Justeru hati perlu mengalami proses pemurniaan diri. Ia memberi fokus kepada faktor dalaman diri insan. Hati yang hidup ialah hati yang respons kepada kebaik­an. Hati yang mati sering dirasuk oleh hawa nafsu yang membimbing ke jalan mungkar.

Ilmu dalam Islam bertatahkan nilai. Pendidikan dalam Islam memperkasa akhlak insan. Daripadanya terbentuk watak mithali yang menjadi contoh teladan dan sumber ikutan. Sumber ikutan tersangat penting bagi manusia sama ada daripada ibu bapa, para pendidik dan dalam kalangan pemimpin supaya lahir jiwa kepengikutan yang baik.

Justeru, transformasi diri dalam proses pengilmuan dan pendidikan menjadi matlamat akhir bina insan. Insan yang berpengetahuan dan berketrampilan belum tentu terbentuk akhlak dan sikapnya tanpa nilai dan etika melandasi proses pengilmuan dan pendidikan. Insan yang memiliki nilai dan etika menghubungkan dirinya dengan Allah supaya amalannya terpedoman.

Oleh itu, proses transformasi diri dalam pengilmuan dan pendidikan sifatnya menyeluruh. Potensi insan sama ada akal, hati dan amal perlu disantuni supaya proses tarbiyyah dan taadib yang terjadi sifatnya melengkapi supaya terbentuk fikrah Islami yang baik bersama kualiti hati dan amal yang seiring dengan sifat amanah, adil, bijaksana, telus dan tulus.

Menghasilkan bina insan sebegini tidaklah mudah. Di tahap awal kanak-kanak asas kepatuhan agak tinggi. Tanpa proses tarbiyyah yang berterusan di tahap remaja perubahan watak boleh terjadi. Apa lagi di tahap dewasa bila mendapat pekerjaan, mempunyai pangkat dan kedudukan, apa lagi mempunyai jawatan tinggi dan kuasa beli yang tinggi termasuk dalam kelompok kelas menengah selalunya perubahan sikap dan watak terlihat dengan ketara.

Mengekalkan sifat tawaduk atau tidak sombong de­ngan jiwa menyantuni yang tinggi, meraikan kelompok yang susah dan memerlukan pertolongan, sedia melakukan khidmat sebagai amal soleh hanya terdapat dalam kalangan insan yang memiliki jiwa kehambaan yang tinggi dan memiliki asas ketaatan, kepatuhan, ketundukan dan keakuran kepada Allah dan dilimpahkan rahmahnya kepada manusia lain.

Derita hati terlihat kepada mereka yang tidak meng­hubungkan niat sebagai asas amal. Sedangkan setiap amal bermula daripada niat. Niat itu terbina dan terpancar dari jiwa yang jujur, amanah, adil, ikhlas dan bijaksana. Tanpa niat yang jujur, sifat prasangka bakal terbina. Tanpa niat ikhlas, pura-pura mengambil tempat. Tanpa niat amanah, tipu muslihat boleh terjadi. Tanpa niat yang adil, kezaliman boleh berlaku. Tanpa pendekatan bijaksana, jalan terbaik tidak dapat dirintis.

Hari ini terserlah kelihatan manusia yang memiliki penyakit mati rasa. Melihat kemungkaran yang berleluasa dalam masyarakat, kerosakan akidah yang terjadi, memberi pandangan keagamaan tanpa ilmu yang sahih, bersifat melampau, sombong dan angkuh de­ngan pandangan sendiri-sendiri dianggap perkara biasa.

Islam terbina atas asas ilmu. Sumber utamanya adalah al-Quran dengan nas-nas yang qatie dan Sunnah Rasulullah sebagai sumber pedoman dan ikutan. Para orientalis cuba memberi tafsiran yang mengelirukan dan terdapat orang Islam terpengaruh dengannya kerana kejahilan ilmu dan kesongsangan fikrah.

Kehebatan tamadun Islam pada masa lalu didukung oleh dua sumber ini di samping pendekatan ijma’ dan qiyas disuburkan dengan pemahaman fiqh dan usul fiqh dan menunjuk jalan ke arah akidah yang benar, ibadah yang tepat, syariah yang memandu dan akhlak yang menjadi contoh.

Mengatasi derita hati yang menyebabkan manusia hilang arah diselubungi kejahilan dan kekeliruan ialah kembali kepada ajaran agama yang benar. Bukan membiarkan diri dalam keadaan jahil dan kesesatan, masih mengaku sebagai Islam tapi pemikiran dan amalannya bercanggah dengan al-Quran dan As Sunnah.

Tanpa hubungan menegak dengan Allah SWT dan hubungan merentas dengan manusia dan menjadikan pekerti Rasulullah SAW sebagai sumber teladan manusia akan terus mengalami derita hati kerana pencarian terhadap kebenaran tidak ditemukan dan pencarian terhadap sumber contoh yang dijadikan pedoman dalam kehidupan tidak didapati. Ketenangan hati ialah kepada mereka yang memiliki sifat ketaatan kepada Allah dan menjadikan Sunnah Rasulullah SAW sebagai sumber ikutan.