Perkara-perkara yang dila­rang agama ini adalah pokok permasalahan keruntuhan akhlak yang berlaku secara berleluasa di dalam masyarakat terutamanya ketika manusia semakin maju dalam bidang kehidupan dunia, teknologi, politik dan ekonomi serta bidang yang lain.

Ketika menerajui Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) saya pernah menghadiri perhimpunan dan dialog pelbagai agama di Timur dan di Barat. Antaranya yang telah diadakan di Chicago pada 1993 dengan dihadiri oleh lebih 200 perwakilan yang mewakili semua agama dan kepercayaan seluruh dunia, iaitu perhimpunan yang dinamakan Parliament of the World’s Religions.

Perhimpunan tersebut telah memperakukan empat komitmen yang berikut untuk direalisasikan oleh masyarakat dunia bagi mewujudkan kesejahteraan dan keamanan sejagat, iaitu Commitment to a culture of non-violence and respect for life (Budaya perdamaian dan saling menghormati), Commitment to a culture of solidarity and a just economic orde (Budaya kesepaduan dan keadilan ekonomi), Commitment to a culture of tolerance and a life of truthfulness (Budaya toleransi dan kebenaran/kejujuran) dan Commitment to a culture of partnership between men and women (Budaya persepakatan antara jantina).

Dengan ini ternyata bahawa ajaran agama Islam seperti yang dijelaskan di atas, ditambah de­ngan perakuan Parliament of the World’s Religions dengan empat komitmen yang tersebut, adalah ajaran universal yang seharus­nya menjadi teras pe­ngajaran dan pendidikan untuk melahirkan umat manusia yang berkualiti, bermoral dan ber­integriti di pe­ringkat individu dan masyarakat.

Akhir-akhir ini, Universiti Ge­orge Washington telah menjalankan satu penyelidikan tentang perlaksanaan nilai moral yang baik, dengan tajuk kajian, Negara dunia manakah yang pa­ling komited melaksanakan ajaran Islam, iaitu dengan menjalankan kajian dan soal selidik yang agak menyeluruh.

Hasil kajian itu amat mengejutkan bagi umat dan negara Islam, ketika New Zealand telah keluar sebagai negara yang pertama, tempat kedua ialah Luxembourg, ketiga Ireland, dan Jepun di kedudukan yang paling tinggi, sedangkan negara Islam seperti Kuwait, hanya berada di kedudukan yang ke-48 dalam kalangan negara bukan Islam dan di tempat kedua di peringkat negara Islam, Bahrain di tempat ke-64 dan tempat ketiga di antara negara Islam.

Bagaimanapun kita agak beruntung kerana Malaysia berada di tempat pertama dalam kalangan negara Islam tetapi hanya di tempat ke-38 dalam kalangan negara dunia.

Untuk mengetahui KPA dan penilaian hasil penyelidikan ini, kita dapatlah mengukurnya ketika negara Jepun diletakkan di tempat tertinggi di dalam kaji selidik ini menurut yang saya fahami, iaitu kerana Jepun telah melaksanakan program pendidikan yang mendidik para pelajar­nya subjek ke arah kecemerlang­an moral dari tahun satu hingga tahun enam peringkat rendah, dengan penekanan membentuk nilai moral yang baik dan ciri-ciri sosialisasi dengan orang lain secara berkesan.

Malah dari tahun satu hingga tahun tiga, para pelajar tidak menduduki sebarang ujian, kera­na objektif pendidikan ialah mendidik dan menanamkan kefahaman dan penghayatan tentang nilai-nilai akhlak yang baik, juga pembinaan perwatakan dan personaliti, bukan hanya mengajar dan menyumbat ilmu tanpa penghayatan dan pelaksanaan.

Ringkasnya dari sudut ini, iaitu sudut membudayakan nilai moral dan akhlak yang baik, pendidikan adalah tertumpu kepada menghayati dan mempraktikkan segala nilai moral yang dipelajari di dalam darjah dengan amalan di luar darjah dan sekolah seperti bergotong-royong menjaga kebersihan, menghormati undang-undang jalan raya, menghormati teman-teman, ibu bapa, guru atau orang lain dengan jujur dan ikhlas, sehingga menjadi darah daging mereka.

Inilah konsepnya mem­budayakan nilai moral, mengikis sikap egocentric, bertanggungjawab dan berintegriti, akauntabiliti, keprihatinan terhadap masyarakat dan kehidupan bersama, yang dimaksudkan oleh penyelidikan ini.

Orang Jepun termasuk di dalam kategori yang terkaya di dalam dunia, namun ibu bapa bertanggungjawab sepenuh­nya dalam mendidik anak-anak mereka, tanpa pembantu rumah atau mengharapkan pusat-pusat pe­ngajian semata-mata, dan pendidikan di rumah pula seiring dengan peranan yang diajar di sekolah dan di dalam masyarakat umum, supaya ibu bapa menjadi contoh pertama kepada anak-anak.

Kita, umat Islam amat beruntung kerana Islam mengajar kita untuk dunia dan akhirat, pembangunan fizikal dan kerohanian, akidah, ibadat dan akhlak. Kita dijanjikan balasan yang baik, kesejahteraan di dalam kehidupan kita di dunia dan akhirat, sekiranya kita benar-benar dapat menterjemahkan hikmah iman dan ibadat dengan amal soleh, terutamanya dalam mengamalkan Islam sebagai satu cara hidup bagi kehidupan ini.

Cara hidup selengkapnya dalam konsep Ad-Din bukan ha­nya kerohanian dalam bentuk individu, ibadat dan ritual dalam bentuk fardu ain, serta perhubungan dengan Allah semata-mata, tetapi hal itu haruslah dilaksanakan dalam kehidupan bermasyarakat umumnya, kerjaya, bidang perhubungan dan komunikasi, hati dan akal yang berkualiti, membangun peradaban dan tamadun, akhlak dan nilai-nilai moral yang penuh etika dan adab, jauh dari keganasan dan pertumpahan darah, dan segala macam kecelaruan tingkah laku yang sering dapat di saksikan di dalam dunia Islam pada hari ini.

Syukur, dalam kategori negara-negara Islam kita masih mampu berada di tempat pertama, walaupun dalam dunia antarabangsa kita masih terkebelakang, yang bererti bahawa nilai akhlak dan adab kita juga nampaknya merosot.

Oleh itu umat Islam hendaklah bersedia mengubah perwatakan dalaman mereka untuk mengubah keadaan kehidupan mereka sendiri. Mengajar solat, puasa, zakat dan ibadat lain haruslah melangkah lebih jauh lagi kepada kesedaran menghayati nilai-nilai kehidupan yang baik seperti mengurus waktu, menunaikan kewajipan dengan bersungguh-sungguh, menjaga hati dan perasaan orang lain, pemurah, bersedia menolong sesiapa saja dan nilai-nilai kemanusiaan lainnya.

Falsafah pendidikan kini seharusnya merealisasikan kesefahaman yang mendalam tentang kesepaduan sosial, kemesraan, pengorbanan dan kemurahan hati, juga kepentingan sifat dan sikap perkongsian dengan orang yang lemah, yang memerlukan, bukan menanamkan gejala takut, kepentingan diri dan segala bentuk sifat ugutan terhadap orang lain. Hal ini tidak hanya memerlukan kajian semula tentang kurikulum pendidikan, malah melibatkan latihan guru, buku teks, kegiatan kokurikulum dan keseluruhan sistem pendidikan itu.

PROF. DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah penyandang Kursi Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).