ANIFAH AMAN
ANIFAH AMAN

Isu tuntutan Sabah hidup kembali apabila jawatankuasa yang melaksanakan kajian semula Perlembagaan 1987 Filipina untuk membawa negara itu ke peme­rintahan sistem kerajaan persekutuan, membuat usul supaya Sabah dijadikan negeri ke-13 Filipina. Per­lu dinyatakan juga 12 negeri la­in yang dicadangkan supaya termaktub dalam perlembagaan baharu adalah Metro Manila, Luzon Utara, Luzon Tengah, Luzon Selatan, Bicol, Visayas Timur, Visayas Tengah, Visayas Barat, Minparom, Mindanao Utara, Mindanao Selatan dan Bangsamoro.

Walaupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan masyarakat antarabangsa telah mengiktiraf Sa­bah sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak penubuhan persekutuan pada 16 September 1963, tuntutan Filipina ini yang dianggap tidak berlandaskan perundangan antarabangsa sudah pasti akan mewarnai hubungan dua hala di antara Malaysia dan Filipina.

Meskipun Presiden Ferdinand Marcos pada 1977 ketika berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN telah berikrar akan menggugurkan tuntutan Sabah demi memelihara hubungan baik dua negara jiran, tetapi setiap kali bertukar tampuk pemerintahan daripada Marcos sehingga ke Presiden Rodrigo Duterte ketika ini, ahli politik Filipina sedia maklum isu Sabah ini tidak pernah dilupakan.

Dan walaupun Menteri Luar Filipina, Alan Peter Ca­yetano telah memberi jaminan kepada Anifah bahawa cadangan membawa Sabah sebagai negeri ke-13 dalam perlembagaan Fili­pina yang dinyatakan oleh salah seorang ahli jawatankuasa kajian iaitu Aquilino Pimentel Jr. tidak menggambarkan pendirian rasmi Manila, tetapi hakikatnya adalah keputusan akhir bergantung kepada Duterte sama ada untuk menerima atau sebaliknya cadangan tersebut.

Jika mengikut peruntukan sa­ma ada Perlembagaan 1935, 1973 dan terkini 1987, definisi wilayah Filipina banyak dijelaskan melalui pernyataan sejarah dan tidak dinyatakan secara spesifik Sabah adalah sebahagian daripada Fili­pina. Tetapi cadangan Pimentel Jr. adalah begitu spesifik menyatakan Sabah adalah milik Filipina dan jika diterima oleh Duterte sebagai sebahagian daripada pembaharuan perlembagaan mereka, maka ini sudah pasti memberi makna baharu hubungan dip­lomatik Malaysia dan Filipina.

Perlu diungkit beberapa hari selepas dilantik ke jawatan pre­siden pada Jun 2016, Duterte menegaskan bahawa beliau sebagai presiden Filipina akan membantu kumpulan rakyat Filipina yang mendakwa Sabah adalah milik mereka. Perlu ditegaskan juga isu Sabah milik Filipina te­lah pun disuarakan oleh Duterte pada 2015 lagi iaitu sebelum beliau me­ngisytiharkan akan bertan­ding da­lam pemilihan presiden.

Memang benar juga setiap presiden Filipina tidak pernah menggugurkan tuntutan Sabah milik Filipina kerana ianya dianggap modal politik yang amat bernilai. Cuma bezanya ketika ini adalah sikap Duterte yang lazim membelakangi undang-undang dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan masalah membimbangkan ASEAN ter­uta­ma sekali Malaysia.

Tetapi jika diambil iktibar perihal tuntutan bertindih wilayah maritim Laut China Selatan de­ngan China, Duterte mampu membuat keputusan menongkah arus tanpa ambil peduli dengan sentimen rakyat Filipina kerana pada pendapat beliau mengekalkan hu­bungan ekonomi dengan China adalah lebih penting.

Harapannya adalah Duterte da­lam membuat pertimbangan sama ada untuk menerima atau menolak cadangan Sabah negeri ke-13, perlu juga memikirkan bagaimana untuk mengekalkan hubungan baik dua hala Malaysia dan Filipina. Ini adalah kerana kestabilan selatan Mindanao umpamanya banyak bergantung bukan sahaja kepada dasar Manila tetapi juga dasar yang diamalkan Kuala Lumpur. Begitu jua dengan status Bangsamoro juga banyak bergantung kepada pendirian Kuala Lumpur.

Sebab itu dalam hal ini rakyat Malaysia perlu mempamerkan kesatuan yang tidak berbelah bahagi ketika menghadapi kemelut kedaulatan yang dicabar. Ketika berlangsungnya kempen pilihan raya senator pada 2016, salah seorang calon iaitu Jacel Kiram telah menggunakan isu Sabah sebagai bahan kempen beliau. Perlu ditegaskan Jacel sudah lama dalam perhatian rakyat Malaysia iaitu bermula ketika peristiwa pengganas Sulu menceroboh Lahad Datu pada 2013.

Lebih malang bila ada ahli politik Malaysia yang tidak sensitif dengan isu tuntutan Sabah telah mengadakan pertemuan dengan Jacel walaupun diketahui de­ngan jelas pendirian dan penglibatan Jacel dalam hal tuntutan Sabah. Dalam hal ini ahli politik dan rakyat Malaysia perlu memahami permainan politik tempatan Filipina dan sama sekali jangan terperangkap demi menjaga kedaulatan negara.

Bila berlaku pertemuan ahli po­litik Malaysia dengan Jacel pada 2016, ini adalah manifestasi mengenai betapa ahli politik Malaysia berkenaan kurang memahami betapa sensitifnya isu tuntutan Filipina tersebut. Kini ki­ta berdepan dengan cabaran yang lebih getir dan sebab itu amat kritikal sokongan padu perlu dipamerkan demi kedaulatan negara tanpa mengira perbezaan ideologi politik lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum ti­dak lama lagi.