“Apa yang UMNO Johor mahu kongsikan ini tidak ada agenda tidak baik, semua ini demi manfaat rakyat Johor,” kata Hasni kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL baru-baru ini.
Hasni turut bercakap tentang kunjungan kepemimpinan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diketuai presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke Johor, Sabtu ini. Beliau masih menaruh keyakinan tinggi UMNO Johor akan bangkit dengan cepat untuk mengembalikan mandat rakyat negeri itu ke pangkuan parti. Ikuti temubual 20 minit dengan Hasni.

 

 

UTUSAN: Adakah Belanjawan 2019 memberi impak positif kepada negeri Johor?

HASNI: Dari segi Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini, UMNO Johor masih meneliti faedahnya kepada Johor. Kalau saya boleh bagi contoh caj jalan raya (RC) atau permit kemasukan kenderaan asing (VEP) yang memasuki negara ini dari Singapura ke Johor yang melalui Linkedua, Johor cuma terima 25 peratus kutipan levi. Sedangkan kita tahu kenderaan Singapura yang masuk itu telah menimbulkan banyak cabaran kepada Johor termasuk penambahan tempat letak kereta, kemudahan tempat makan, pasar-pasar borong dan pasar tani. Semua ini membebankan pihak berkuasa tempatan untuk tampung warga Singapura di sini.

Adalah wajar hasil dari kutipan levi itu bukan 25 peratus tetapi 75 peratus untuk Johor nikmati. Jadi, Kerajaan Persekutuan dapat 25 peratus, Johor 75 peratus. Setiap tahun kutipan antara RM40 hingga RM50 juta, tapi Johor cuma dapat 25 peratus.

Sebelum ini semasa Johor di bawah BN kenapa UMNO tidak tuntut?

Apabila RC dan VEP diperkenalkan pada 1 November 2016, kita (Johor) harap terima 25 peratus. Sejak dulu kita (UMNO Johor) perjuangkan, tapi cuma dapat 25 peratus. Kali ini Belanjawan 2019 tidak ada pemberian kepada negeri Johor. Berdasarkan cabaran sebuah negeri yang berjiran dengan Singapura, hasrat untuk melihat apa faedah yang Johor perlu peroleh setidak-tidaknya kita harus tuntut syer yang lebih wajar kita dapat, 75 peratus.

Adakah lagi sumber baharu yang perlu Pusat usahakan untuk manfaat rakyat Johor?

Jangan lupa tentang bayaran 3 sen untuk setiap 1,000 gelen air yang dijual kepada Singapura.

Perjanjian Air Sungai Johor tahun 1962 membolehkan Singa­pura mempunyai hak untuk mendapatkan 250 juta gelen air sehari dari Sungai Johor dengan bayaran semurah itu (3 sen untuk setiap 1,000 gelen) manakala Johor akan membeli air terawat dari Singapura pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Jadi, kerajaan tunggu apa lagi untuk kadar ini disemak semula? Jika kerajaan berterusan begini dengan selalu menguar-uarkan negara dibebani hutang itu ini, maka UMNO Johor sarankan salah satu tumpuan adalah dapatkan sumber baharu untuk Johor, menerusi kutipan levi RC atau VEP tadi atau naikkan harga air yang dijual kepada Singapura.

Apatah lagi dianggarkan sejumlah 250,000 kenderaan persendirian memasuki Johor seminggu. Bayangkan kalau 75 peratus dari hasil levi yang dikutip (RM50 juta setahun) diberi kepada Johor.

Berdasarkan pentadbiran enam bulan kerajaan negeri di bawah menteri besar, Datuk Osman Sapian, apa yang boleh dirumuskan?

Saya tidak yakin Pakatan Harapan Johor berpeluang untuk berkuasa lagi (pada pilihan raya umum ke-15) memandangkan kerajaan negeri gagal melaksanakan program atau perancangan yang jelas.

Pelan strategi ekonomi mampan Johor yang dibentangkan baru-baru ini pun tidak menunjukkan ia suatu perancangan yang dapat memberi impak besar kepada Johor. Ini lebih-lebih lagi apabila banyak projek infrastruktur yang dirancang seperti projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), projek Sistem Transit Rapid (RTS) serta pelebaran lebuh raya Utara-Selatan dari Pagoh ke Johor Bahru semua ini dibatalkan. Jadi, bagaimana Johor nak merangka pertumbuhan ekonomi yang lebih baik jika tidak mempunyai infrastruktur yang mampu menampung keperluan pelabur? Saya lihat Belanjawan 2019 yang menyediakan kad subsidi RM100 sebulan kepada setiap pengguna pengangkutan awam pun tidak beri impak besar kepada Johor berbanding di Kuala Lumpur kerana Johor tidak ada LRT atau MRT. Pengangkutan awam pun terhad. Apabila kerajaan batalkan projek-projek itu, bagaimana kita nak dapat pengangkutan terbaik. Johor pun tak dapat apa.

Kunjungan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO ke Johor Sabtu 10 November ini apa yang diharapkan UMNO negeri?

Saya fikir ia akan meningkatkan persefahaman berkaitan kepentingan bersama antara kerajaan negeri dan Pusat. Ini supaya dapat kita bersama-sama mencari kekuatan dalam memastikan dasar kerajaan, negeri dan rakyat Johor dapat menikmati manfaat paling optimum. Saya percaya Johor mempunyai potensi tinggi untuk menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara. Jika Belanjawan 2019 tidak memperlihatkan potensi ini, maka rakyat harus bangkit untuk menyatakan kekesalan mereka sehingga kita boleh anggap rakyat Johor dianaktirikan dalam soal menikmati pertumbuhan ekonomi.

Masihkah Johor yang melahirkan UMNO ini kekal sebagai kubu kuat parti itu?

Ya, ini berdasarkan kepada pengalaman dan keupayaan pemimpin-pemimpin UMNO seperti Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Azalina Othman Said...sekadar menyebutkan beberapa nama. Mereka ini mampu menyumbang kepada kejayaan Johor.

Kita akan terus mendampingi ahli di bawah, tidak kira sama ada ia berkaitan dengan dasar kerajaan mahupun perjuangan parti. Lebih penting kita nak capai supaya UMNO diterima masyarakat.

Kita mulakan dengan menjalin hubungan dengan pelbagai pihak, tidak kira sama ada ia kalangan orang muda dan segenap lapisan rakyat. Adakan interaksi. Rata-rata apa yang diharapkan adalah mereka dapat bersama-sama UMNO untuk membicarakan tentang kebaikan orang Melayu dan kepemimpinan. Kita tahu suara orang muda penting. UMNO Johor telah atur beberapa program supaya dapat diangkat suara orang muda.

Ini mustahak, lebih-lebih lagi Johor berhadapan pengaruh negara jiran, Singapura dan juga kejayaan yang Johor telah bina sebelum ini.

Lagipun 10 teras janji Pakatan Harapan sehingga hari ini pun masih gagal dilaksanakan. Ini antara kelemahan ketara di pihak kerajaan.