Begitu juga dalam perkembangan teknologi filem aksi moden, pelbagai peralatan bantuan dan sistem keselamatan dicipta bagi menjayakan penggambaran adegan lagak ngeri.

Ditambah lagi dengan perkembangan teknologi kesan khas yang semakin pesat penggunaannya sekali gus memberi definisi yang lebih dinamik terhadap kualiti sesuatu filem aksi.

Perkembangan ini turut memberi peluang baharu kepada pelagak ngeri dalam meningkatkan aspek kreativiti dan potensi memandangkan filem aksi merupakan antara tarikan penonton ke pawagam.

Meskipun pelbagai aksi mencabar, penuh risiko dan berbahaya berjaya dilaksanakan namun pembabitan pelagak ngeri nampaknya kurang dihargai apabila pengiktirafan hanya diberikan kepada pelakon yang berada di hadapan tabir sahaja. Bidang aksi lagak ngeri di negara ini juga agak kurang dikenali ramai.

Namun, itu tidak bermakna kebolehan dan kemampuan pelagak ngeri tempatan boleh diperkecilkan, kerana sebahagian daripada mereka berjaya mencipta nama di pentas antarabangsa dan membantu menghasilkan pelbagai adegan aksi luar biasa untuk filem tempatan.

Untuk itu, wartawan S2, ROZIANAH RISMAN dan jurufoto, ZAINI HUSIN mendekati pelakon lagak ngeri bagi menyelami pembabitan mereka dalam filem aksi tempatan dan luar negara.