PAPARAN portal BBC News pada 2016 mengenai larangan mengadakan pesta arak di Glasgow pada tahun lalu dan langkah sama juga dibuat oleh Glasgow Licensing Board pada tahun ini.

Mereka menjawab bahawa mereka tidak pun berminat untuk berada walaupun berhampiran dengan kawasan pesta itu kerana takut akan berlaku sesuatu yang memudaratkan keselamatan.

Kalau orang bukan Islam pun berpendapat bahawa pesta arak seperti itu boleh mengundang kemudaratan, apatah lagi orang Islam yang menjadi majoriti penduduk di negara ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata (Utusan Malaysia 24 September) bahawa Kerajaan PKR Selangor tidak akan menghalang jika pesta arak Better Beer Festival 2017 mahu diadakan di negeri itu ke­rana ia sejajar dengan prinsip yang dipegang oleh kerajaan ne­geri Selangor iaitu menghormati hak kaum dan agama lain.

Beliau bagaimanapun berkata, penganjur pesta arak itu perlulah mematuhi peraturan-pera­tu­ran yang ditetapkan oleh pi­hak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sebagai sebuah ke­rajaan yang bertanggungjawab, bukan sahaja kita kena hormat tetapi kita kena menjamin dan memelihara hak kaum dan agama yang lain,” kata beliau lagi.

Saya tidak pasti sama ada kenyataan ini dibuat oleh Menteri Besar itu atau tidak, tetapi itulah bacaan saya mengenai perkara ini di dalam Utusan Malaysia.

Walau apa pun, saya berasa amat gembira dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan bahawa penganjuran pesta arak adalah di bawah bidang kuasa polis untuk ditangani dan beliau telah mengarahkan supaya menghentikannya.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menyatakan bahawa beliau tidak akan membenarkan penganjuran pesta ini kerana kemungkinan wujud ancaman militan berkaitan pesta tersebut. Dalam kiraan saya pihak polis bertegas kerana mereka mempunyai maklumat yang boleh dipercayai melalui risikan yang telah dijalankan.

Saya juga membaca bahawa Yang Dipertua MPK telah mengesahkan bahawa pihaknya telah menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta arak tersebut berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat yang ditetapkan. Salah satu daripada syaratnya adalah kelulusan daripada pihak polis kerana ia melibatkan isu keselamatan.

Kerajaan bersama de­ngan Parlimen mempunyai kewajipan untuk melin­dungi negara dan rakyatnya daripada pelbagai krisis se­­perti kekacauan domestik dan yang dibawa oleh anasir-anasir luar negara. Saya ucapkan tahniah kepada ketiga-tiga mereka ini kerana mengutamakan ­keselamatan negara yang diperlukan oleh mana-mana negara.

Tindakan Timbalan Perdana Menteri rupa-rupanya selari dengan tindakan yang diambil oleh Glasgow, United Kingdom. Pada minggu ini Glasgow Licensing Board telah menolak permintaan penganjur untuk mengadakan pesta arak di Glasgow pada 19 hingga 23 Oktober tahun ini.

Sebab yang diberikan ialah untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kekacauan dan juga keadaan mabuk arak yang tidak dapat dikawal dalam kalangan peserta. Pihak penganjur di Glasgow yang bertamadun di negara Barat itu telah akur dengan keputusan polis untuk tidak membenarkan pesta itu diadakan dan tiket yang telah dijual bagi pesta itu dikembalikan kepada pembelinya. Beginilah sikap orang yang menghormati keputusan yang dibuat oleh pihak yang berkuasa yang dipilih oleh rakyat.

Sebenarnyalah semua agama mengharamkan atau tidak menggalakkan meminum arak. Surah al Maidah: 90, Surah al Baqarah: 219 mengharamkan arak dengan nyata sekali. Agama Kristian arak juga adalah haram mengikut beberapa sumber dalam Bible. Pengikut agama Buddha disuruh supaya menjauhkan diri daripada keadaan mabuk yang disebabkan oleh arak.

Dalam agama Hindu ada yang menyatakan bahawa meminum arak adalah tidak dibenarkan. Dalam agama Sikh (Guru Gobind Singh) menyatakan bahawa salah satu daripada lima larangan asas ialah tidak boleh minum minuman beralkohol.

Malaysia perlu menyemai hubungan harmonis antara kaum. Ini amatlah kritikal demi untuk menjamin keamanan dan ke­sejahteraan negara. Oleh yang demikian, sesuatu kaum hendaklah peka terhadap kaum lain sebagaimana orang Islam tidak memandang ringan atau menghina orang yang beragama lain.

Dalam hal ini, rakyat semua tahu bahawa arak adalah sesuatu yang diharamkan dalam agama Islam dan juga di dalam beberapa agama yang telah saya sebutkan sebelum ini. Kenapakah kita perlu mengadakan pesta arak kerana ia boleh mendatangkan kemudaratan sama ada dari segi perkauman, dan perlakuan sekiranya tidak dapat mengawal diri kerana mabuk arak.

Mungkin ada yang mempertikaikan larangan mengadakan pesta arak ini mencabuli hak asasi manusia. Hak asasi manusia bukannya hak mutlak.

Manusia hanya bebas mela­kukan sesuatu kalau tidak me­ngundang kecelakaan kepada ma­syarakat. Perkara ini hendaklah difahami sebaik-­baiknya, dan hendaklah jangan disalah tafsirkan.

Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu memang memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi walaupun begitu ia ada batas. Manusia tidak berhak untuk melakukan apa saja yang mereka mahu atas alasan hak asasi, kerana manusia hidup bermasyarakat dan bukannya hidup berseorangan seperti dunia ini dia seorang sahaja yang punya!
 


DATUK PROF. EMERITUS DR. HA­SHIM YAACOB ialah bekas Naib Can­se­lor Universiti Malaya (UM).