Beta bersyukur walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi glo­bal, namun kerajaan kekal fokus serta komited melaksanakan dasar-dasar transformasi fiskal serta pengurusan ekonomi dan kewangan negara secara berhemat. Kewangan kerajaan juga dijangka lebih kukuh, disumbang oleh kutipan hasil yang lebih tinggi, pertumbuhan perbelanjaan yang sederhana dan defisit fiskal yang disasarkan terus berkurangan. Rizab antarabangsa pula kekal kukuh manakala hutang Kerajaan Persekutuan terurus dan terkawal.

Perdagangan luar Malaysia dijangka kekal berdaya tahan selaras dengan aktiviti perdagangan global yang semakin meningkat. Negara juga masih kekal sebagai salah satu destinasi pelaburan pilihan dan dijangka dapat menarik pelaburan yang lebih tinggi pada 2018. Diharapkan momentum prestasi positif ini dapat dikekalkan.

Demi masa depan, negara hendaklah terus mempertingkatkan usaha kerana mengekalkan kejayaan adalah lebih sukar daripada mencapainya. Justeru, beta menyeru semua program dan projek yang dirancang dilaksanakan dengan mengambil kira cabaran-cabaran semasa yang dihadapi negara.

Beta mengalu-alukan langkah kerajaan yang berterusan untuk mena­ngani isu-isu yang dekat di hati rakyat melalui pelbagai inisiatif terutamanya berhubung kos sara hidup. Beta percaya lebih banyak lagi inisiatif akan diperkenalkan berikutan langkah kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi merangka program bersesuaian yang boleh dilaksanakan segera untuk meringankan beban rakyat.

Kerajaan beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka. Subsidi dan bantuan bersasar akan terus disediakan kepada golo­ngan yang memerlukan.

Perpaduan adalah intipati kepada keamanan serta kesejahteraan hidup rakyat dan kestabilan negara.

Ke arah itu, beta berharap penghayatan warisan sejarah negara dan penguasaan bahasa kebangsaan terus diper­kukuhkan sebagai asas jati diri rakyat Malaysia.

Beta mengalu-alukan peningkatan dalam skor Indeks Syariah Malaysia yang merupakan satu komitmen kerajaan dalam melaksanakan pentadbiran negara berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Dalam hal ini, nilai kesederhanaan yang sentiasa diperjuangkan oleh Malaysia juga telah mendapat keyakinan dunia apabila resolusi bagi menangkis penyebaran fahaman ekstremisme dan radikalisasi yang dikemukakan oleh Malaysia diterima dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kerajaan beta akan terus melaksanakan program transformasi bagi meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat di luar bandar, Sabah, Sarawak, peneroka Felda, pekebun kecil RISDA, peserta Felcra, penduduk kampung tradisional dan masyarakat Orang Asli serta bumiputera minoriti di Sabah dan Sarawak. Latihan kemahiran dan program keusahawanan yang telah berjaya meningkatkan pendapatan golongan sasar berkenaan akan diteruskan momentum pelaksanaannya.

Dalam meningkatkan kesejahte­raan masyarakat bandar, beta mengalu-alukan langkah menambah baik sistem pengangkutan awam yang kini kadar penggunaannya semakin me­ningkat setiap hari. Beta yakin projek-projek infrastruktur pengangkutan awam yang kini dalam pelbagai pe­ringkat pelaksanaan akan turut memberi limpahan ekonomi kepada rakyat.

Kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan juga akan dipertingkatkan dengan nilai tambah dan nilai cipta terkini menerusi kelestarian pelbagai inovasi dan idea kreatif serta berteraskan kolaborasi pintar antara peme­gang taruh bidang kesihatan daripada pelbagai sektor.

Ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk. Beta menyeru supaya kerajaan terus mempertingkatkan tahap kesediaan terutamanya dalam penguatkuasaan termasuk di ruang siber, keupayaan risikan, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang.

Beta juga berharap tiada pihak yang menjadikan isu keselamatan negara sebagai bahan sendaan dan mainan politik. Begitu juga ancaman pe­nyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar kini semakin serius.

Justeru, beta menggesa semua pihak mengambil langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk membanteras ancaman tersebut.

Pada masa ini media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat. Semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik masyarakat. Dalam hal ini, beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.

Bidang pendidikan yang merupakan nadi pembangunan negara akan terus memberi tumpuan kepada sains, teknologi dan inovasi (STI) serta pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). Pada masa sama, bagi meningkatkan lagi prasarana sekolah, projek naik taraf sekolah-sekolah daif terutamanya di Sabah dan Sarawak telah dipercepatkan pelaksanaannya untuk meningkatkan kemudahan dan keselesaan pembelajaran murid.

Beta amat sukacita pelbagai program dan aktiviti akan dilaksanakan bagi memperkasakan wanita dalam pelbagai sektor termasuk memastikan 30 peratus daripada mereka berada di pe­ringkat pembuat keputusan. Kini sasaran tersebut telah tercapai dalam sektor awam dan syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Usaha-usaha akan diteruskan untuk mempertingkatkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan agar lebih cekap bagi menjadikan Malaysia antara kelompok 20 negara teratas di dunia.

Penurunan kuasa Kerajaan Persekutuan secara pentadbiran bagi perkara-perkara tertentu untuk memboleh­kan kementerian dan agensi kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak membuat keputusan segera ke atas program dan projek untuk rakyat sangat dialu-alukan. Pada masa yang sama, integriti dan tadbir urus pentadbiran awam akan terus diperkasakan untuk membanteras elemen-elemen kebocoran, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Kerajaan beta akan terus memodenkan sektor pertanian termasuk komo­diti dan kelapa di samping meneroka sumber kekayaan baharu seperti durian, herba, tenusu dan sarang burung walit. Usaha-usaha hendaklah diambil untuk memastikan eksport pertanian dan komoditi memenuhi piawaian dan menembusi pasaran antarabangsa.

Beta mengucapkan terima kasih dan menghargai komitmen serta sumbangan semua pihak dalam menjamin keselamatan, keamanan dan kedaulatan negara yang dengannya memboleh­kan pembangunan dan kemajuan negara berjalan baik dan hasilnya kita nikmati sekarang. Terima kasih juga kepada Kerajaan Perdana Menteri yang menggembleng tenaga bagi membangunkan negara Malaysia yang tercinta.

Akhir titah, beta berdoa semoga negara Malaysia serta rakyatnya akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah SWT dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindungan-Nya.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah,

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.