Najib dipilih sebagai wakil rak­yat kerusi Pekan buat pertama kalinya pada 1976, semasa beliau berusia 23 tahun. Beliau menang dengan sokongan hebat daripada pengundi Pekan, menggantikan bapanya, Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua. Sejak itu sehingga kini, Najib telah memenangi kerusi Parlimen Pekan setiap kali pilihan raya dan menjawat pelbagai jawatan Kabinet.Beliau menjadi Perdana Menteri pada 2009 menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pula seorang tokoh politik UMNO yang pernah menyandang pelbagai jawatan termasuk sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun dan telah menikmati bermacam-macam kemudahan dan ganjaran daripadanya.

Menurut catatan sejarah politik UMNO, Dr. Mahathir menyer­tai parti itu pada 1946. Namun, beliau pernah dibuang daripada UMNO pada 26 September 1969 oleh Presiden UMNO ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri yang pertama. Dr. Mahathir dipecat kerana mendakwa Tunku, selaku pemimpin tertinggi negara gagal membela kepentingan kaum Melayu dan dengan itu mendesak Tunku meletak jawatan.

Ayahanda Najib, Tun Abdul Razak Hussein yang mengambil alih kepemimpinan parti dan kerajaan daripada Tunku, membawa masuk semula Dr. Mahathir ke pangkuan UMNO pada 7 Mac 1972 dan melantik beliau sebagai senator pada 1973. Seterusnya, Dr. Mahathir bertanding mewaki­li Barisan Nasional (BN), bagi kerusi Parlimen Kubang Pasu pada 1974 sebelum dilantik sebagai Menteri Pelajaran oleh Tun Razak.

Sejak itu, kerjaya politik Dr. Mahathir terus menyinar. Beliau melangkah ke hadapan dalam politik UMNO, sehingga dilantik sebagai Presiden UMNO dan sekali gus menjadi Perdana Menteri keempat sehinggalah dicabar oleh Naib Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pada 1987.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia masih ingat peristiwa pemilih­an UMNO pada 1987 yang menarik perhatian hampir semua kaum dan golongan di Malaysia. Dr. Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Pre­siden UMNO.

Pelbagai pihak meramalkan Tengku Razaleigh akan menang dalam pemilihan tersebut. Namun, Dr. Mahathir dipilih semula sebagai Presiden UMNO dengan margin yang kecil iaitu kelebihan 43 undi daripada Tengku Raza­leigh. Dr. Mahathir memperoleh 761 undi, manakala Tengku Razaleigh memperoleh 718 undi.

Para penganalisis politik dan media ketika itu melaporkan bahawa faktor yang menyebabkan Dr. Mahathir mengalahkan Tengku Razaleigh adalah faktor sokongan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang beralih kepada Perdana Menteri keempat itu pada saat-saat akhir.

Peristiwa Najib, selaku Pe­mang­ku Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dan Menteri Belia dan Sukan ketika itu telah menjadi bahan perbualan dalam kalang­an rakyat malah media arus perdana, termasuk Utusan Malaysia.

Sokongan Najib telah membantu menyelamatkan Dr. Mahathir daripada ditumbangkan dalam pemilihan sengit jawatan Presiden UMNO dan mengekalkan kerusi Perdana Menteri yang disandangnya. Bahkan Najib dilaporkan banyak membantu dan menyokong proses penubuhan UMNO Baru yang ditubuhkan selepas pendaftaran UMNO dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi atas beberapa sebab termasuk tidak menepati peraturan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Najib juga dilaporkan akur dan banyak membantu di saat-saat kritikal dalam kerjaya politik Dr. Mahathir.

Malangnya kini, Dr. Mahathir meninggalkan UMNO dan bersekongkol dengan DAP, parti politik yang dari dulu lagi berniat untuk menjatuhkan UMNO dan lantang meni­dakkan hak istimewa kaum bumiputera terma­suk Melayu seperti terkandung dalam Perkara 153, Perlembagaan Malaysia.

Rakyat terkejut apabila Dr. Mahathir berpakat dengan DAP kerana bekas Perdana Menteri itu pernah me­labelkan DAP sebagai parti perkauman, anti kepentingan Melayu dan pengukuhan sya­riat Islam malah bersedia menghapuskan UMNO daripada medan politik di negara ini.

Dalam forum politik anjuran Kelab Bangsar Utama di Kuala Lumpur baru-baru ini, sebahagian besar peserta terutamanya golo­ngan muda melahirkan kekecewaan terhadap Dr. Mahathir yang kini mengetuai Pakatan Harapan.

Rata-rata berpendapat Dr. Mahathir tidak patut kembali aktif dalam politik negara. Soalnya, adakah Dr. Mahathir sudah lupa sumbangan Tun Razak dan anakandanya Najib kepada kerjaya politik beliau? Bukankah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati menjadi amalan hidup rakyat Malaysia ter­utamanya kaum Melayu secara turun-temurun?

DATUK M. PERIASAMY ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Komunikasi 
dan Multimedia.