Setahu Cekmek Molek, selama Malaysia mengecapi kemerdekaan lebih setengah abad ini, tidak pernah lagi terde­ngar bahawa golongan ini telah dipulaukan oleh masyarakat kita. Sekalipun Malaysia merupakan sebuah negara Islam yang menentang perbuatan songsang itu, perkara itu tidak berlaku.

Belum pernah lagi ada mana-mana ‘maknyah’ diaibkan di khalayak ramai kerana berpakaian wanita di tempat awam. Atau ada antara puak-puak gay dibuli di pusat-pusat pengajian tinggi. Begitu juga tidak pernah terjadi ada dalam kalangan lesbian tidak mendapat hak kebajikan sama rata di tempat kerja. Mereka sebaliknya bebas berada dalam masyarakat tanpa kekangan.

Bagaimanapun, sebagai ‘meraikan’ suara mereka yang mendakwa berlaku diskriminasi, sepatutnya ia dibuktikan dengan kajian atau statistik daripada pihak berkuasa supaya mereka boleh diberikan pembelaan sewajarnya tanpa prejudis.

Pun begitu, dalam keghairahan puak-puak tertentu mahu mengiktiraf golongan ini, janganlah pula hak sebenar wanita tulen diketepikan. Sama ada sedar atau tidak, golongan wa­nita akan mula rasa terancam tentang keselamatan mereka. Di mana mahu diletakkan hak privasi mereka di tempat awam jika ia mahu turut dikongsi dengan golongan wanita ‘jadian’ ini?

Cekmek Molek amat kecewa apabila ada pemimpin kerajaan dalam kalangan wanita sendiri mengiktiraf mereka ini. Lebih menyedihkan, kenyataan itu keluar daripada mulut pemimpin yang memegang portfolio agama.

Dalam isu penggunaan tandas misalnya, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh baru-baru ini menyarankan komuniti transgender menggunakan tandas yang dikhaskan untuk orang kurang upaya (OKU) buat sementara waktu sebelum mereka diterima sepenuhnya oleh masyarakat.

Katanya, ia merupakan penyelesaian terbaik selepas mengambil kira perasaan segelintir wanita yang berasa tidak selamat apabila golongan ini menggunakan tandas wanita.

Kenyataan Fuziah itu amat mengelirukan. Timbul persoalan di sini, adakah soal keselamatan kaum wanita bersifat sementara waktu sahaja? Adakah selepas ini apabila golongan transgender dapat diterima sepenuhnya dalam masyarakat, ia bermakna mereka bebas menceroboh ruang privasi wanita?

Mengapa soal tandas begitu menjadi keutamaan puak-puak ini? Kenapa tidak diminta tempat khas untuk beribadat memandangkan surau juga hanya dikhususkan untuk lelaki dan wanita. Tidak pula menteri hal ehwal agama ini memikirkan soal itu sedangkan majoriti LGBT adalah Melayu Islam.

Banyak lagi sudut kajian perlu dijalankan untuk mendapatkan gambaran menyeluruh serta penyelesaian berhubung isu ini tidak hanya bersandarkan kepada panda­ngan 20 minit oleh wakil komuniti transgender, Nisha Ayub dengan pihak kerajaan.

Dalam keghairahan memberi pengiktirafan kepada golongan ini, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat supaya hak wanita tulen tidak tertindas. Bukan sahaja soal keselamatan wanita yang berisiko terdedah kepada gangguan seksual dan seumpamanya, tetapi ruang privasi wanita adalah melibatkan aurat yang haram diperlihatkan kepada kaum lelaki.

Ini kerana menurut hukum Islam, golongan itu masih tetap dianggap lelaki sekalipun sudah ‘menukar’ jantina melalui pembedahan yang sudah tentu haram di sisi Islam. Adakah menteri dan timbalan menteri agama ini tidak memikirkan soal itu?

Kelonggaran yang mahu diberikan ini sekali gus akan membawa maksud kumpulan itu dihalalkan sebagaimana pe­negasan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria. Percayalah, langkah untuk membawa golongan ini ke pangkal jalan tidak akan berjaya jika keberadaan mereka telah diiktiraf, malah semakin ramai yang bakal menjadi follower. Sudah tentu kita tidak mahu anak-anak termasuk ahli keluarga menteri sendiri yang akan berkelakuan sebegitu bukan?