Banjir yang tidak disangka-sangka melanda seakan-akan memberi satu teguran kepada masyarakat dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana alam dan juga pihak berkuasa yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan supaya memantapkan lagi pengurusan menghadapi bencana alam.

Aspek yang tidak boleh diabaikan semasa menghadapi bencana ini adalah pencegahan kepada kematian dan penularan penyakit berjangkit. Perlindungan terhadap golongan kurang berkeupayaan seperti kanak-kanak, wanita hamil dan warga tua perlu diberi perhatian.

Penjagaan keselamatan daripada arus deras banjir dan penjagaan kesihatan diri daripada pelbagai jenis kuman dan haiwan berbisa disebabkan air banjir wajar menjadi keutamaan bagi mangsa banjir dan pihak yang memberi dan menyediakan bantuan.

Banjir akan menyebabkan sampah-sarap terkumpul dan turut menyebabkan haiwan dan tumbuhan mati. Sampah bertaburan, pokok-pokok tumbang, bangkai mereput akan menyebabkan kuman membiak dan merebak seterusnya penularan kepada penyakit berjangkit.

Pada fasa ini, isu kebersihan dan keselamatan dari segala aspek amat penting untuk dititikberatkan khususnya dalam aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan diri. Sekiranya tahap kebersihan tidak dijaga, penyakit berjangkit mudah merebak dalam kalangan mangsa banjir yang menyentuh dan bermain air banjir.

Jangkitan kuman, makanan dan air tercemar kerapkali dihadapi oleh mangsa banjir semasa dan selepas banjir surut. Oleh itu, penjagaan kebersihan diri perlu ditekankan untuk mengurangkan risiko penyakit taun (kolera), demam kepialu, kerosakan hati (hepatitis A), leptospirosis, cirit-birit dan keracunan makanan.

Kesan jangkitan penyakit ter­sebut boleh mengundang maut sekiranya tidak dikawal dan diberi rawatan awal. Antara perkara penting yang perlu diambil berat oleh mangsa banjir ialah menjaga kebersihan dengan mencuci tangan sebelum dan selepas makan serta selepas menguruskan sampah atau keluar dari tandas.

Perlu disedari bahawa kuman penyakit tidak hanya memasuki salur penghadaman malah boleh juga menyerang salur pernafasan menerusi hidung, sinus, kulit dan mata.

Penjagaan dalam aspek pe­ngambilan makanan juga tidak wajar dikesampingkan. Biarpun sumber makanan terhad sekiranya menghadapi saat-saat kritikal, tahap keselamatan sesuatu makanan sebelum disuapkan ke mulut tidak boleh diabaikan.

Kewaspadaan ini dapat menjamin kesihatan mangsa banjir yang mudah berisiko untuk mendapat jangkitan penyakit kesan daripada banjir. Makanan yang dikhuatiri sudah tercemar perlu dibuang dan tidak boleh dimakan. Begitu juga makanan mentah seperti ulam-ulaman atau buah-buahan yang tidak basuh atau terkena air banjir.

Mangsa banjir juga perlu berhati-hati dengan makanan disimpan dalam peti sejuk yang terputus bekalan elektrik semasa berlakunya banjir. Perkara ini dilihat seperti mudah tetapi ia akan mengancam nyawa jika tidak diberi perhatian. Ini kerana bakteria seperti E. Coli dan Salmonella mudah mencemari makanan yang tidak disimpan dalam suhu bersesuaian.

Antara perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh pihak berkuasa atau agensi yang memberi bantuan kecemasan semasa banjir adalah bekalan makanan sihat kepada mangsa semasa fasa permulaan berlakunya bencana. Bekalan tersebut mesti memenuhi ciri berkhasiat, selamat, senang dimakan tanpa memerlukan penyediaan dan peralatan memasak dan mudah dibawa ke mana sahaja.

Sumber air bersih menjadi faktor penentu kepada tahap kesihatan mangsa semasa musim banjir. Ramai mengabaikan kepentingan minum air masak terutamanya pada musim banjir dengan alasan tidak berasa haus kerana cuaca sejuk.

Malah, sumber air tidak bersih juga menyebabkan mereka tidak meminum air. Benar! Biarpun rumah digenangi air, mangsa banjir tidak boleh menggunakannya kerana sumber air tersebut terdedah kepada pencemaran walaupun ia dimasak.

Sumber air paip juga dikhuatiri berisiko tinggi untuk tercemar dengan air banjir. Selain untuk memastikan badan kekal terhidrasi, sumber air selamat juga dapat memastikan tubuh badan terpelihara daripada jangkitan kuman.

Oleh itu, langkah yang paling selamat bagi mangsa banjir adalah menggunakan air yang dibotolkan bagi kegunaan memasak, minum, membersih perkakasan memasak dan mencuci tangan. Langkah ini tidak wajar dipandang remeh oleh semua pihak termasuk agensi yang memberi bantuan kepada mangsa banjir kerana mampu mengelakkan kemudaratan penyakit yang lebih teruk.

Kuman daripada air banjir tercemar akan menyerang salur penghadaman dan akan menunjukkan gejala yang hampir sama serta akan mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Oleh itu, pendidikan kesedaran bagi setiap mangsa banjir adalah penting dalam memahami punca dan gejala jangkitan penyakit akibat bencana banjir. Ini bertujuan mengenal pasti langkah dan rawatan awal yang boleh diambil sekira berlakunya jangkitan dan mengawal penyebaran serta penularan lebih meluas kepada komuniti lain.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).