Mereka mendakwa semua itu berlaku kerana hasil perjuangan mereka untuk menegakkan kebenaran dan keadilan. Malahan pelbagai kata sinis dilemparkan seolah-olah bagi menggambarkan kononnya pemimpin mereka semua baik-baik belaka.

Tetapi sekurang-kurangnya apa yang dilakukan oleh Shahrizat telah menunjukkan sikap telus dan bermaruah untuk mengundurkan diri biar pun beliau sepatutnya tidak dikaitkan dengan isu National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp).

Apa yang ingin kita bertanya di mana pula maruah pemimpin-pemimpin pembangkang apabila ada antara mereka jelas terlibat dengan skandal moral, salah laku dan tindakan yang dilihat boleh mewujudkan persepsi buruk kepada rakyat, tetap enggan berundur apatah lagi meletakkan jawatan.

Yang sering kita dengar, apabila melibatkan pemimpin-pemimpin pembangkang, mereka akan mendakwa semua itu adalah konspirasi, bukti dan mainan politik Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Tiada sedikit pun rasa bersalah biar pun ada antara mereka terang-terang sudah melakukan kesalahan tetapi disebabkan mereka pembangkang maka 'pejuang-pejuang keadilan' mereka hanya mendiamkan diri.

Kita juga sudah saksikan bagaimana banyak kes melibatkan pembangkang senyap begitu sahaja. Pakatan yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas seolah-olah menganggap jika pemimpin mereka buat tak apa, kalau pemimpin BN yang dikaitkan - itu betul.

Inilah sikap double standard pembangkang yang sepatutnya difahami oleh rakyat. Kalau benarlah pemimpin-pemimpin pembangkang termasuklah biro-biro strategik mereka yang siang malam bekerja mencari bahan menyerang BN benar-benar telus dan berjuang untuk rakyat maka mereka perlu bersikap adil.

Di manakah suara lantang mereka mencari kebenaran apabila ada pemimpin mereka dikaitkan dengan rakaman video seks? Di manakah kelantangan mereka menegakkan keadilan apabila ada pemimpin mereka melantik menantu memegang jawatan penting dalam syarikat milik kerajaan negeri?

Kita juga ingin bertanya di manakah prinsip moral mereka apabila ada tersebarnya gambar lucah pemimpin pembangkang? Dan Kita juga berhak bertanya kenapakah mereka tidak mendesak ditubuhkan suruhanjaya diraja apabila ada dakwaan-dakwaan penyelewengan dan salah urus oleh pentadbiran kerajaan negeri di bawah penguasaan mereka.

Di mana pula kecekalan perjuangan Pas apabila ada pemimpin sekutu mereka menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel? Kenapa diam membisu, apakah kerana ia dilakukan oleh sekutu maka semua tidak apa.

Kalau benar-benar menjadi pejuang keadilan dan kebenaran, biarlah ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh janganlah amal sikap kalau pembangkang buat - itu halal, kalau BN atau UMNO buat - itu haram.

Oleh itu tidak payahlah mana-mana pemimpin pembangkang atau biro-biro strategik mereka ingin menonjolkan sebagai wira dalam menegakkan kebenaran dan keadilan.

Jika dikaji apa yang berlaku di kalangan pemimpin pembangkang sendiri adalah jelas, segala yang dilakukan terutamanya serangan ke atas kerajaan dan pemimpin BN dan UMNO bukannya bertujuan mencari kebenaran.

Pembangkang ingin mencari modal politik bagi menghadapi pilihan raya, apatah lagi mereka sudah memiliki 'ayam sabung' dan 'kilang' penyebar fitnah yang beroperasi siang dan malam.

Soal sama ada tuduhan mereka ke atas kerajaan dan pemimpin BN betul atau tidak, ia adalah persoalan kedua. Apa yang lebih penting ialah mewujudkan persepsi di kalangan rakyat, BN tidak bersih dan perlu ditolak dalam pilihan raya umum akan datang.

Sebab itulah, kita saksikan dalam banyak dakwaan yang dibuat oleh pembangkang, mereka akan diam membisu apabila kerajaan BN dapat menjawab segala tuduhan dilemparkan.

Dan sikap tidak bermaruah ini semakin jelas apabila, mereka juga tidak akan memberi sebarang ulasan atau komen apatah membuat desakan jika ada isu yang melibatkan pemimpin pembangkang.

Bagi kelompok yang 'diupah' untuk mencari kesalahan kerajaan dan pemimpin BN ini, perjuangan mereka hanya untuk itu bukannya demi menegakkan keadilan.

Kalau mereka mahu menegakkan keadilan sudah pastilah, mereka juga akan memastikan setiap isu yang dikaitkan dengan pemimpin-pemimpin pembangkang akan disiasat dan diambil tindakan.

Mereka juga sudah pasti akan mendesak mana-mana pemimpin mereka yang terlibat berundur atau meletakkan jawatan.

Tetapi ini tidak berlaku kerana perjuangan mereka tidak ikhlas. Perjuangan mereka hakikatnya bermotif politik dan bermatlamat hanya untuk mencemarkan imej BN dan UMNO sahaja.

Justeru tidak perlulah BN dan UMNO gundah gulana dengan telatah pembangkang dalam isu Shahrizat ini. Kebenaran tetap kebenaran yang pasti akan mengalahkan kebatilan.

Sekurang-kurangnya sejarah politik negara sudah membuktikan acap kali bagaimana pemimpin-pemimpin BN dan UMNO yang dikaitkan dengan sesuatu isu akan berundur dengan sukarela.

Mereka tidak mahu menyusahkan parti dan kepimpinan negara dengan masalah yang berlaku, biar pun ada antaranya terang-terang tidak bersalah seperti mana berlaku kepada Shahrizat.

Tetapi prinsip ini tidak ada di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang. Apa yang menakjubkan setiap kali ada isu melibatkan mereka, maka langkah yang dilakukan ialah cuba menegakkan benang yang basah sedaya mungkin.

Bukan sahaja melalui akhbar yang menjadi lidah rasmi mereka tetapi juga melalui blog-blog dan pentas ceramah.

Mereka akan memutar-belitkan fakta dan menafikan segala tuduhan dengan hasrat untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya merekalah manusia paling bersih di muka bumi Allah ini.

Oleh itu, dalam isu melibatkan pemimpin BN, pembangkang sepatutnya sedar diri dan lebih tepat lagi cerminlah diri.

Jika kira mengkaji pelbagai isu dan kontroversi yang melibatkan pemimpin pembangkang dan bagaimana mereka mengendalikannya adalah jelas pembangkang adalah kelompok yang paling tidak layak bercakap soal keadilan, ketelusan dan kebenaran.

Sebab itulah kita merasa lucu apabila ada pemimpin utama pembangkang ketika mengulas isu Shahrizat menganggap tindakan Ketua Wanita UMNO itu berundur sebagai menteri sudah terlambat.

Terlambat atau tidak ia seharusnya tidak menjadi soal, apa yang penting ialah keberanian untuk berhadapan dengan realiti. Sikap ini tidak ada kepada pembangkang, walaupun dalam kebanyakan isu ia menunjukkan bukti yang jelas, semua itu tidak dipedulikan.

Bagi pembangkang, berundur dan meletakkan jawatan tiada dalam kamus politik mereka, biar pun desakan seumpama itulah yang menjadi senjata untuk melemahkan pemimpin-pemimpin BN.

Kesimpulannya, pembangkang ibarat ayam yang berkokok tetapi ekor berlumuran dengan najis.