Majlis pelancaran DFTZ KLIA Aeropolis Park yang turut disempurnakan oleh Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Alibaba, Jack Ma itu sekali gus bakal melonjak sektor ekonomi digital negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.

DFTZ yang diumumkan Perdana Menteri pada 22 Mac lalu di Kuala Lumpur terdiri daripada tiga komponen menggabungkan zon fizikal dan zon maya.

Zon fizikal terdiri daripada Hab e-penunaian dan Hab Perkhidmatan Satelit, manakala zon maya terdiri daripada Platform e-perkhidmatan.

Atas sebab itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mahu DFTZ menjadi projek ikonik selaras dengan kepesatan pembangunan ekonomi digital.

Potensi ekonomi digital ketika ini menyumbang 18.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, dengan potensi untuk meningkat kepada 20 peratus menjelang 2020.

Pelaksanaan DFTZ fasa pertama dapat meningkatkan operasi dan pertumbuhan usahawan tempatan terutama dalam PKS yang sekali gus menyediakan persekitaran lebih kondusif kepada peniaga yang menyertai ekonomi Internet untuk memperluaskan pasaran produk serta perkhidmatan mereka ke peringkat global.

Pada mulanya 1,500 PKS disasarkan dapat dimanfaatkan menerusi pelaksanaannya tetapi sehingga kini 1,972 usahawan sudah didaftarkan dan dijangka lebih banyak lagi selepas ini.

“PKS mempunyai kuasa untuk mengubah ekonomi. Mereka bercita-cita tinggi, aktif dan mempunyai potensi untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi. Mereka mempunyai kuasa untuk menggerakkan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada majlis pelancaran tersebut.

Projek, DFTZ akan membawa kepada ‘kelahiran semula’ jalur ekonomi ‘laluan sutera’ antara Malaysia dan rakan global khususnya China. Inisiatif tersebut akan membawa kepada pertumbuhan potensi dan pemangkin kepada perubahan serta mendefinisi semula perdagangan global dan serantau.

Bukan setakat itu sahaja, Jack Ma juga telah bersetuju untuk mempromosikan produk makanan, budaya dan pelancongan Malaysia secara dalam talian kepada pengguna di China menerusi kempen ‘Malaysian Week’ selama seminggu pada tahun depan.

Lebih membanggakan kata beliau, Malaysia menjadi negara pertama yang terpilih untuk dipromosikan olehnya. Dalam pada itu, Jack berkata, DFTZ akan memanfaatkan PKS dan usahawan-usahawan muda di Malaysia dan seluruh Asia.

Melalui DFTZ, PKS berupaya menggunakan kaedah penjualan serta pembelian secara digital selain memperluas jangkauan mereka ke peringkat global.

“Kumpulan Alibaba komited ke arah itu terutama dalam membantu PKS dan usahawan-usahawan muda seluruh rantau ini,” katanya.