Benar, adakalanya kelihatan sangat berfokus kepada masyarakat Melayu dalam banyak hal, Utusan Malaysia melihat kepentingan sesuatu isu pula. Majoriti rakyat Malaysia merupakan bangsa Melayu. Sungguhpun demikian, demi mengambil kira kepentingan umum tanpa berbelah bahagi, bangsa dan kaum-kaum lain tetap mendapat liputan.

Utusan Malaysia wadah minda bangsa. Dari sekecil-kecil hal, seumpama isu yang amat terpencil, misalnya kecurian sehinggalah persoalan pokok yang besar, seumpama politik dan pentadbiran negara, ia menjadi tempat menyebar fikiran rakyat demi bangsa dan negara supaya sentiasa melangkah ke hadapan. Saya membesar bersama Utusan Malaysia, juga Mingguan Malaysia. Demikian, Utusan Melayu dan Utusan Zaman (edisi Ahadnya) seawal dekad 1960-an.

Tahun-tahun 1960-an, saya pelajar sekolah menengah yang sangat meminati mata pelajaran bahasa Melayu dan kesusasteraan Melayu. Segala yang bersifat ilmu tidak mudah pada ketika itu, seperti masa kini, yang semuanya ada di hujung jari. Penguasaan bahasa Inggeris pula sangat kurang, akhbar terbitan Utusan-lah menjadi rujukan kami.

Bahasa akhbar Utusan mudah, juga tertib struktur ayatnya. Ia seolah-olah diterbitkan untuk menjadi bacaan pilihan banyak orang; yang cemerlang bahasanya, tidak terkecuali yang kurang. Demikian, setelah menjawat jawatan guru, saya menjadikan Utusan akhbar rujukan untuk sekalian pelajar saya, terutama rencana pengarang dan rencana-rencana utamanya. Ada waktu yang khusus pula membincang dan merumuskan fakta-fakta yang sama-sama kami temui untuk tujuan pembelajaran.

Keghairahan menjadi pengarang datang mendadak pada ketika di sekolah menengah itu juga. Menjadi pengarang yang menghasilkan karya dalam bahasa Melayu semacam sukar ditahan-tahan. Mingguan Malaysia, Utusan Zaman (bertulisan Jawi), dan Mastika (sebuah majalah sarat pengetahuan, belum menjadi majalah misteri), menjadi tempat merujuk. Tidak menghairankan, rumah dipenuhi guntingan akhbar di sana sini. Ini persediaan yang menjadi, dan awal tahun 1970-an, karya-karya saya mula terbit di media, dan tentunya pilihan sulung saya ruangan puisi Mingguan Malaysia, selanjutnya Utusan Zaman. Saya tidak seluruhnya memuji akhbar Utusan.

Sentimen

Ada kala tetap terguris apabila Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia melaporkan hal-hal bersifat sentimen. Sebagai wadah guna memberi pencerahan kepada umum, Utusan tentu mempunyai rasionalnya, namun sebagai pembaca saya tetap sukar menghadam tujuan. Ada ketika-ketika saya bagaikan merajuk untuk terus membaca.

Masa berlalu, saya mula boleh menerima hakikat bahawa pelaporan akhbar mempunyai sisi-sisi kepentingannya yang sukar dielakkan. Utusan mengingatkan bagaimana pada zaman persekolahan terkial-kial saya mencari wadah menguasai segala ilmu bahasa, keinginan mendalami ilmu kesusasteraan, dan terbitan Utusan ini menjadi sumber maklumat dan pengetahuan yang terus mendewasakan.

Sukar disangkal, saya mendewasa bersama Utusan. Selain semua yang bersifat keilmuan, Utusan menerbitkan Wanita, sebuah majalah keluarga, era terkemudian muncul pula Keluarga Harmoni, Mastika seumpama majalah Times yang semakin dinamik, Utusan Radio dan Televisyen (URTV) khusus hiburan juga menjadi pilihan saya.

Pemikir pula terlalu berat untuk masyarakat umum, walaupun selaku ahli akademik (selepas berkhidmat sebagai guru dari 1974 hingga 1999, saya menjawat jawatan pensyarah di Universiti Putra Malaysia mulai 2000), Pemikir menjadi pilihan saya.

Pemikir juga tidak bertahan, penerbitan Utusan Melayu (Jawi) diberhentikan, kecuali secara dalam talian.

Karya saya yang pertama terbit di Mingguan Malaysia pada 14 Oktober 1973, berjudul Seorang Anak Kecil, diikuti sebulan kemudian, Vietnam di Utusan Zaman.

Ia menjadi langkah awal yang meyakinkan apabila dekad-dekad kemudiannya sebahagian besar karya saya adalah di media Utusan, iaitu Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, Wanita, Mastika dan Karya. Betapa tidak saya terhutang budi, menyusul selanjutnya, mulai 1986, Utusan melancarkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, yang menyaksikan pula karya saya kerap terpilih sebagai pemenang. Karya-karya pemenang ini dibukukan. Sejumlah buku koleksi karya saya pula berada di Utusan Publications & Distributors (UP&D), anak syarikat Kumpulan Utusan.

Ketika Utusan mempelawa saya sebagai salah seorang anggota Panel Penilai Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, juga dikenali HSKU, pemberian hadiah kesusasteraan secara tahunan yang paling lama bertahan di Malaysia, saya tidak ragu-ragu menerimanya.

Tentunya, memberi khidmat kepada ‘institusi’ yang melahir (1973), kemudian membentuk saya menjadi pengarang menjadikan saya berasa beruntung dan bertuah. Tanggungjawab selaku Panel Penilai HSKU berat, memerlukan komitmen penuh, antaranya harus tekun membaca dan menentukan karya terbaik yang bakal dinobatkan pemenang, saya bagaikan pulang ke alma-matter pula.

Utusan tetaplah di hati saya. Utusan perlu terus kukuh memainkan peranan serta memberikan sumbangan yang lebih besar lagi bermakna.

Seperti apa yang saya fikirkan hampir enam dekad dahulu, Utusan masih menjadi wadah terbaik pelajar menguasai bahasa Melayu, dan menimba banyak pengetahuan daripadanya, demikian bagi sesiapa yang ingin mendalami ilmu kebahasaan. Media terbitan Utusan wajar sekali mempertahankan idealisme yang dipegang dalam menjadi akhbar nasional untuk semua bangsa, kaum dan di segenap latar geografi.

Teruslah menjadi akhbar kebangsaan (nasional) yang tekal menghubungkan hati nurani seluruh bangsa kita, pertahankan iltizam yang sekian zaman ini digenggam dengan mengutamakan kesaksamaan dalam pelaporan, dan berpegang kepada prinsip bahawa sebagai akhbar ulung ia setia pula berbudi kepada segenap lapisan masyarakat pendukungnya!

Dalam pada itu, di tengah gelombang penyampaian berita dan maklumat yang sangat mencabar kini, Utusan wajar sekali terus siaga serta menggandakan upaya memancarkan pula dengan terancang citra bangsa kepada dunia!

DR. LIM SWEE TIN ialah sasterawan dan pejuang bahasa.