Sudah pasti harapan mengenai insentif dalam bentuk kewangan tidak dapat dielakkan. Ini lumrah manusia. Lebih-lebih lagi ketika kita berada dalam mood Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan dipanggil dalam waktu terdekat, kemungkinan besar pada suku pertama tahun depan. Malah wajah bajet yang akan diketahui pada Jumaat ini juga yang terakhir sebelum PRU-14.

Berdasarkan apa yang telah dikongsi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Ghani sejak sebulan dua lalu, Bajet 2018 sudah pasti akan membawa berita menarik bagi rakyat keseluruhan - pelajar, remaja, belia, wanita, pekerja, pesara, korporat dan sebagainya.

Kalau kita melihat kembali kesemua lapan bajet yang dibentangkan oleh Najib sejak 2009, sudah pasti ia akan menghidangkan item-item dan perkara-perkara yang lebih menawan hati semua kali ini. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat. Ini yang telah dilakukan sejak enam dekad lalu dan akan terus dizahirkan dan diperlihatkan menerusi Bajet 2018 - yang dilihat sebagai belanjawan pen­ting dalam pelbagai sudut.

Selain rancangan pembangunan lima tahun, penggubalan bajet tahunan adalah satu lagi mekanisme yang sentiasa digunakan dengan baik bagi menyediakan dasar dan program yang bersifat konstruktif.

Dalam ucapan Bajet 2017, diumumkan mengenai langkah merangka agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50). TN50 dilancarkan dengan tujuan yang jelas untuk memeta hala tuju negara di atas satu kanvas yang baharu. Dalam buku Falsafah Asas TN50, ditekankan bahawa TN50 adalah visi yang akan menjangkau tiga dekad proses dan gerak kerjanya bagi membentuk sebuah negara bangsa yang benar-benar unggul lagi berwibawa serta berminda par excellence bagi melahirkan generasi khayra ummah.

Malaysia disasarkan untuk muncul sebagai negara maju High Income Advanced Economy menjelang 2020. Selanjutnya kerajaan turut menyasarkan nilai ekonomi dan dagangan negara kepada dua trilion ringgit pada 2025, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahun 2050 nanti berada pada kedudukan 20 negara terbaik dan termaju di persada dunia.

Selain itu, digariskan juga bahawa TN50 adalah satu transformasi bersifat manusiawi atau kemanusiaan, merangkumi nilai insaniah yang unggul, meliputi aspek roh dan akhlak baik lagi mulia serta fizikal yang berpaksikan prinsip maqasid syariah berpendekatan kesederhanaan.

Maqasid syariah sebagai ­mo­-
del, prinsip dan kerangka dalam menjayakan TN50 adalah suatu langkah yang utama dan tepat. Ini kerana maqasid bukan sekadar satu ilmu tetapi merupakan model yang menyeluruh dan serba lengkap serta boleh diangkat sebagai kerangka paling dasar, ketika membuat sesuatu keputusan penting dalam semua aspek kehidupan.

Maqasid syariah turut me­nya­sarkan kepada maslahah umum iaitu yang mendatangkan kebai­kan kepada rakyat terbanyak dan mengelakkan mafsadah atau sebarang perkara yang menjurus kepada kerosakan, sebagai prasyarat utama dalam lima perihal prinsip penting dalam kehidupan iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

Model Maqasid syariah ini juga mampu mengubah dimensi yang bersifat duniawi semata-mata kepada keseimbangan antara duniawi dan ukhrawi, intipati kesyumulan model yang berlandaskan kepada maqasid syariah pula ialah kemampuannya mengambil kira setiap tahap mengikut keutamaan, sama ada pada peringkat dharuriyat atau keperluan asas yang paling utama diperlukan sehingga mencapai ke tahap suatu kemestian.

Hajiyyat pula yakni perkara berkaitan dengan kehendak atau keperluan umum yang membawa kelapangan hidup tetapi tidaklah sampai ke tahap darurat atau terdesak dan tahsiniyat merujuk kepada keperluan tidak pokok atau mendesak, tetapi mampu mencantik, mengindahkan dan memberi nilai kesempurnaan dalam hidup.

Rakyat mahu melihat dasar-dasar yang boleh meningkatkan kesempurnaan kehidupan mereka, di sebalik bantuan dan sokongan berterusan ke arah itu. Pastinya bajet yang dibentangkan kali ini akan menyediakan lebih banyak ruang bagi merealisasikan harapan rakyat.

Sesetengah pihak telah melabel Bajet 2018 akan dilihat sebagai Bajet PRU-14, kononnya BN mahu memikat pengundi dan meman­cing undi. Akan tetapi sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan yang mengambil berat, Kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan kehendak masyarakat semua lapisan sepanjang zaman.

Bajet 2017 yang diumumkan Oktober tahun lalu menyaksikan lebih 150 insentif digariskan demi membantu rakyat. Antara lain, kerajaan memperkenalkan Bantuan Musim Tengkujuh sebanyak RM200 manakala bagi meringankan beban sara hidup 57,000 nelayan, pemberian elaun RM200 hingga RM300 sebulan diteruskan. Ia termasuklah menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ia juga sebahagian daripada janji manifesto BN. Bermakna janji yang diberi dikotakan demi kelestarian kebahagiaan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Kuala Selangor.