ZULHASNAN RAFIQUE
ZULHASNAN RAFIQUE

Antara ungkapan Pengerusi Barisan Nasional itu yang dipetik penulis daripada sembang santai de­ngan salah seorang yang hadir dalam perjumpaan itu, bunyinya begini:

“Ini survival parti...bukan calon Najib, bukan calon Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) atau calon Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) tetapi kita nakkan calon boleh menang...bukan disebabkan maruah saya atau sesiapa, tetapi (kemenangan) demi survival untuk parti dan kerajaan.”

Adakah kriteria atau ranking kualiti calon sedang dipe­rincikan oleh BN dalam waktu-waktu berbahang ini? Ya, tepat sekali kehendak Perdana Menteri pasal kriteria calon itu.

Dalam perlawanan bola sepak, tiada gunanya bermain cantik kalau akhirnya pasukan itu tewas. Tidak kiralah menang 1-0 pun, asalkan menang. Begitu juga dalam pilihan raya, tidak kisahlah menang tipis 100 undi, waima lima undi sekali pun, asalkan calon itu menang.

Cuma persoalannya, adakah konsep perkongsian kuasa yang dite­rapkan sejak era Parti Perikatan sehinggalah memakai na­ma BN masih mahu diteruskan meskipun prestasinya kelak mengecewakan?

MOHD. SHAFEI ABDULLAH
MOHD. SHAFEI ABDULLAH

Misalnya keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan 2013 di Telok Kemang, Negeri Sembilan. Di situ terdapat kem tentera terbesar di Port Dickson – yang tradisinya menyokong BN. Pendek kata, deposit tetap. Tetapi mengapa dalam dua PRU itu, BN yang diwakili MIC kalah di tangan calon Melayu pembangkang dengan menghampiri 50 peratus pe­ngundi Telok Kemang ialah orang Melayu?

Di Parlimen Kota Raja, Klang perkara sama berlaku. Calon MIC kalah dua kali di situ di tangan calon Melayu pembangkang. Tewas pun bukan sedikit, tetapi dengan jumlah undi lebih besar, 29,395 pada 2013 berbanding 20,751 undi pada 2008.

Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Hutan Melintang, Perak yang didominasi pengundi Melayu kira-kira 16,000 daripada keseluruhan 26,000 pengundi, wajarkah calon yang bakal dile­takkan selain dari UMNO?

Di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pula, adakah kerusi itu masih akan ditandingi MCA setelah tewas di tangan PKR yang me­ngutip majoriti besar, 11,832 undi.

RIZALMAN MOKHTAR
RIZALMAN MOKHTAR

Di kerusi itu nanti dikatakan Pas akan meletakkan calon wanitanya manakala PKR mempertaruhkan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Dengan persempadanan semula bahagian pilihan raya dan kekuatan dari pengundi Melayu dari 23,000 rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) di situ, dikatakan peluang untuk UMNO menang lebih cerah hasil komitmen tinggi ketua bahagiannya, Datuk Rizalman Mokhtar.

Ya, diakui tiada satupun taburan kawasan mengundi di negara ini yang memiliki majoriti kaum India misalannya. Namun dalam menyahut cabaran getir PRU ke-14, sesuatu perlu diubah secara drastik.

Di beberapa kerusi Parlimen yang ditandingi UMNO di Wilayah Persekutuan contohnya, pemilihan calon perlu dibikin sebaik-baiknya. Dan kelibat Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa yang juga Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Tan Sri Dr. Zulhasnan Rafique pun sudah kerap muncul dalam beberapa program rakyat di kawasan itu. Cuma, bagaimana pula penerimaan penyandangnya di situ.

Demikianlah juga di Wangsa Maju, adakah pemimpin bahagian UMNO di situ, Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah masih berkira-kira mahu bertanding lagi setelah kecundang 5,511 undi dalam pilihan raya umum lalu?

KAMARUDDIN JAAFAR
KAMARUDDIN JAAFAR

Aspek pemuafakatan sebenar­nya tiada galang ganti dalam BN. Persefahaman ini termeterai dengan parti-parti komponen­nya MCA, Gerakan dan MIC yang bertanding di kerusi-kerusi yang majoriti pengundinya Melayu. Cuma, adakah strategi, taktik atau konsep ini sekadar ramuan atau ‘perjanjian lama’?

Realitinya, landskap politik hari ini sudah berubah. Beberapa parti komponen kelihatan tidak sekuat mana berdasarkan prestasi pilihan raya lalu. Mereka ter­utama dua parti Cina berkenaan masih bergantung harap kepada pengundi Melayu.

Justeru amat perlu difikirkan semula secara serius sifir mendepani PRU-14 nanti. Adalah lebih elok MCA dan Gerakan fokus bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina. Ujilah kekuatan di kubu-kubu kuat DAP ini. Setiap kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Ne­geri yang ditandingi UMNO dan BN amat bernilai sekarang. Perlu perhalusi satu persatu.

Dengan kata lain, wajarkah lagi diletakkan calon daripada parti komponen atau calon yang pernah kalah, waima dari UMNO sekali pun sebelum ini?

Dan kalau ditukar calon di saat-saat akhir, calon ‘payung terjun’ dipilih selain ditukar di tengah malam beberapa jam sebelum pengundian, BN tentu akan hadapi masalah besar.

Di sebalik itu, kelayakan akademik sangat penting kerana mana-mana parti pun mahu individu yang selesa dengan perubahan trend.

Kelulusan akademik melengkapkan seseorang dengan keupayaan menangani perubahan berterusan dalam teknologi, cita rasa dan pemikiran.

Apa pun, kuasa pengundi Me­layu di bandar-bandar yang dikuasai pengundi bukan Melayu boleh diubah sebenarnya.

Mengapa pengundi Cina mendominasi kawasan bandar me­ninggalkan pengundi Me­layu yang hanya menguasai kebanyakan luar bandar. Padahal dari segi populasi, jumlah orang Melayu di bandar realitinya le­bih ramai daripada kaum lain?

Tetapi malangnya mereka bukannya pengundi di situ. Kebanyakan orang Melayu adalah penghijrah dari kawasan luar bandar dan mereka mengundi di kawasan asal. Apabila tiba masa pilihan raya, mereka akan balik mengundi di sana.

Berbeza dengan sikap pe­ngundi Cina, apabila mereka bermastautin di satu-satu tempat, mereka akan menjadi pengundi di situ. Ini menyebabkan kuasa undi mereka lebih besar walaupun jumlah penduduk daripada kaum itu lebih kecil berbanding Melayu - selain sikap orang Me­layu yang tidak mendaftar.