Istilah ‘kafir’ kembali kedengaran dan paling lucu ada pula ayat, ‘parti Islam dan kafir kerjasama untuk kemenangan di dunia, di akhirat belum tentu.’ Hebat sekali hujah tersebut seolah-olah individu yang membuat kenyataan itu sedang bergabung dalam sebuah pakatan yang pasti membawa kemenangan di dunia dan akhirat.

Hakikatnya, semua serangan dan hujah dilakukan kerana Pakatan Harapan semakin bimbang dengan kebangkitan orang Melayu melalui kerjasama yang sepatutnya wujud 50 tahun lalu, kalaulah pemimpin-pemimpin UMNO ketika itu terutamanya selama 22 tahun tidak melihat Pas sebagai musuh paling nyata.

Bayangkan selama 22 tahun, orang Melayu digesa menolak Pas kerana parti itu dianggap memperalatkan agama, sudah pastilah apabila telah diserang begitu hebat, Pas akan bertindak balas.

Tetapi itu cerita lama walaupun dalam kalangan pemimpin tertentu perasaan benci terhadap Pas tidak pernah padam. Yang peliknya, boleh pula pemimpin berkenaan menerima kehadiran DAP, memuji DAP lebih baik daripada MCA dan bersedia ‘menyembah’ DAP yang satu ketika dianggap cauvinis demi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tidak mengapalah biarlah pemimpin-pemimpin yang terlibat ‘menjilat ludah sendiri’ dalam soal hubungannya dengan DAP, apa yang pasti kerjasama antara UMNO dan Pas demi kepentingan orang Melayu serta umat Islam perlu diteruskan.

Soal sama ada akan bergabung atau tidak, bukanlah persoalan besar yang perlu difikirkan lagi buat masa ini, tumpu dahulu kepada kerjasama bagi menghalang kerakusan Pakatan Harapan yang diterajui DAP daripada terus memporak perandakan negara sejak memerintah pada 10 Mei lalu.

Biarlah mereka terus terjerit-jerit menyatakan kerjasama UMNO dan Pas bermodalkan perkauman sedangkan semua orang tahu sepanjang menjalin kerjasama tersebut tidak ada satupun perkara yang dituntut oleh kedua-dua parti itu menggugat kaum lain.

Sebenarnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan bimbang kerana telahan atau andaian serta peringatan sebelum PRU-14 bahawa DAP akan untung jika pakatan tersebut memerintah semakin menjadi kenyataan, sama ada betul atau tidak, biarlah rakyat menilai.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan gelisah kerana orang Melayu semakin menunjukkan penolakan mereka terhadap pakatan itu dan paling mereka bimbang apabila sebahagian orang Melayu yang terperdaya dengan janji-janji Pakatan Harapan dalam PRU-14 kini turut menolak kerajaan. Jika momentum ini berterusan, ia akan menjadi ancaman kepada Pakatan Harapan mengekalkan kuasa dalam PRU-15.

Dalam melakukan serangan tersebut, mereka tidak ada modal, selain daripada melihat dari sudut perkauman. Pelik sungguh, apabila menyentuh sahaja soal orang Melayu bekerjasama, soal pentingnya mempertahankan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, maka ia akan dituduh perkauman.

Puak-puak yang menyerang kerjasama UMNO dan Pas ini, hanya mahu menjaga kepentingan politik mereka sahaja. Mereka tahu tanpa DAP, mereka tidak mungkin akan berkuasa, Kalau mereka menganggap Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ UMNO, apakah tahap parti-parti Melayu dalam Pakatan Harapan lebih tinggi daripada DAP? Jika dilihat daripada jumlah kerusi, tidakkah kita boleh membuat andaian mereka ‘diperkudakan’ oleh DAP!

Justeru kalau mereka tidak mahu dilihat berada pada kedudukan tersebut, tidak payahlah menyibuk soal kerjasama UMNO dan Pas. Sama ada kerjasama itu berjaya atau tidak, diterima oleh rakyat atau tidak, akan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya atau tidak, biarlah rakyat menentukannya.

Atas sebab itulah, penulis merasakan UMNO dan Pas tidak perlu melayan kegelisahan puak-puak yang tidak mahu melihat kedua-dua parti itu bekerjasama. Biarlah mereka bermain politik demi menutup kegagalan dan kecelaruan mereka dalam memerintah negara.

Hanya UMNO dan Pas sahaja boleh memastikan orang Melayu tidak terus diperkecilkan oleh pemimpin daripada bangsa mereka sendiri yang terus menganggap orang Melayu malas, orang Melayu bagaikan ketagih candu bila tidak mendapat BR1M dan pelbagai lagi kenyataan yang seolah-olah bangsa Melayu ini teruk sangat!

Percayalah niat baik pasti diberkati Allah SWT, apatah lagi penyatuan umat Islam amat digalakkan dalam Islam. Tidak mengapa kalau air mata tumpah disebabkan sedih terpaksa mengundi parti lain demi kepentingan agama berbanding menitis air mata hipokrit kononnya sayangkan bangsa tetapi melakukan tindakan merosakkan bangsa sendiri hanya kerana dendam politik.

Seperkara biarlah selagi riwayat kita masih ada, kita berusaha untuk memastikan kemenangan dan penyatuan ummah di dunia, sama ada ia turut akan mencapai kemenangan di akhirat, biarlah Allah SWT menentukan, yang pasti jangan sampai ke akhir hayat kita terus memecah belah ummah atas sebab politik!