Lima orang pahlawan negara: Laksamana Hang Tuah, Datuk Maharajalela, Tok Janggut, Panglima Hitam dan Tun Fatimah, lengkap bertanjak dan bertengkolok serta memakai baju layang-layang, duduk di kerusi masing-masing menghadapi meja bundar dalam bilik tersebut. Keris yang tersarung di pinggang di letakkan di atas meja. Lampu-lampu di dinding dan kristal yang tergantung di siling menerangi sekitarnya. Hawa dingin mengitari ruang.

“Apakah mauduk yang akan kita bincangkan pada kali ini, Laksamana?” muncul pertanyaan Datuk Maharajalela, tidak sabar-sabar lagi menunggu Laksamana, selaku pengerusi, memulakan bicara.

Laksamana Hang Tuah tersenyum, mengarahkan pandangan ke arah Datuk Maharajalela, “Hm! Tak sabar-sabar lagi rupanya tuan hamba untuk berdialog kali ini. Ya, hamba mempunyai suatu mauduk yang lain daripada yang lain, semasa kita berdialog yang lalu,” ujarnya.

“Mauduk apa yang lain daripada yang lain itu, Laksamana?” Tun Fatimah yang tangkas dan ayu memintas bicara, juga tidak sabar-sabar lagi untuk menghujani hujah-hujahnya.

Laksamana Hang Tuah mengangguk-angguk, “Ya tentang budaya, iaitu Pembangunan Budaya Memanusiakan Manusia,” jelasnya, menanam keazaman untuk memanusiakan manusia di tanah airnya buat masa kini.

Lantas Panglima Hitam menerjah kata-kata, “Hm! memang benar, mauduk itu lain daripada yang lain, sesuai benar mauduk tersebut kita adakan dialog di sini, di Istana Budaya. Suatu tempat yang sering mengangkat dan mempersembahkan kegiatan-kegiatan kesenian dan budaya bangsa di negara kita,” tegasnya. Seorang pahlawan yang benar-benar Hitam kulitnya, merupakan seorang panglima yang handal mempertahankan serangan Bugis di negeri Indera Kayangan pada tahun 1680.

“Hm! Marilah kita berdialog secara ikhlas dan jujur setelah kita mengikuti bersungguh-sungguh perkembangan bahasa, budaya dan sahsiah negara kita pada masa kini,” hulur Laksamana, menebar pandangan kepada semua pahlawan.

“Ya! Kita selaku pahlawan negara berhak mengeluarkan pendapat dan memberi saranan agar negara yang kita cintai berada dalam keadaan aman dan sentosa, sepertimana perjuangan kita masa silam mempertahankan negara ini,” Tok Janggut mengemukakan pendapatnya dan menyokong penuh mauduk tersebut.

Tun Fatimah segera menyambut huluran hasrat Laksamana itu, “Laksamana, kita menyedari bahawa ‘Pembangunan ekonomi, sains dan teknologi tanpa diseimbangkan dengan pembangunan budaya, pincanglah masyarakat!’ Sekian banyak berlaku kepincangan-kepincangan itu: Melalui akhbar, radio dan televisyen kita dapati banyak sekali berlaku jenayah pada setiap hari.”

“Tepat sekali pendapat Tun Fatimah itu, Laksamana,” sokong Tok Janggut. “Perompakan dan kecurian berleluasa di mana-mana. Pembunuhan dan pergaduhan berlaku di sana sini, penculikan dan penyeludupan berlaku di laut dan di darat, penyalahgunaan dadah, penyelewengan dan rasuah bermaharajalela.”

“Sesungguhnya berlaku perkara-perkara tersebut mengancam keharmonian rakyat negara kita,” tegas Laksamana. Dia membetulkan tanjaknya segera menyambung bicara, “Kenapa perkara-perkara tersebut berlaku? Pada pendapat hamba, di sinilah terletaknya peranan ‘budaya’ yang sewajarnya diberi perhatian sebaik-baiknya oleh pemerintah dan rakyat. Apakah pendapat para pahlawan untuk mengatasinya?”

Datuk Maharajalela memegang hulu kerisnya di atas meja, “Pada pendapat hamba, pihak kerajaan sewajarnya mengujudkan sebuah kementerian iaitu Kementerian Budaya dan Kemanusiaan, selain terdapat kementerian-kementerian yang sedia ada termasuk Kementerian Kebudayaan dan Kesenian Negara,” begitu cadangannya menokok harapan Laksamana.

Para pahlawan mengangguk-angguk, mempersetujui pendapat Datuk Maharajalela selaku pahlawan negeri Perak yang berjaya membunuh penjajah Inggeris J.W.W.Birch di Pasir Salak pada tahun 1875.

“Apakah peranan kementerian itu, Datuk?” tanya Laksamana Hang Tuah.

“Kementerian Budaya dan Kemanusiaan ini menyediakan sekian banyak program ‘memasyarakatkan budaya’ kepada rakyat. Dalam bajet yang diumumkan oleh kerajaan kita baru-baru ini, sepatutnya terdapat juga penumpuan kepada pembangunan budaya, selain daripada begitu banyak peruntukan kepada pembangunan ekonomi rakyat,” jelas Datuk Maharajalela.

“Memang benar Datuk, negara-negara maju dan bertamadun akan membuat peruntukan kepada pembangunan budaya, termasuk sastera dan kesenian tradisional seimbang dengan peruntukan ekonomi, sains dan teknologi,” Panglima Hitam menyokong dan menghulurkan pendapat.

Tun Fatimah begitu teruja, lantas bangun sambil memegang kerisnya, “Pembangunan budaya inilah yang akan ‘memanusiakan manusia’. Jika begitu banyak peruntukan kepada pembangunan ekonomi semata-mata akan ‘merobotkan manusia’, kiranya tanpa unsur-unsur kemanusiaan dibekali kepada anak-anak muda kita khususnya kepada para siswa dan pelajar.”

“Memanusiakan manusia? ...” tanya Laksamana, ingin pengertian lanjut.

Tun Fatimah segera menjelaskan, “Memanusiakan manusia bererti budayalah membedung budi pekerti, sahsiah, jati diri dan semangat cintakan bangsa dan negara, mempunyai sifat kemanusiaan, sebagai manusia yang sebenar-benarnya.”

Begitu hujah Tun Fatimah yang amat bererti, merupakan seorang pahlawan, permaisuri Sultan Melaka, menentang Portugis pada tahun 1511.

Laksamana, terkedu seketika. Lantas berbicara semula, “Ya memang benar! Budaya bangsalah yang memanusiakan manusia. Sebab itulah bangsa-bangsa yang maju dan bertamadun begitu menyedari hakikat ini. Mereka memberi penekanan dan penghargaan kepada kesenian dan sastera seperti Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.”

Tok Janggut yang terkorban ketika menentang penjajah Inggeris di kampung halamannya, di Jeram, Kelantan pada tahun 1915 menekankan pendapatnya, “Sekian banyak pendidikan terdapat dalam sastera dan kesenian tradisional terutama sekali melalui cerita-cerita rakyat atau tradisi lisan, membedung pekerti anak-anak muda menghormati ibu bapa, orang tua-tua dan jiran tetangga. Sebab itulah anak-anak muda kita suatu ketika dahulu begitu bersopan santun dan mempunyai perilaku yang mulia ketika bergaul dalam masyarakat.”

Acara dialog itu berhenti sebentar. Masing-masing memikirkan betapa peranan budaya ‘memanusiakan manusia’ itu. Peranan yang sewajarnya diberi perhatian oleh pemerintah untuk keharmonian rakyat.

“Kesusasteraan juga wajar benar dihayati oleh generasi masa kini,” Panglima Hitam menyogok pendapatnya setelah sekian lama mereka berhenti bicara, “Para belia, siswazah di universiti dan para pelajar sekolah menengah diberi pendedahan seperti drama atau teater, novel, cerpen, puisi iaitu sajak dan pantun serta sastera klasik. Unsur-unsur kesusasteraan inilah membina sahsiah bangsa, membedung budi, membentuk pekerti dan nilai-nilai kemanusiaan yang tinggi.”

“Ya, kita wajar benar menegaskan sekali lagi bahawa negara-negara maju, membangun dan bertamadun unsur-unsur tersebut diberi penekanan dan perhatian sebaik-baiknya,” Datuk Maharajalela melontarkan pendapat. “Rakyat Jepun, Korea, Jerman dan Perancis begitu mengenali dan menghayati budaya bangsa dan kesenian tradisional mereka meskipun para siswa dan pelajar dalam bidang sains dan teknologi.”

“Memang benar, Datuk,” sokong Tun Fatimah.“Kesenian tradisional merupakan ‘akar peribadi bangsa’. Akar yang menunjangi keperibadian bangsa. Akar yang memperkukuhkan semangat jati diri dan identiti bangsa.

Bangsa-bangsa yang maju dan bertamadun begitu menyedari hakikat ini sebab itulah mereka memberi penekanan dan penghargaan kepada kesenian tradisional. Bangsa atau negara tetangga kita Indonesia dan Thailand begitu memberi perhatian kepada kesenian tradisional sehingga memperagakannya keluar negeri.”

Laksamana menyokong dan memberi pendapatnya pula, “Memang benar Tun, anak-anak muda mereka mengenali penulis dan sasterawan negara. Mereka dapat deklamasi puisi-puisi moden dan tradisional yang dihasilkan oleh penulis-penulis agung negara masing-masing.”

“Para pelajar atau siswazah kita ketika melanjutkan pelajaran di luar negara, jika terdapat malam keramaian atau majlis perkenalan, kita tertanya-tanya apakah para siswa kita itu dapat mendeklamasi puisi-puisi sasterawan negara? Atau sekurang-kurangnya menyampaikan pantun sebagai puisi tradisional kita?” demikian pula pendapat Datuk Maharajalela. Tanda tanya yang sepatutnya dilunasi oleh pihak Kementerian Pendidikan kita.

Tun Fatimah menyampuk, “Jika Jepun terkenal dengan puisi tradisional Haiku, kita tentu berbangga jika para pelajar kita dapat menyampaikan pantun, gurindam atau syair sebagai puisi tradisional bangsa.”

Panglima Hitam mengangguk-angguk lantas mengemukakan pendapatnya pula, “Bahasa merupakan budaya bangsa yang amat tinggi nilainya. Sebab itu, kita patut memartabatkannya. Bahasa rasmi negara kita adalah bahasa Melayu. Kita patut mengakui bahawa bahasa Melayu juga sebagai bahasa ilmu, bahasa pembangunan dan bahasa yang mempererat perpaduan rakyat negara ini.”

“Ya! Kita sama sekali tidak anti bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Pelajarilah bahasa asing bukan sahaja bahasa Inggeris termasuk bahasa lain seperti Jepun, Korea, Jerman, Perancis dan Arab untuk memantapkan ilmu, namun rakyat negara kita sewajarnya memartabatkan dan menggunakan bahasa kita meskipun di mana jua kita berada kerana ‘Bahasa adalah jiwa bangsa’!” Tok Janggut mengemukakan pendapat dengan penuh semangat kepahlawanannya.

Secara sopan dan berdedikasi Laksamana melantunkan bicaranya, “Selaku rakyat di negara merdeka dan berdaulat sepatutnya kita mencintai bahasa kita sendiri.” Dia memperkemaskan tanjak dan menggenggam keris Taming Sarinya, meneruskan hujahnya, “Di sinilah terletaknya semangat jati diri, identiti dan maruah bangsa.”

“Memang benar Laksamana,” pintas Tun Fatimah dengan penuh bersemangat, “Rakyat dan pemimpin negara-negara maju dan bertamadun begitu menghargai bahasa mereka sendiri, mengapa kita berbangga dengan bahasa asing, apa lagi bahasa penjajah yang begitu lama menjajah negara dan jiwa raga rakyat negara ini?”

Datuk Maharajalela tidak sabar-sabar lagi lantas memintas, “Ya! Kita sepatutnya ‘memerdekakan’ diri daripada sifat-sifat penjajah itu!” sampuknya menanam semangat dan keyakinan.

Semua pahlawan mengangguk-angguk dan memegang keris masing-masing, melambangkan semangat perjuangan yang kental.

Laksamana Hang Tuah menebarkan pandangan kepada seluruh pejuang-pejuang negara itu, lantas bersuara, “Sebagai kesimpulan dialog kita pada kali ini, unsur-unsur budaya ini wajar benar diterapkan kepada anak-anak muda kita termasuk para siswazah di institut pengajian tinggi. Sepatutnya dijadikan mata pelajaran wajib, diperakui pemarkahannya setaraf dengan mata pelajaran akademik.”

“Kami menyokong penuh pendapat laksamana itu,” pintas Panglima Hitam, “Dengan itu para siswa dan pelajar kita akan memberi perhatian secara bersungguh-sungguh mempelajari dan menghayati budaya kita,” tegasnya.

Laksamana Hang Tuah mengangguk-angguk, memegang erat-erat kerisnya, “Semoga unsur-unsur budaya: Kesenian, sastera dan bahasa itu diterapkan sebaik-baiknya dalam sistem pendidikan negara dan diamalkan untuk ‘memanusiakan manusia’. Kita berharap, pendapat kita melalui dialog ini, selaku pahlawan negara diberi perhatian dan sebagai iktibar kepada para pemimpin negara dan rakyat seluruhnya. Assalamualaikum ...”

Ketika itu jua lampu-lampu dalam bilik mesyuarat itu padam serta-merta. Maka berakhirlah dialog pahlawan kali ini. Berlanjutan pula pada dialog-dialog yang akan datang: Membicarakan isu-isu terpenting yang berlaku dalam negara, Malaysia yang tercinta.