayi Pra-Matang; Rokok Penyebab Kanser Paru-Paru dan sebagainya.

Berbalik kepada majlis KKM yang berlangsung di Putrajaya, di dalam menu terpampang jumlah kalori yang diperlukan dalam sehari. Saranan pengambilan kalori seperti disarankan ialah sebanyak 1800 kcal meliputi sarapan, minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam (LIHAT CARTA). Apabila dihidangkan makanan yang pelbagai jenis dan rupa pada tengah hari itu secara bufet, mampukah untuk mematuhi saranan jumlah kcal itu? Apatah lagi ketika keinginan untuk menikmati semua hidangan yang disediakan. Saranan itu mampu dipenuhi jika pengambilan makanan, minuman dan buah-buahan mengikut sukatan yang ditetapkan. Masalahnya tidak semua juadah mampu dimakan sedangkan nafsu begitu ‘meronta’ untuk menikmatinya. Ambil contoh makanan pilihan seperti ini pada waktu tengah hari. Set nasi beriani termasuk ayam goreng berempah, dalca dan jelatah mencecah 500 kcal. Tambah pula tiga cucuk sate ayam dan tiga cucuk sate kambing (290 kcal). Satu mangkuk kecil cendol ( 200 kcal) dan sebagai pencuci mulut, ambil lima biji dokong (30 kcal), tiga biji rambutan (30 kcal), satu potong buah-buahan potong (15 kcal). Penutupnya, pilih pula secawan teh tarik (200 ml, 80 kcal). Jumlah kcal pada tengah hari itu mencecah 1145 kcal.

Itu contoh makanan yang di kebanyakan tempat dapat kita lihat sebagai menu hidangan ketika rumah terbuka. Jika satu rumah terbuka melibatkan kcal yang besar, bagaimana apabila berkunjung ke dua tiga rumah terbuka yang menunya hampir sama? Akhirnya, ramai yang tumpas dengan hawa nafsu dan seperti perokok, segala fakta hanyalah sekadar peringatan atau hiasan. Semoga menu harian kita selepas ini kembali normal. Terserah kepada individu untuk menentukannya. Kesihatan diri terletak kepada diri sendiri.

Artikel Berkaitan
Video Terkini
Video Pilihan
Artikel Lain