Pemimpin UMNO berusia 69 tahun yang telah menyandang kesemua jawatan politik di Pulau Pinang termasuk Timbalan Ketua Menteri (1999-2004) dan ADUN Teluk Bahang itu menggariskan beberapa faktor dalam menguatkan hujahnya mengenai apa yang dikatakan suatu ‘liabiliti’. Antaranya dedah Dr. Hilmi:

Mana rumah mampu milik?

Kerajaan Pusat bersedia menyediakannya, namun tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri. Pelan tanah selama enam tahun untuk pembinaan rumah mampu milik tidak diluluskan. Sudah diluluskan pun, selama dua tahun urusan pelan bangunan tidak selesai. Contohnya, agensi Kerajaan Pusat, Perda dan JKP Sdn. Bhd. mempunyai dana untuk membina rumah tetapi kelulusan lambat diperoleh.

Perda contohnya bina rumah mampu milik di Kuala Sungai Pinang. Sebanyak 230 unit rumah berharga RM42,000 dan RM62,000 siap dengan peruntukan kuota hanya 30 peratus untuk bumiputera. Berdasarkan senarai pun, majoriti pemiliknya orang luar dari Balik Pulau. Sedikit sahaja penduduk di situ.

* Banjir sampai sudah?

Semasa era BN dahulu (sebelum 2008), kerajaan negeri me­miliki Tabung Sumbangan Sa­liran yang diisi dananya oleh pa­ra pemaju. Untuk setiap ekar yang dibangunkan, sebanyak RM10,000 disalurkan oleh pemaju ke tabung berkenaan. Jika 10 ekar, maka RM100,000 diperuntukkan. Duit daripada tabung inilah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah banjir di Pulau Pinang.

* Kasihanilah nelayan...

Ketika era Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri mengawal isu-isu alam sekitar. Tidak dibenarkan tarah bukit dan hutan sewenang-wenangnya untuk dibina rumah/projek. Jika mahu dibina pun, tidak boleh melebihi 250 kaki tinggi. Sekarang, kerajaan negeri tidak kawal. Buka bukit dan tarah sehingga puncak bukit. Dari Jambatan Pulau Pinang pun sudah nampak jelas ‘potong bukit botak habis’. Malah, waktu ini dalam kampung pun di Pondok Upeh, Balik Pulau Pinang sudah tersergam banglo yang berharga RM1 juta dan RM2 juta. Pembinaan sebegitu menyebabkan tanah ditambun tinggi, akibatnya mudarat banjir di sekeliling.

* Tebus guna tanah pula dah...

Kerajaan negeri kini hendak tebus guna tanah selatan Pulau Pinang pula melibatkan Balik Pulau dan sebahagian Bayan Baru - hendak bentuk tiga pulau. Kawasan ini menjalar dari Permatang Damar Laut ke Sungai Batu, Teluk Kumbar ke Gertak Sanggul. Tujuannya untuk mewujudkan satu kawasan tanah luas untuk industri dan perumahan.

Mengapa kawasan ini perlu dilindungi dan dipertahankan? Kawasan baharu melibatkan 4,500 ekar yang mahu ditebus guna ini kawasan penting yang memiliki kekayaan hasil laut lumayan seperti udang, ketam dan siput. Dengan kedudukannya terlindung dari arus angin musim tengkujuh yang berupa teluk, aktiviti penangkapan ikan boleh dilakukan sepanjang tahun.

Apabila tiba musim ikan kembung, keadaannya di situ macam pesta. Benih kerang di kawasan utara tanah air ini cuma ada di Balik Pulau yang membiak secara semula jadi. Baru-baru ini ada nelayan maklumkan mereka memperoleh RM2,000 hasil jualan udang 40 kilogram. Siput boleh diperoleh setiap hari, bila hujung minggu, ramai orang luar datang ke situ.

Cuma masalahnya hari ini terdapat enam persatuan nelayan di selatan Pulau Pinang. Jumlah nelayan yang berdaftar ialah 4,344 orang tidak termasuk lebih 5,000 nelayan di seluruh negeri itu. Apabila musim udang dan ikan, nelayan dari Kuala Kedah pun datang ke situ. Kalau kawasan ini ditebus guna, di mana nelayan hendak cari rezeki?

Dahulu, semasa Kerajaan BN melakukan tebus guna tanah contohnya di Batu Kawan melibatkan 6,000 ekar untuk industri, harapan BN supaya tanah ini akan bertahan selama puluhan tahun. Demi masa depan generasi muda.

Apabila hendak jual tanah pun, kita akan tanya berapa ba­nyak diperuntukkan untuk industri. Kalau lima ekar, lima ekarlah, tiada lebih. Tetapi sekarang tidak lagi di bawah kerajaan negeri yang ada.

* Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tidak praktikal?

Tujuan kerajaan negeri DAP menebus guna di Balik Pulau dan sebahagian Bayan Baru ini untuk menjana pendapatan membiayai projek PTMP bernilai RM46 bilion.

Cuma, berapakah pendapatan akan diperoleh daripada 4,500 ekar yang akan ditebus guna ini? Katakan kerajaan negeri hanya dapat 10 peratus iaitu 450 daripada 4,500 ekar itu dengan harga RM300 untuk sekaki persegi, maka jumlahnya baru RM6 bilion. Itu sahaja pendapatannya yang tak cukup untuk menampung kos projek RM46 bilion.

Malah, jika ikut perancangan PTMP, menerusi pelan itu akan dipersiapkan Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di bahagian pulau. Bahagian pulau ini hanya ada 700,000 penduduk. Setiap rumah di Pulau Pinang ada motosikal dan kereta. Bila hari panas, mereka naik motor, apabila hujan berkereta. Agak-agaknya berapa peratus penduduk Pulau Pinang akan tukar naik LRT? Mungkin tidak sampai lima peratus, yang ke kilang dan pejabat masih akan tunggang motosikal dan pandu kereta.