Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Titiwangsa di Desa Pandan, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu, beliau memberitahu, kerjasama itu amat penting bagi menyelamatkan Proton daripada ditutup kerana syarikat itu kini sudah tidak lagi kompetitif dan mengalami kerugian besar saban tahun.
 Katanya, sekiranya Proton ditutup, ia akan memberikan impak lebih besar kerana lebih 10,000 kakitangan Proton dan lebih 60,000 orang yang bekerja dengan vendor dan sektor berkaitan bakal kehilangan pekerjaan.
 Menurut Johari, kerajaan tidak boleh terus menghulurkan wang kepada Proton setiap kali syarikat tersebut mengalami masalah kewangan kerana model perniagaan sedemikian tidak mampu bertahan lama.  
Beliau juga meminta rakyat memahami bahawa kerajaan tidak mempunyai kepentingan dalam perjanjian tersebut kerana ia adalah urusan perniagaan antara syarikat swasta.
 Sementara itu,  Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, DATUK SERI SYED FAISAL ALBAR SYED ALI RETHZA ALBAR  menjelaskan tentang pelbagai isu berbangkit berhubung kerjasama antara Proton dan Geely termasuk tentang masa depan jenama Proton, kakitangan dan vendor.

 

MINGGUAN: Apa rasional penjualan Proton sehingga DRB-Hicom terpaksa menjual 49.9 peratus sahamnya dalam syarikat kereta nasional itu kepada Geely?

JOHARI: Sebenarnya, selepas 32 tahun, kita berhadapan dengan satu masalah di mana Proton tidak lagi kompetitif. Proton tidak dapat mengeluarkan kereta yang berteknologi tinggi. Akhirnya, apa yang berlaku, Proton telah mengalami kerugian yang amat besar.

Sebagai contoh pada tahun 2015, Proton telah mengalami kerugian hampir RM650 juta. Kemudian pada tahun 2016, Proton rugi hampir RM150 juta. Jadi, Proton terpaksa meminjam daripada kerajaan RM1.5 bilion untuk membuat bayaran kepada vendor dan pembekal yang telah tertunggak selama lapan bulan.

Jadi model perniagaan Proton ini sudah tidak sustainable (mampan). Sebabnya, yang pertama Proton sudah tidak ada volume (jumlah pengeluaran).

Dahulu ketika zaman kegemilangannya, Proton adalah jenama nombor satu di Malaysia dan berjaya menjual kereta hampir 200,000 unit setahun. Sekarang ini, Proton hanya boleh jual lebih kurang 5,000 unit sebulan sedangkan syarikat itu mempunyai kapasiti pengeluaran antara 350,000 hingga 400,000 unit setahun. Kalau Proton hanya boleh jual sekitar 5,000 unit sebulan, macam mana hendak untung?

Proton ini satu produk yang bagus dan ada pelan yang bagus. Tetapi oleh sebab zaman berubah, teknologi juga bertukar. Jadi kalau kita masih tidak tukar dan kekal duduk macam dalam zon selesa yang lama, maka kita tidak boleh membaik pulih Proton.

Kenapa Geely yang dipilih sebagai rakan strategik Proton?

JOHARI: Kita panggil Geely sebagai rakan strategik kerana syarikat itu mempunyai banyak teknologi baharu dan rekod prestasi yang bagus. Geely telah membuktikan kemampuannya apabila berjaya membaik pulih Volvo, satu jenama yang sangat popular suatu ketika dahulu.

Jika tidak, orang sudah tidak akan pakai Volvo. Geely bukan sebuah syarikat kecil. Nilai jualannya hampir AS$9 bilion (RM38.4 bilion) setahun.

Kemudian, keuntungannya hampir AS$1 bilion (RM4.27 bilion).Geely juga mempunyai kira-kira 35,100 orang pekerja dan nilai keseluruhan aset syarikat itu mencecah AS$10 bilion (RM42.7 bilion). Kemudian, Geely mengedarkan kereta keluarannya ke sebanyak 23 buah negara. Inilah syarikat yang bekerjasama dengan Proton. Kita perlu ingat, Geely cuma membeli 49.9 peratus kepentingan dalam Proton dan DRB-Hicom masih mengekalkan pegangan 50.1 peratus.

Proton bukan lagi syarikat kerajaan dan menjadi syarikat persendirian apabila dibeli oleh DRB-Hicom pada Januari 2012. Kenapa kerajaan masih lagi mengambil berat tentang Proton?

JOHARI: Transaksi ini adalah urusan perniagaan antara pihak swasta. Kerajaan tidak ada apa-apa kepentingan tetapi kerajaan ada kepentingan dari segi untuk memastikan industri-industri strategik seperti ini yang mempunyai 10,000 pekerja secara langsung dan kira-kira 60,000 pekerja secara tidak langsung tidak runtuh.

Kalau Proton ditutup, bermakna 70,000 orang ini akan kehilangan pekerjaan. Kalau seorang pekerja mempunyai empat orang tanggungan dalam keluarga, mereka pun akan terjejas.

Kita tidak mahu Proton ini menerima nasib sama seperti Perwaja Steel (Perwaja). Kita cuba bangunkan industri besi dan keluli menerusi Perwaja. Banyak kerajaan tolong tetapi akhirnya Perwaja tutup. Ramai pekerja Perwaja kena berhenti dan kilang sudah tidak beroperasi. Takkan kita hendak buat Proton begitu? Saya hendak tekankan kita tidak mahu nasib Proton akan jadi macam Perwaja. Saya faham Tun Dr. Mahathir sangat kecewa. Tapi saya hendak maklumkan bahawa Geely adalah rakan strategik yang diharap boleh memajukan Proton.

Sebelum ini Geely pernah dilaporkan menarik diri dan hanya tinggal PSA dan Renault SA yang bersaing dalam pembidaan untuk membeli saham Proton. Bagaimana boleh termeterai perjanjian antara Geely dan Proton?

JOHARI: Semasa DRB-Hicom buka cadangan permohonan (RFP), sebanyak 15 syarikat masuk. Kemudian, setelah disenarai pendek tinggal lapan buah syarikat dan kemudian lima dan akhirnya tinggal dua atau tiga buah syarikat. Biasalah dalam proses bidaan, syarikat keluar dan masuk.

Mungkin waktu Geely keluar, syarikat itu beranggapan tidak boleh memenuhi banyak prasyarat yang kita tetapkan. Tetapi Geely nampak kita agak fleksibel dan sebab itu ia sudi untuk menjadi rakan strategik Proton.

Apakah kelebihan yang ada pada Proton sehingga berjaya menarik minat Geely untuk memiliki kepentingan dalam Proton?

JOHARI: Proton merupakan satu produk atau kereta yang mempunyai pasaran yang luas. Bayangkan kalau di China, Geely boleh jual 200,000 unit kereta Proton setahun, maka Proton akan mencatat keuntungan. Proton juga dapat memperluaskan penguasaan pasaran ke rantau ASEAN.

Proton sudah bertapak selama 32 tahun dan telah mempunyai platform. Ia sudah ada pembekal, vendor dan saluran pengedaran. Kalau Geely beli syarikat baharu, syarikat dari China itu perlu buat kilang, cari pekerja, bina vendor dan pengedar. Proton sudah ada ini semua. Geely cuma datang dan baik pulih.

DRB-Hicom turut melupuskan semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta dari United Kingdom (UK), Lotus. Apakah rasional penjualan ini?

JOHARI: Walaupun DRB-Hicom menjual semua sahamnya dalam Lotus, DRB-Hicom cuma menjual 51 peratus ekuitinya kepada Geely manakala 49 peratus lagi kepada Etika Automotive Sdn. Bhd. yang dimiliki oleh Etika Strategi Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam DRB-Hicom.

Saya difahamkan, DRB-Hicom melepaskan semua kepentingannya dalam Lotus kerana tidak sanggup untuk membiayai pembangunan Lotus. Ini kerana Lotus memerlukan lebih kurang RM2 bilion hingga RM3 bilion, jadi DRB-Hicom tidak mampu. Kalau DRB-Hicom ada kepentingan dalam Lotus, syarikat itu juga kena menyumbang.

Contoh kalau DRB-Hicom memiliki 49 peratus (saham) dan Geely memiliki 51 peratus. Katakan kalau Lotus memerlukan RM2 bilion untuk pembangunan, DRB-Hicom kena sumbang RM1 bilion sedangkan syarikat itu hendak memberikan tumpuan kepada Proton.

Bagi saya, ini adalah satu keputusan yang bagus. Lagipun, Lotus ini bukan jenama tempatan tetapi jenama dari UK. Kita pun tidak ada dalam segmen kereta sports. Lotus ini, sejak mula beli sampai sekarang tidak pernah untung. Saya fikir fokus amat perlu dalam perniagaan.

Nampaknya ada pihak begitu kecewa dengan perkembangan ini dan menyatakan tidak boleh berbangga walaupun Proton mungkin akan maju kerana Proton bukan lagi kereta nasional.

JOHARI: Pasal apa mereka tidak boleh bangga dengan Proton? Bagi saya, semua pihak kena sokong kerjasama ini kerana Geely telah menyelamatkan Proton daripada menjadi seperti Perwaja.

Kalau Proton sudah jadi Perwaja dan berlaku kehilangan pekerjaan, kita lagi susah. Kalau syarikat Malaysia memiliki 50.1 peratus (saham dalam Proton) dan Proton berjaya di peringkat antarabangsa, apa salahnya?

Kalau Daihatsu boleh bekerjasama dengan Perodua, kenapa Proton tidak boleh sedangkan syarikat Malaysia miliki 50.1 peratus saham. Ini adalah amalan biasa dalam perniagaan.

Misalnya, Tata Motors mengambil alih Jaguar dan Land Rover manakala BMW pula menguasai Mini dan Rolls-Royce. Dalam industri kereta, dahulu kalau ada satu jenama, kamu boleh buat seorang diri. Tapi dalam arus globalisasi sekarang, kita kena gabungkan dua atau tiga jenama kenderaan bagi membesarkan rangkaian kita.

Bayangkan kalau orang beli kereta Volvo berharga RM400,000 sebuah dan kalau pelanggan yang sama yakin dengan jenama itu, dia akan beli kereta Proton yang dijual pada harga RM50,000 hingga RM80,000.

Kita buat benda ini, salah satu daripadanya ialah kita menggunakan kepakaran atau teknologi yang orang sudah buat. Dengan itu kita boleh perluaskan kekuatan kita dan kekuatan Geely. Dalam ASEAN, kita boleh tolong membantu.

Kita juga buat benda ini kerana kerajaan tidak boleh terus memberikan duit untuk membantu setiap kali Proton ada masalah kewangan.

Ramai membangkitkan tentang nasib pekerja dan vendor tempatan. Apakah jaminan nasib mereka tetap terjamin?

JOHARI: Semasa Geely ambil alih Volvo, kesemua 27,000 kakitangan Volvo kekal dan sekarang bilangannya bertambah kepada 35,000 orang. Sebab apabila pengeluaran tinggi, bilangan pekerja akan bertambah. Vendor dan pengedar syarikat itu pun gembira.

Bila Geely datang sini, takkan syarikat itu hendak bunuh jenama Proton. Geely sudah keluarkan duit, mesti ia mahu majukan Proton dan apabila sudah maju, mesti perlukan pekerja, takkan hendak berhentikan pekerja. DRB-Hicom ada pegangan 50.1 peratus dan boleh pastikan pekerja tidak akan dibuang dengan sewenang-wenangnya jika hendak mengembangkan perniagaan.

Apakah ada jaminan jenama Proton tidak akan hilang dalam tempoh beberapa tahun lagi?

JOHARI: Nama Proton akan dikekalkan. Itu adalah antara yang dipersetujui dalam perjanjian tersebut. Lagipun, DRB-Hicom ada majoriti saham dan ada kuasa untuk menentukan.